Sunday, December 20, 2009

LEGANYA HATI INI APABILA..

Peserta Kem Tahfiz bergambar kenangan bersama Ustazah Hanis, salah seorang tenaga pengajar yang dijemput khas dari Pahang

Pada majlis Sambutan Awal Muharram (Khamis, 17 Dis 2009), saya berkesempatan memohon jasa baik Tuan Pengerusi Surau Al-Hidayah, BWP, Y Bhg Ust Hj. Shafie Shaari untuk menyelitkan acara penutupan dan penyampaian sijil/cenderahati kepada 15 orang anak-anak kecil yang menyertai Kem Tahfiz Al-Qur'an yang berlangsung dari 22 Nov-18 Dis 2009.

Kem Tahfiz Al-Qur'an ini pada asalnya saya nak masukkan di dalam salah satu taqwim program surau-sebagai program terakhir bagi tahun 1430H. Tetapi saya bimbang sekiranya pisang berbuah lagi 18 kali..Penat-penat buat kertas kerja, bentangkan dalam mesyuarat, tapi keputusannya : "Apa kata kalau kita tangguh dahulu program ini..sebab pengerusi tak ada..beliau tak dapat datang mesyuarat kita ni" atau "kita tangguh dahulu sebab kita perlu dapatkan sponsor atau penaja" atau "kita bukan tak setuju nak buat, masalahnya siapa kita nak jemput untuk merasmikannya?"

Petikan kata-kata di atas saya flash-back kan semula ketika membentangkan cadangan untuk mengadakan Perkhemahan Ibadat Anak-anak Cemerlang BWP. Dari tarikh asalnya pada bulan April, ditangguhkan 3 kali berturut-turut sehinggalah ke bulan Jun..sebab penangguhan ialah seperti petikan kata-kata di atas tadi..satu sebab yang remeh tetapi sengaja dijadikan satu masalah besar!

Berkaitan Kem Tahfiz sempena cuti sekolah baru-baru ini, saya akui : NO MORE MEETING. OTHERWISE..SAME THING WILL GO ON AGAIN !

Alhamdulillah..tanpa bantuan AJK Surau dan meeting yang tak dapat memberikan keputusan yang diharapkan, program tersebut dapat juga dijayakan. Saya bukanlah nak tunjuk bongkak, sombong atau takabbur..saya sekadar nak membuktikan bahawa walaupun tidak ada AJK Program, tak ada buku program, tak ada perasmi program, sesuatu yang kita lakukan dengan penuh kesungguhan pasti akan berjaya..

Hari ini, saya dapat menarik nafas lega yang panjang..ucapan syukur ke hadrat ALLlah SWT sentiasa tidak lekang daripada bibir. Selama 25 hari bersama anak-anak, siang membantu hafazan dan tasmik, malam pula tidur bersama mereka dan bangkit seawal 3.30 pagi-saya rasa cukup seronok dan berpuas hati..

Hasil kem selama hampir sebulan ini, tak terkata di bibir..hanya hati yang mampu berbicara. Syukur padaMu Ya Rabb..anak-anak ini mampu menghafaz kalam suciMu..satu juzuk daripada 30 yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Paling menyayat perasaan, apabila ada di antara mereka yang dilantik mengimamkan solat jemaah Subuh..dengan bacaan yang cukup baik dari segi tajwid dan sebutan mengalahkan jurulatihnya sendiri, saya menitis air mata syukur ketika berdiri di belakang imam muda ini..dalam usia baru mencecah 11 tahun, makmumnya adalah orang-orang tua yang lebih berpengalaman..sekali lagi, syukur kupanjatkan buatMu..

Saya juga dapat menarik nafas lega kerana diri ini tidak lagi terikat dengan tanggungjawab dan amanah manusia..Saya kini bebas ke mana sahaja tanpa perlu saya fikirkan lagi siapa yang akan menguruskan pengimarahan surau. Saya pun nak jadi macam Ust A'lim, Ust Najmi, Ust Zawawi, Ust Hj. Shafie, Ust. Hj Azzhar, Ust Orang Minyak dan lain-lain. Tak ada pun orang yang nak marah-marahkan saya apabila surau berkunci ketika dah masuk waktu solat, tak ada orang nak azan, surau tak terurus-kotor, berhabuk, makan malam jemaah tak disediakan, tabung surau tak ada orang nak kutip dan sebagainya.

Harapan saya, akan ada individu lain yang sanggup memikul 'amanah manusia' ini meneruskan keceriaan surau kita pada tahun baru 1431H ini..

Semalam, ketika berada di Ipoh, saya menerima satu panggilan telefon dari orang Dahlia minta saya uruskan satu majlis tahlil arwah..jawapan saya ringkas sahaja : 'Puan, saya bukan lagi imam surau..'..pun begitu, saya terima juga pelawaan beliau memandangkan hubungan yang baik antara kami telah sekian lama terjalin.

No comments:

Post a Comment