Thursday, February 25, 2010

MASIH TIDAK TERLAMBAT

Malam semalam, 24 Februari 2010, dengan kekuatan azam yang masih berbaki, saya telah berjaya memulakan kelas tahsin al-qur'an dan kelas iqra'. Saya terpaksa gunakan premis rumah PASTI kerana tiada lagi tempat yang sesuai dan lengkap dengan fasilitinya.

Seramai 8 orang murid dewasa ( berusia antara 50-65 tahun) telah datang buat permulaan kalinya-terdiri daripada 2 lelaki dan 6 perempuan (2 pasangan suami isteri). Tidaklah sesukar mana untuk mengajar dan membimbing mereka..bagi murid perempuan, saya amanahkan kepada ustazah Hanif Shah untuk mengajar mereka asas kepada al-Qur'an, iaitu menggunakan buku Iqra'. Bagi murid lelaki, saya sendiri bertindak sebagai pemudahcara-cuma membetulkan bacaan dan tajwid serta sebutan huruf.

Kelas al-Quran untuk dewasa ini saya adakan pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis, selepas solat Isya' (lebih kurang jam 9 malam) dan berjalan selama satu jam sahaja. [ Maklum..itulah masanya saya nak betul-betul berehat setelah seharian menghambakan diri kepada anak-anak murid saya di sekolah.] Atas dasar simpati dan kasihan, saya korbankan masa rehat dan penat lelah saya. Saya gagahkan juga diri ini supaya mereka (murid dewasa saya ini) tidak berterusan menjadi buta al-Qur'an. Kadang-kadang saya berbangga kerana di penghujung usia, mereka masih lagi berminat untuk mempelajari ilmu al-Qur'an ini. Alhamdulillah..semoga ALlah SWT memberi taufiqNya kepada kita semua agar terus tidak jemu menuntut ilmu-hatta apabila nyawa sudah berada di halkum sekali pun.

Biarlah di tahap Iqra' sekali pun, kita tetap orang yang dimuliakan ALLah..kerana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajari kitab suciNya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Orang yang membaca Qur'an sambil terangkak-rangkak (gagap), akan diberikan 2 pahala; pahala membaca Quran dan pahala kerana kesungguhan untuk mempelajarinya."

Pedulikanlah apa orang nak kata kat kita..Teguhkanlah niat di hati dan berdoalah semoga ALlah mengampuni dosa kita yang lalu-iaitu dosa kecuaian kita mengabaikan ilmu-ilmu ALlah yang wajib kita pelajari.

Kepada rakan-rakan yang sebaya dan tinggal setaman dengan saya, saya dah beri laluan untuk anda datang ke sini-marilah sama-sama kita pelajari ilmu al-Quran ini..sementara saya masih berkelapangan..Jangan menyesal di kemudian hari sudah la..

Wednesday, February 24, 2010

RESEPI MASAKAN ISTIMEWA

Assalamualaikum wm,

Sejak menjengah usia ke jendela 40-an, saya akui bahawa selera makan saya semakin bertambah (selera nak kawin lagi satu pun makin kuat..tapi sayang, isteri merayu tak nak bermadu!). Dalam kepala ni, dok fikir nak makan sedap-sedap sahaja..dan 'makanan sedap' bagi saya tak lain tak bukan ialah nasi ulam. Ada sedikit sambal belacan ke, sambal tempoyak ke, fuuhhh..Lauknya? Cukuplah dengan ikan selayang (NS : sardin) dipanggang tawar atau dijadikan singgam. Ulam pula? Semua jenis ulam saya suka..Tapi paling saya suka ialah pucuk jambu golok (Kelantan : Ketereh/ NS : Gajus). Sedihnya, kat sebelah NS ni, amat sukar nak dapatkan pucuk pokok tersebut. Tak apa lah.. ulam tenggek burung, ulam raja, serai kayu pun boleh jugak.

Kalau ada jantung pisang yang dicelar, bunga kantang, nangka putik dan pucuk daun beka, memang dah kira cukup lengkap dah..Budu? Ha..ha..ha.. itu satu KEFARDHUAN ! Complete meals set!!

