Saturday, October 29, 2011

NILAI AMANAH DI SISI ALLAH

Amanah merupakan satu sifat yang sewajibnya dimiliki oleh setiap mereka yang mengakui mukmin. Orang yang tidak amanah, tidak sempurna imannya dan dia termasuk di dalam golongan munafikin.

Apabila manusia tidak melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka saat kebinasaan buat dirinya pasti tidak lama. Demikian sebahagian daripada kandungan kuliah subuh pagi ini, 29 Okt 2011( Sabtu ),yang disampaikan oleh Ust Haji Norazman bin Mohammad, di Surau Al-Ansar, Taman Coral Heights.

Boleh dimuat turun DI SINI.

Thursday, October 27, 2011

MENYESAL SELEPAS MATI

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : Semua manusia, apabila mati, dia akan menyesal. Yang jahat tu, memang tak payah ceritalah, tapi yang baik pun Nabi kata akan menyesal juga. Kenapa ? Mereka menyesal kerana semasa di dunia dulu, mereka mempunyai banyak peluang untuk menambah pahala, tetapi peluang tersebut dibiarkan berlalu sebegitu sahaja.


Di padang Mahsyar nanti, apabila ALLah menimbang dosa pahala manusia, ada yang meraung-raung kerana mendapati pahalanya sedikit cuma dan tidak dapat membantu melepaskan dirinya daripada Neraka.


Bersempena kehadiran Zulhijjah tidak lama lagi, saya ingin mengajak tuan-tuan untuk kita sama-sama merebut peluang menambah koleksi pahala. Dalam Zulhijjah juga terdapat hari-hari istimewa di mana pahala amalan ibadah yang dilakukan pada hari-hari tersebut akan digandakan oleh ALlah SWT. Mungkin ada antara kita yang tak tahu menahu pun bahawa 10 hari yang pertama di dalam bulan tersebut banyak kelebihannya. Apa yang disarankan olen Nabi SAW, pada 10 hari pertama Zulhijjah, kalau boleh berpuasa sunnat, hendaklah kita kerjakan. Disamping itu, kita di suruh supaya membanyakkan menyebut tahlil, takbir dan tahmid.


WalLahu A'lam !

Wednesday, October 19, 2011

PANDANGLAH DARI SUDUT YANG BERLAWAN

Ramai di antara kita yang sering mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Kesusahan, kerungsingan adalah termasuk dalam istilah bala' atau musibah. Mengapa perlu berkeluh-kesah apabila ditimpa musibah? Bukankah musibah itu datangnya dari ALlah dan ALlah tidak pernah sama sekali memberikan kepada hambaNya melainkan hanya yang terbaik?

Jika demikian, terimalah musibah itu dengan penuh rasa kesyukuran. "Terima kasih, Tuhan..kerana Engkau menimpakan aku dengan musibah ini". Mungkin bagi sesetengah orang, ini perbuatan gila. Benarkah kita disuruh bersyukur apabila ditimpa bala?

Inilah yang saya nak kongsi.. saya nak ajak tuan-tuan berfikir lain daripada orang lain berfikir. Jom kita sama-sama melihat sesuatu bukan dari sudut pandangan kebanyakan orang.

Sebelum itu, tahukah kita mengapa ALlah menurunkan musibah atau bala ke atas kita? Apakah semata-mata untuk menyiksa kita, yang merupakan hambaNya? Ada pun tujuan ditimpa sesuatu bala itu ialah :

1) sebagai peringatan ALlah terhadap hambaNya yang lalai.
2) untuk menghapuskan dosa
3) untuk meningkatkan darjat kemuliaan.
4) sebagai bentuk hukuman di atas keingkaran dan kekufuran

Orang mukmin sentiasa diuji. Jika tidak ada ujian, dia bukanlah mukmin sejati. ALlah menguji hambaNya dengan pelbagai cara. Ada kalanya Dia uji kita melalui kesusahan dan kadang kala diujinya dengan kesenangan. Pendek kata, ALlah uji kita untuk melihat kesabaran atau kesyukuran.

Ada orang, ketika senang, lupa kepada ALlah dan apabila susah, barulah ingat kepadaNya. Inilah sebenarnya salah satu sebab, mengapa kita ditimpa musibah.. iaitu kita dah lama tak ingat kepadaNya. Perhatikanlah, seseorang yang sentiasa sihat dan sentiasa di dalam kemewahan, berapa ramai yang ingat kepada ALlah? Tetapi apabila ditimpa sakit atau disempitkan kehidupannya, mulut mereka pasti tidak lekang daripada menyebut nama ALlah. Bahkan sentiasa dipanjatkan doa kepadaNya tidak kira siang atau pun malam. Kadang-kadang ada yang bernazar ( contohnya : ) sekiranya penyakit aku sembuh, akan aku beri makan 100 fakir miskin atau akan aku sedekahkan sejumlah wang kepada rumah-rumah anak yatim.

Sebenarnya ALlah amat kasih kepada hambaNya. ALlah tidak mahu hambaNya terlalu jauh di dalam kesesatan. Sebab itu, dalam kita leka dan lalai oleh tipuan dunia, ALlah panggil kita supaya kembali menghampirinya. Tetapi dengan cara apa ALlah memanggil kita? Ya.. melalui musibah atau bala !

Terima kasih, wahai Tuhanku kerana dalam kelalaian aku daripada mengingatiMu, Engkau tetap tidak melupaiku.. Sesungguhnya aku redha dengan setiap musibah yang datang menimpa !

