Wednesday, November 18, 2009

KEWAJIPAN MENSYUKURI NIKMAT ALLAH - BAHAGIAN 1

Manusia sepertimana diakui oleh ALlah, adalah sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk ciptaanNya. ALlah menjadikan semua makhluk yang lain seperti tumbuhan, binatang dan alam sekeliling sebagai satu kemudahan dan untuk kita nikmatinya. Bahkan malaikat sendiri diperintahkan supaya memberikan khidmat mereka kepada kita yang bergelar manusia. Justeru, tidak hairanlah apabila kita sentiasa dicemburui oleh satu lagi makhluk ALlah, iaitu iblis laknatulLah alaih. Maka dengan itu, amat berpatutanlah (bahkan wajib) ke atas setiap manusia untuk mensyukuri nikmat-nikmat yang ALlah SWT telah berikan kepada kita.

"(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah Engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah Engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur". [ Az-Zumar :66]

Nikmat, dengan takrifan mudahnya, iaitu segala apa (pemberian) yang disenangi oleh manusia. Lawannya ialah niqmat atau bala (kesusahan). Semua manusia berkehendakkan kepada nikmat. Tiada seorang pun di antara kita yang inginkan niqmat. Namun, harus kita sedari bahawa nikmat dan niqmat ini, kedua-duanya adalah merupakan ujian Allah kepada kita, manusia. Dan sesungguhnya ujian nikmat dan niqmat ini hanya mampu dilalui oleh mereka yang bergelar mukmin yang benar-benar sejati sahaja.

Jika demikianlah maksud nikmat, cuba perhati, renung dan hitungkan banyak manakah nikmat Tuhan yang telah kita kecapi sejak hari pertama dilahirkan sehingga kita di usia sekarang ini? Tidak terkira banyaknya. Begitulah pemurahnya Allah SWT kepada semua hambaNya yang bergelar manusia ini. Firman Allah SWT :

“Dan Dia (ALlah) telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu adalah zalim lagi kufur ( sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya )".

Di dalam Al-Qur’an, terdapat banyak suruhan dan perintah ALlah kepada manusia agar mereka sentiasa mengingati nikmat-nikmatNya. Antaranya, firman ALlah SWT :

“Wahai manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Dia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahNya)?”

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya".
[Al-Baqarah :172]

Di antara nikmat yang dilimpahkan ALlah kepada manusia yang menuntut kita supaya sentiasa mengenang serta mensyukurinya ialah :

1. Nikmat makan dan minum

“ Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan ia serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?” [Yaasiin :33-35]

“Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bahawa Kamilah yang telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?” [Yaasiin : 71-73]

2. Nikmat Daripada Kejadian Alam

“Maha berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi. Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu)". [ Al-Furqan :61-62]

3. Nikmat Pancaindera

Selain nikmat yang boleh dikecapi melalui pancaindera, Allah SWT juga telah memberikan kita satu lagi nikmat, iaitu nikmat hidup sebagai manusia, iaitu makhluk terbaik dan paling mulia di sisiNya. FirmanNya dalam surah An-Nahl :

“Dan ALlahlah yang telah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur".

4. Nikmat Iman dan Islam

Pun begitu, sebesar-besar nikmat yang telah ALLah berikan kepada kita pada hari ini ialah nikmat hidup sebagai orang Islam yang beriman lagi patuh kepadaNya.

“..pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

Nikmat penghidupan sebagai seorang manusia muslim ini dilengkapkan lagi dengan satu lagi nikmat ALlah SWT yang tidak ternilai, iaitu nikmat pengutusan para rasul (dari kalangan manusia sendiri) kepada manusia yang datang untuk menyampaikan kebenaran dari ALlah, mengeluarkan mereka dari kegelapan syirik dan maksiat menuju ke arah cahaya iman. Para utusan ini berusaha siang dan malam untuk menjelaskan kepada kita tentang hakikat sebenar erti sebuah kehidupan serta memberitahu kita tentang adanya hari pertemuan dengan Tuhan mereka.

“(Nikmat berkiblatkan Kaabah Yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), Yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan Yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa Yang belum kamu ketahui. Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu Dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. [Al-Baqarah :151-152]

Namun demikian, tetap ada juga di kalangan mereka (manusia) yang ingkar serta berpaling dari jalan kebenaran yang dibawa oleh para rasul yang mulia ini. Manusia lebih suka menurut langkah syaitan serta jejak hawa nafsunya dalam melayari kehidupan duniawi ini. Golongan ini, yang tidak mahu mengakui kehambaan di hadapan ALlah, Tuhan Rabbul Jalil, menafikan nikmat Tuhan kepada mereka. Maka dengan kekufuran itu, menjadilah mereka kumpulan manusia yang sombong, sesat lagi menyesatkan. Maka dengan itu, mereka lalu diberikan peringatan :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras”. [Ibrahim:7]

Sudah menjadi lumrah, sifat kebanyakan manusia, apabila diberinya nikmat, maka dia menjadi orang yang sangat gembira lalu mula melupakan kepada Si Pemberi Nikmat (ALLah SWT). Ketika di dalam kesempitan hidup di suatu ketika dahulu, dialah orang yang paling kerap berdoa, merayu, merintih dan menangis memohon daripada ALlah SWT agar diperkenankan segala permintaannya.

“Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai)". [Hud:10]

“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia (dalam segala keadaan), sama ada ketika sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan sebaik sahaja Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon dihapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu), demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” [Yunus : 12]

“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadanya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadanya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): "Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara waktu, sesungguhnya engkau dari kalangan penghuni api neraka.” [ Az-Zumar : 8]

No comments:

Post a Comment