Melayari laman blog Puan Mina (http://daridapurmina.blogspot.com/), saya percaya rakan-rakan tidak akan kerugian untuk mencuba resepi masakan baru. Saya dan anak isteri telah banyak mencuba masakan-masakan baru yang Puan Mina kongsi bersama. Silalah layari blog beliau dan cubalah pelbagai resepinya..

Dan jangan lupa, bila dah manfaatkan ilmu orang, ringan-ringankanlah mulut dan hati untuk mendoakan kebaikan kepada pemiliknya.

Tuesday, February 23, 2010

SWAT & MAGNUM UNTUK DIJUAL

Assalamualaikum WM dan Salam 1 Malaysia..

Ramai rakan pengunjung dan rakan sekursus yang bertanyakan saya mengenai kasut/boot yang sering saya pakai ketika mengikuti kursus aktiviti lasak, perkhemahan tahunan, pertandingan menembak dan ketika mengikuti program mendaki gunung dan seumpamanya..Kadang-kadang tu, rasa macam dah tak larat nak menjawab.

Semalam, seorang kakitangan hospital Kuala Pilah menghubungi saya bertanyakan pasal kasut tersebut.

Untuk makluman rakan-rakan semua, kasut yang biasa saya pakai itu ialah kasut yang biasa digunakan oleh pasukan polis SWAT (Special Weapon and Tactical) di US. Saya berjaya membelinya pada awal 2009 yang lalu setelah 3 bulan memotong duit gaji. Alhamdulillah..akhirnya kasut yang saya idam-idamkan akhirnya tersemat juga di kaki ini.

Harganya dalam sekitar RM360. Itu harga tahun lepas. Harga sekarang, semasa saya surf internet pagi tadi, telah naik kepada RM390.

Jika ada yang berminat nak beli kasut SWAT seperti yang saya pakai sekarang ni, bolehlah order melalui saya tetapi saya kenakan caj RM10 sebagai upah mengambilnya di pejabat Courier. Masa menunggu ialah antara 3-6 hari sahaja.

Saiz boot SWAT ini tidak sama dengan saiz kasut biasa yang kita beli di kedai-kedai kasut di Malaysia. Saiznya kecil satu mata. Maksud saya, kalau kita biasanya pakai kasut saiz 7, saiz boot SWAT yang sesuai dengan kaki kita ialah saiz 6.

Satu lagi kasut yang saya jual ialah kasut boot Magnum. Bentuknya sama seperti boot SWAT, tetapi patternya tidaklah seberapa kemas macam boot SWAT. Walaupun saya juga ada kasut Magnum, saya lebih sukakan SWAT kerana keselesaannya sama seperti kita pakai kasut sport. Harganya cuma RM220 sahaja..
Kalau ada yang berminat, kumpul-kumpullah duit hingga cukup, barulah call saya. Ansuran atau hutang, saya tak layan..sebab saya dah terkena satu kali. Setakat ini, saya dah berjaya jual hampir 16 pasang kasut SWAT dan 9 pasang kasut Magnum.

Biasanya, yang datang beli dari saya ialah pegwai tentera, polis, pegawai RELA, pengawal keselamatan bahkan ada orang perseorangan yang kerja di jabatan kerajaan.

Semalam saya dapatkan order dari seorang staff di klinik Kuala Pilah. Beliau gemar kepada aktiviti luar dan sangat berhajat nak dapatkan kasut SWAT tersebut. Insya'ALlah, dalam masa 4 hari lagi, gerenti beliau akan berbangga di hadapan rakan-rakannya.

Ramai juga yang menyembunyikan pembelian kasut ini daripada isteri masing-masing. 'Nak mampus..kalau isteri aku tahu, tak pasal-pasal digulai buat lauk kasut kesayangan aku tu'...Tiba aje waktu malam, kasut tu aku letak dalam kotak dan disimpan bawah katil..

Nasihat saya, jangan jadikan saya sebagai punca perbalahan anda suami-isteri. Saya tak paksa pun beli kasut ni..!!

Sekian, wassalam !

Monday, February 22, 2010

BEBAN AMANAH TERPIKUL LAGI..