HIDAYAH DI USIA SENJA

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Memang agak lama saya tidak menulis di dalam blog. Malas dan tak ada mood untuk menulis. Tetapi saya masih teringat pesanan sahabat baik saya, Ust Hj. Hishamuddin Mansor : Bila menulis, tulislah sesuatu yang bermanfaat.

Posting kali ini, saya hanya sekadar mahu berkongsi sedikit berita dan cerita gembira. Cerita berkenaan seorang hamba ALlah yang umurnya telah meniti menghampiri usia senja tetapi baru dapat apa yang selama ini dicari-carinya.

Cerita bermula hampir 3 tahun yang lalu ketika saya menampalkan iklan 'Kelas Al-Quran' di papan kenyataan Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri. Iklan itu pada asalnya nak test market penduduk di sini sahaja. Sebelum ini, Ust Hj. Shafie dan Ust Hj. Zawawi dah buka kelas mengaji dan tajwid di surau, tetapi memandangkan Ust Hj. Shafie sentiasa sibuk dengan tugasan manakala Ust Hj. Zawawi pula berpindah ke Perak kerana ditawarkan jawatan sebagai pensyarah UPSI, maka kelas Al-Quran tersebut akhirnya padam dihembus bayu subuh.

Iklan yang saya tampal di surau telah menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati di kalangan beberapa individu. Puncanya kerana di dalam iklan tersebut, saya ada menawarkan perkhidmatan mengajar Quran dari rumah ke rumah. Ada kedengaran suara di belakang yang mengatakan saya telah mencemarkan kemuliaan Al-Quran dan mengaibkan maruah guru-guru Al-Quran itu sendiri.

Ketika itu, terus-terang saya katakan, semangat saya untuk memberikan perkhidmatan mengajar Al-Quran sedikit merudum dan saya hampir putus semangat. Tetapi, tidak lama selepas itu, saya bangkit semula, perbetulkan niat dan berdoa kepada ALlah : "Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran sebagai sebaik-baik bacaan, kalau ada walaupun seorang sahaja yang nak belajar dari aku, aku terima orang itu."

Alhamdulillah, pada satu senja Ramadhan yang paling bertuah, saya didatangi oleh seorang lelaki yang saya kira telah mencapai usia 60-an. Beliau bertemu saya, memohon untuk belajar Al-Quran. Dialah anak murid saya yang pertama yang memohon mendaftar bersama isterinya.

Sejak itu, bermulalah sejarah baru di dalam hidup si hamba ALlah ini. Saya dapat melihat beliau berhempas pulas belajar menyebut setiap butiran huruf, susunan-susunan kalimah dan cuba membaca beberapa potongan ayat sehingga kadang-kadang ternampak peluh membasahi dahinya.

"Parah aku kali ni..", bisik hati kecil saya. ALlah menghantar kepada saya seorang yang betul-betul buta Al-Quran. Saya terpaksa gunakan buku Iqra' yang selama ini saya gunakan untuk mengajar anak-anak Tahun 1 di sekolah saya.

Setiap kali kami menghadap muka antara satu sama lain, beliau tanpa segan silu terus memulakan bacaan iqra'nya. Memang sah buta.. disahkan oleh semua pakar optometris. Saya kadang-kadang menitis air mata. Bukan kerana sedih mendengar kesalahan sebutan setiap patah kalimah di dalam buku Iqra', tetapi kerana melihat kepada kesungguhan dan kecekalan hatinya.

Kalau tak ada kesabaran di dalam hati, mungkin dah lama saya cabut lari. Saban malam, saya bangkit jam 4 pagi, saya memohon daripada ALlah agar diberikan saya kekuatan semangat dan keikhlasan yang tak berbelah bahagi di dalam usaha menyampaikan ilmu Al-Quran ini. Tidak dilupakan juga, doa saya semoga orang tua ini diberikan bimbingan supaya terkeluar akhirnya dari kejahilan buta Al-Quran.

Kini 2 tahun telah berlalu. Si hamba ALlah itu masih bersama saya. Dia tidak lagi seperti dahulu. Amat jauh perbezaannya jika dibandingkan pada hari pertama beliau mengikuti kelas Al-Quran. Bacaannya cantik dan sedap didengar..ada keyakinan dalam bacaan. Hukum-hakam tajwid hampir keseluruhannya ada dalam kepalanya. Setiap kali saya berkesempatan menghadiri apa-apa majlis keagamaan bersamanya, saya akan pastikan beliau duduk paling hampir dengan saya. Dan satu lagi kebanggaan saya kepada beliau, ialah ISTIQAMAH beliau menghadiri solat Subuh berjemaah di surau.. saya tabik, Tuan KU.

Kini, beliau bukan lagi anak murid saya..beliau sekarang adalah pembantu dan penyokong yang tak akan membuat saya rebah lagi. Dalam kelas Al-Quran, rakan-rakan menggelar beliau dengan panggilan Tuan KU ( Ketua Unit ) sesuai dengan sifat tegas beliau di dalam apa-apa hal berkaitan dengan pengurusan kelas tersebut.

Terima kasih dan syukur saya panjatkan kepada ALlah SWT kerana mengubah peribadi manusia yang asalnya ZERO kini telah bertukar menjadi HERO. Ya.. kalau bukan diri kita sendiri yang mengubah nasib kita, siapa lagi ?

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada insan yang amat saya hormati, TUAN HAJI ISA BIN SUBOH.