Wednesday, December 16, 2009

KELAS AL-QUR'AN DARI RUMAH KE RUMAH

Pengenalan

Al-Qur’an adalah kalam ALlah yang juga merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang masih kekal kewujudannya sehingga ke hari ini.

Mempelajari Al-Quran serta beramal dengan isi kandungannya adalah WAJIB ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, lelaki atau pun perempuan. Kemuliaan seseorang manusia itu bergantung kepada kefahaman dan amalan mereka terhadap kandungan yang terdapat di dalam Al-Qur’an, dan begitulah sebaliknya.

Tidak dinafikan lagi bahawa kelemahan serta kemunduran ummat Islam hari ini adalah berpunca daripada sikap mereka yang semakin jauh diri daripada Al-Qur’an, sedangkan Nabi SAW pernah berpesan : “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu masih berpegang kepada kedua-duanya – Kitab ALlah (Al-Qur’an) dan Sunnahku (hadith)”.

Kisah Iktibar

Pada tahun 2006, saya telah ditugaskan mengajar di SK. Meranto, Gua Musang, Kelantan, di sebuah kampung pedalaman yang terletak kira-kira 60km dari pekan Gua Musang. Suatu ketika, saya dijemput untuk menguruskan kematian salah seorang penduduk kampung. Si mati telah meninggalkan ramai anak lelaki yang berusia antara 18-35 tahun, tetapi malangnya, tiada seorang pun di antara mereka yang dapat duduk bersama jenazah si bapa untuk bersama-sama membaca dan menghadiahkan pahala bacaan surah Yasin. Alasan yang diberikan kepada saya ialah semua mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an (istilah saya : buta Qur’an).

Bayangkanlah, betapa kecewanya jenazah si bapa kerana mempunyai anak-anak yang tidak mampu mengiringi kematiannya dengan alunan ayat-ayat suci Al-Qur’an. Fikirkanlah juga, bagaimana dengan solat yang mereka dirikan saban hari sekiranya tidak dapat membaca Al-Qur’an dengan baik.

Berpunca dari kesedaran daripada cerita iktibar tersebut, saya ingin mengingatkan tuan-tuan tentang betapa pentingnya kita mempunyai kemahiran membaca Al-Qur’an ini.

Al-Qur’an bukanlah seperti kebanyakan bahan bacaan lain. Bacaan atau sebutan yang salah boleh membawa kepada kelainan makna bahkan kadang-kala dengan tersilap satu baris (harakat bacaan) sahaja, boleh membawa kepada gugurnya iman atau murtad.

Halangan-halangan menuntut ilmu

Memandangkan semua kita adalah pekerja sepenuh masa, keluar sebelum Subuh dan pulang selepas senja, kita sering beralasan tidak ada masa untuk mempelajari atau mencari sebahagian daripada ilmu Fardhu Ain ini. Ke masjid atau surau, untuk mengikuti kuliah-kuliah agama pun amat jarang sekali kaki ini melangkah. Pada hari-hari tidak bekerja pula, lainlah pula alasan kita, iaitu kerana pada hujung minggu seperti inilah kita nak berehat dan meluangkan masa bersama anak dan isteri.

Ada juga yang beralasan tidak mahu belajar kerana malu. “Nanti kalau saya datang ke kelas, pasti rakan-rakan yang lain akan pakat gelakkan saya..maklumlah, Iqra’ 1 pun belum khatam lagi”

Inilah yang dikatakan malu tak bertempat. Sepatutnya kita berasa malu kerana jahil dalam ilmu-ilmu agama, bukannya malu nak menuntutnya. Atau pun, kalau nak malu juga, malulah pada ALlah kerana saban hari sering mengingkari perintah-perintahNya. Barulah malu itu kena pada tempatnya.

Bagaimana pula kalau ilmu yang datang ke rumah?

Sekarang, apa pula alasan kita, sekiranya ilmu itu pula yang menawarkan diri untuk datang mencari kita? Maksud saya, tuan-tuan tidak perlu bersusah-payah mencarinya di masjid, surau atau mana-mana tempat pengajian agama..cuma tunggu sahaja di rumah dan pastikan diri telah bersedia untuk menyambutnya.

Sebagai pilihan kedua untuk tuan-tuan yang sentiasa sibuk, saya menawarkan kelas pengajian Al-Qur’an dari rumah ke rumah

Sistem belajar di rumah bagi mereka yang sibuk

Sebenarnya, ibarat kata pepatah : “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Kita pasti akan berusaha sekiranya minat sudah ada. Cuma, seperti yang dikatakan tadi, hanya masa yang menjadi penghalangnya.

Maka sebagai pilihan kedua untuk tuan-tuan yang sentiasa sibuk, saya menawarkan kelas pengajian Al-Qur’an dari rumah ke rumah mengikut hari dan masa yang ditetapkan oleh tuan-tuan sendiri sama ada pada sebelah siang atau pun malam.

Dengan ini, tuan-tuan serta seluruh ahli keluarga tidak lagi perlu keluar dari rumah sebaliknya masing-masing hanya bersedia dengan Al-Qur’an pada waktu yang tuan-tuan sendiri tetapkan. Saya percaya, tuan-tuan tentu tidak malu lagi serta tidak bimbang jika ditertawakan oleh orang lain (orang yang suka mentertawakan orang lain, kadang-kadang mereka pun lebih teruk daripada kita). Biarlah rahsia kebebalan kita mempelajari Al-Qur’an ini kekal menjadi rahsia antara kita sekeluarga sahaja.

Berminat?

Tuan-tuan boleh menghubungi saya bila-bila masa sahaja. Insya’ALlah, jika saya tak dapat menjawab, sila tinggalkan pesanan melalui SMS.

Kita boleh bincangkan mengenai hari dan masa yang tuan-tuan bersedia untuk menerima kedatangan saya dan kadar bayaran yang tuan-tuan mampu sediakan sebagai imbuhan di atas tenaga dan masa saya. Cuma elakkan daripada memilih selang masa antara Mahgrib dan Isyak – memang tak dapat saya elakkan kerana itu adalah Waktu Perdana saya !

Hubungi saya di talian : 017-6150169
Ust. Haji Kamal bin Ismail

No comments:

Post a Comment