Dalam mesyuarat Agung Surau Al-Hidayah pada 18 Februari 2010 baru-baru ini, Ust Hj. Shafie selaku pengerusi surau, telah menyatakan pendirian beliau mengenai surat peletakan jawatan saya sebagai imam, yang berkuatkuasa 1 Muharram baru-baru ini. Beliau dengan jelas menyatakan ketidaksetujuannya dan tidak dapat menerima surat peletakan jawatan tersebut. Beliau juga meminta daripada saya agar tidak terlalu cepat mengalah dan jangan mempedulikan suara-suara sumbang atau 'suara-suara dari dalam tandas' (ini tambahan saya sendiri-maksudnya : suara-suara yang keluar dari hati yang busuk).

Selama ini pun, saya kerap menjadi imam di surau..tidak semestinya bila saya letak jawatan, saya tidak lagi boleh jadi imam. Melainkan apabila ada imam-imam lain, saya akan mengalah dan membiarkan imam yang dilantik supaya mengimamkan solat jemaah. Persoalan menjadi imam ini, bukanlah persoalan 'gila kuasa'. (bukannya dapat elaun pun apabila jadi imam kat surau ni..)tapi, kalau dah tak ada orang lain, apa salahnya saya volunteerkan diri? Sekadar melaksanakan tuntutan Kifayah sahaja..

Saya sebenarnya agak berat hati untuk menerima kembali jawatan imam di surau kita ini. Bukan kerana terasa hati dengan isu-isu lama atau ada nak marah kepada sesiapa.. Ianya lebih kepada soal masa yang kini semakin suntuk untuk saya nak fokuskan kepada perjalanan aktiviti surau. Saya bimbangkan sekiranya saya tidak lagi berkemampuan untuk menjalankan tugas..soal amanah ALlah bukan boleh kita main-main. Manusia kutuk sekali sahaja pun, kita dah susah hati..apatah lagi kalau ALlah yang kutuk!

Saya perhatikan ada dua orang calon yang amat sesuai untuk kita ketengahkan mereka ini sebagai imam tetap surau..kedua-duanya dari Puteri Dahlia. Eloklah tu..sebab selama ini, Dahlia belum ada wakilnya sebagai imam. Nanti saya akan rekomenkan nama mereka berdua ini kepada tuan pengerusi untuk pertimbangan beliau.

Kepada rakan-rakan yang masih memegang jawatan di surau, nasihat saya, jalankanlah amanah anda dengan sebaik yang boleh. Ingatlah, bukan ALlah sahaja yang sedang memerhati, bahkan para jemaah yang hadir turut sama memerhati dan menilai kualiti kerja anda!

Selamat menyambut Hari Maulidur Rasul SAW..( makluman aktiviti program Maulid belum diedarkan lagi..bila lagi SU nak jalankan tugas tu? )

Tuesday, February 9, 2010

KELAS AL-QURAN

Gembira sungguh hati saya apabila selepas solat Asar hari Ahad baru-baru ini, Ust Hj. Shafie memaklumkan bahawa beliau akan hadir untuk kelas tajwidnya. Memang dah amat lama ustaz tak dapat datang meneruskan kuliahnya di surau kita. Saya tahu, ustaz sangat sibuk..

Di dalam kuliah beliau pada malam tu, ustaz menyentuh tentang konsep belajar Al-Qur'an, kelebihan orang yang belajar, keistimewaan orang menjadikan bacaan Al-Qur'an sebagai rutin harian, kelebihan guru Qur'an dan lain-lain lagi.

Tidak lupa juga, ustaz Shafie me'warning'kan sesiapa yang tak mahu belajar (ilmu Al-Qur'an atau apa-apa ilmu agama yang lain), lebih baik MATI daripada berterusan jadi manusia TAK GUNA!

Mengenai hasrat saya untuk mewujudkan kelas Al-Qur'an dari rumah ke rumah, jelas terpancar pada riak mukanya yang bersih itu, ustaz seolah macam tidak bersetuju dengan saya..Tindakan saya itu, katanya lagi seperti saya sengaja merendahkan martabat ilmu dan guru-guru agama. Itu terjemahan saya secara tak langsung daripada otak yang semakin serabut ni..

