Sunday, December 20, 2009

SEKEJAP SAHAJA SEBAGAI HAMBA ALLAH?

Pagi tadi, saya berkesempatan ke Surau Kg. Jiboi Baru, nak dengar kuliah subuh Ust Nasharudin Ali. ( Sejak jadi imam Surau BWP, baru sekali saya berpeluang mengikuti kuliah beliau) Malangnya, ustaz tak dapat datang kerana keletihan setelah seharian dan semalaman memenuhi undangan dari surau dan masjid sama ada di dalam mahu pun di luar Negeri Sembilan.

Akhirnya, Ust Jaafar ambil alih..ye lah, takkan nak hampakan puluhan jemaah yang hadir. Ust Jaafar membincangkan mengenai tajuk tugas kita sebagai manusia. Kebetulan, inilah juga tajuk kuliah subuh saya di Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng pada pagi Sabtu (19 Dis 2009) baru-baru ni..

Dalam kuliah Ust Jaafar pagi tadi, beliau menanyakan para jemaah, berapa lamakah dalam tempoh satu hari, kita ni jadi hamba ALlah? Belum sempat dijawab, beliau sendiri dah jawab pun..(ye lah..pasal makmum semuanya terkebil-kebil tak ada yang nak jawab!)

Kata ustaz, kita ni jadi hamba ALlah sekitar 25 minit sahaja sehari semalam. Iaitu ketika kita dirikan solat 5 waktu..masa tu lah, kita ni jadi hamba ALlah..Masa sedang solat, baru kita rasa bahawa kita sebenarnya adalah hamba Tuhan (ALlah). Tetapi, cuba perhatikan, sebaik sahaja selesai solat, lalu kita pun buat kerja lain..apakah masa tu, kita masih merasakan kita ni sebagai hamba Tuhan?

Saya tersenyum sorang diri..sambil memerhatikan visual rakaman kamera video yang saya sentiasa bawa bersama-sama ke mana-mana kuliah agama yang saya hadiri. Betul..kita ni hanya hamba Tuhan untuk sekelip mata sahaja. Selepas itu, kita langsung bertukar watak menjadi hamba dunia, hamba wang, hamba perempuan dan dahsyatnya lagi, kita adalah hamba kepada nafsu serakah kita sendiri..

Sepatutnya, kita menghambakan diri kita kepada Dia bukan untuk 24 jam sahaja sehari semalam, bahkan kita patut jadikan diri kita sebagai hambaNya sejak dari alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam akhirat dan seterusnya ke alam syurga (atau NERAKA kot?)

Itu golongan yang solat jugak walaupun sentiasa sibuk dengan kerja. Bagaimana dengan yang tak solat langsung? Dengan alasan bangangnya : NO TIME!

Inilah sebenar-benarnya hamba dunia..saban hari hanya memikirkan nak cari duit, kumpul duit, bazirkan duit..dunia dikejar siang dan malam..keluar sebelum naik matahari, pulang setelah tenggelam..Bila ajak ke masjid surau, alasannya ialah letih..atau no time!

Apa dia ingat dia seorang sahaja yang letih? Tak ada masa? Alasan letih dan tak ada masa adalah alasan paling biadap di hadapan ALlah SWT. Kamu sanggup bersusah-payah, memeras tenaga tulang empat kerat untuk mencari habuan dunia, tetapi dengan kewajipan berjemaah di masjid surau, kamu sanggup beri alasan letih!!

Ust Jaafar ada juga menyentuh pasal sikap kita hari ini yang hampir menyerupai kambing. (Ust tak sebut lembu..). Kenapa? Sebab kambing ni, hanya fikir nak makan, minum, berak, kencing, berjimak! Itu sahaja!! Serupa lah dengan kita yang berfikiran macam tu..tapi kata ustaz, tetap ada juga bezanya..kambing ni, bila dah tak berguna, boleh disembelih buat makan dagingnya..manusia yang tak guna ni? Nak buat apa? Jawapan saya dalam hati : "Jadikan sebagai kayu api untuk pembakaran di dalam NERAKA kelak!"

Sebelum meninggalkan surau, saya tertanya-tanya : "Ust Jaafar ni, tak de ke orang yang tuduh dia sebagai imam samseng?" Kalau aku yang cakap macam tu, gerenti dah lama kena gam oleh budiman-budiman BWP..

Alahai kambing..malangnya engkau..Tapi silap engkau jugak wahai kambing..ALlah beri tugas suruh jadi hamba Dia, tapi yang kau bantai jadi hamba wang, hamba harta kekayaan, hamba nafsu serakah tu, sapa yang suruh?

Taubatlah kita daripada menghambakan diri kepada benda-benda macam ni..insya' ALLah, sementara masa masih ada!

No comments:

Post a Comment