Betul apa yang ustaz Shafie kata tu..Ilmu dicari, bukannya mencari..Si jahil sepatutnya pergi mencari si alim, bukan si alim yang mencari muridnya yang jahil..zaman sekarang dah terbalik ke? Saya tak terasa hati pun dengan kata-kata ustaz pada malam tu..Benda yang betul ! Walau kena batang hidung sendiri pun, apa boleh kita buat? Terima sahaja lah dengan ucapan berbanyak terima kasih..dan syukur kerana masih ada yang sudi mengingatkan..

Sebenarnya, saya kasihankan rakan-rakan jemaah, lebih-lebih lagi mereka yang tak dapat lagi menguasai bacaan Qur'an dengan baik. Dahulu, ustaz Hj. Zawawi dah wujudkan kelas mengaji ni di surau kita. Tp ntah kenapa..kelas tersebut dah out. Mungkin sebab ustaz Zawawi sekarang sibuk dengan pengajian phdnya..

Sekarang, ustaz Zawawi dah mula sibuk..masa beliau free dahulu, kita buat jual mahal. Nak datang, datang, taknak datang pun tak apa lah..Tengok? Siapa yang rugi sekarang?

Kini datang pula peluang ke-2. Saya harap rakan-rakan jemaah tidak lagi bersikap seperti dahulu. Saya sengaja letakkan 'harga' perkhidmatan saya sebanyak RM20 ( tu pun masih murah lagi!) kerana saya mahu peserta kelas saya berfikir dua kali. Kalau tak pergi, nanti rugi sebab duit dah bayar !! RM20 itu bukanlah harga ilmu Al-Quran..Harap janganlah disalah tafsirkan..

Insya'ALlah..lama-kelamaan, bila dah pandai baca Qur'an sendiri, tak perlulah lagi hantar anak ke kelas Qur'an. Bukankah lagi elok kalau kita sendiri (sebagai bapa) yang ajar anak-anak ilmu Quran ini?

Target saya, tak lama..mungkin dalam 3-4 bulan sahaja kelas Quran bersama saya ini. Untuk makluman rakan jemaah, saya dah pun mendaftar untuk mengikuti Sarjana Pendidikan TESL pula. Kali ini di UPSI, Tanjung Malim..insya'ALlah pada Julai atau Ogos 2010 akan datang. Wang deposit pun saya dah bayar..Alhamdulillah, isteri sentiasa berikan galakan!! Ramai rakan lama di UPSI dan UPM pujuk agar saya batalkan hasrat mengikuti master (kali kedua), sebaliknya teruskan sahaja ke peringkat phd..Tp saya tak mampu kerana faktor kewangan..dah puas saya cuba ikhtiar untuk dapatkan penaja, tapi hampa..mungkin tak ada rezeki lagi la tu..

Oleh demikian, saya harap sangat-sangat agar saya dapat sumbangkan tenaga dan ilmu ini kepada rakan-rakan jemaah sekalian..lebih-lebih lagi kepada mereka yang amat baik hubungannya dengan saya, yang kerap datang ke surau dan sentiasa tidak takut untuk menyalurkan sebarang berita dan maklumat terkini kepada saya..

TAHNIAH MENTERI BESAR 'HALAM' PERAK

Sejak pagi tadi lagi, saya ternanti-nanti keputusan mahkamah persekutuan dalam menentukan siapakah peneraju kerajaan Perak yang sah. Dan seperti yang saya jangka, si Zambry akhirnya dijulang sebagai MB yang sah, sekali gus menidakkan impian si Nizar untuk merampas kembali kerusi empuk yang pernah didudukinya suatu ketika dahulu.

"Sah tapi haram!"..maka jadilah dia SAHRAM!! Kalungan tahniah buat Zambry Kadir si MB Sahram yang kini boleh lah semakin mendabik dada..Dengan senyum sinis, hatinya akan berkata :"Lihatlah aku..aku kini MB Perak yang sah (tapi tetap HARAM!)"

Buat si Nizar, terimalah keputusan mahkamah persekutuan ini dengan hati terbuka..ianya dah ditakdirkan oleh ALlah SWT. Ada lah hikmah di sebaliknya tu..mungkin Tuhan nak beri yang lebih baik dari itu..manalah kita tahu?

Buat rakan-rakan yang bencikan kezaliman, kejahatan, kronisme dan sebagainya, jomlah kita lakukan persiapan untuk sama-sama berjuang menumbangkannya dan kita gantikan dengan keadilan, agar bumi ALlah amnya dan Malaysia khasnya sentiasa dicurahi limpahan rahmah dan barakah daripadaNya.

Pilihanraya Umum Ke-13..Pastikan kemenangan HAK MILIK kita.. "Wahai Tuhan kami, sekiranya Engkau tidak membantu memenangkan kami, nescaya semakin berleluasalah maksiat di bumiMu ini dan makin bertambahlah pemimpin-pemimpin pemakan rasuah di kalangan kami.."

Tuesday, February 2, 2010

MASA OH MASA..

Salam buat semua rakan,

Blog peribadi saya ini sudah lama tak teraktif..terus-terang, sebenarnya saya dah tak terkejar lagi dengan masa yang dianugerahkan ALlah..Bermula seawal jam 3.30 pagi, saya telah pun dikira sebagai 'masuk ofis' dengan rutin atau kewajipan mengulang ayat/surah hafazan dan menambah yang baru (sekitar 5 ayat sahaja sehari). Seterusnya, saya akan mula 'on'kan laptop untuk menyiapkan beberapa suntingan /editing tesis dan disertesi dari beberapa rakan yang kini sedang bertungkus-lumus berusaha meningkatkan taraf hidup melalui usaha menyambung pelajaran ke peringkat master dan phd.

Disamping itu juga, saya telah diupah oleh seorang penerbit buku untuk menterjemahkan buku-buku dari tulisan Arab ke tulisan Melayu dan alhamdulillah..kini sudah pun memasuki fasa ke 4 daripada 6.

Di sekolah, masa saya bersama anak-anak didik ialah sehingga jam 5.30 petang. Tiba sahaja di rumah, anak bongsu saya dah tak sabar-sabar untuk dibawa meronda dengan motosikal mengelilingi taman..itu pun tak dapat dipenuhi setiap hari..kerana ada masanya, saya terus bergegas ke bilik kerja saya untuk menyiapkan hand-out untuk diedarkan di dalam kuliah maghrib sekejap nanti.

Kelas Al-Qur'an di PASTI Al-Mawaddah yang diadakan antara maghrib dan isyak untuk anak-anak BWP pada setiap malam juga menuntut pengorbanan masa dari saya. Ada kalanya, saya terpaksa batalkan kuliah maghrib di mana-mana surau atau masjid kerana kebetulan pembantu saya, Ustazah Hanif pula diberikan 'cuti rehat' oleh ALlah SWT.

Selepas isyak, saya tidak ada cukup masa untuk berbual-bual dengan rakan dan jiran. Cukuplah dalam 10-15 minit, lepas tu, saya akan ucap selamat malam kepada mereka..mata saya dah tak tertahan lagi..biasanya, jam 9.45 malam, saya sudah pun hanyut dibuai mimpi, meninggalkan anak-anak yang masih lagi bersekang mata menyiapkan kerja sekolah masing-masing..

Setiap kali melayari blog Al-Fadhil Ust Hj. Hishamuddin, timbul juga rasa cemburu..apa tidaknya, blog beliau sentiasa terisi dengan post-post yang baru dan terkini. Macam-macam isu terkini dikupas oleh beliau. Kadang-kadang, tertanya-tanya juga kat dalam hati ini, "Si Hishamuddin ni, amalkan minum power root ke?", sebab rasa saya, masa beliau lagi sempit daripada saya.. Tapi tak apa lah..saya tetap terus berdoa semoga ALlah berikan kekuatan kepada saya dan beliau untuk meneruskan usaha dakwah di bumi Seremban ini.

Buat rakan pengunjung, maafkan saya kerana tidak dapat memasukkan artikel seterusnya di atas sebab-sebab kesuntukan masa yang amat sangat. Insya' ALlah, selesai sahaja tugasan yang diupahkan kepada saya ini, saya akan fokuskan kembali kepada penulisan di dalam blog saya ini.

Terima kasih..