Wednesday, November 18, 2009

ANAK SOLEH

Menjadi anak yang soleh (kata lawan: toleh) adalah idaman setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini. Bahkan semua ibu bapa muslim turut bercita-cita sekiranya anak mereka menjadi insan yang soleh yang menjadi ‘qurratu a’in (penyejuk mata) bagi mereka.

ALlah SWT meletakkan nasib dan masa depan setiap anak yang dilahirkan, sama ada ianya membesar menjadi soleh atau pun toleh, ke atas bahu dan pertanggungjawaban kedua ibu bapanya. Ibu bapalah faktor utama yang memainkan peranan untuk menyahudikan, mengkristiankan atau memajusikan anak-anak mereka selain pengaruh luaran lain seperti kawan, persekitaran dan sebagainya.

Anak yang soleh sentiasa mentaati perintah ALlah, Rasul dan ibu bapanya. Di dalam al-Qur’an, ALlah mewajibkan setiap anak supaya mematuhi perintah kedua ibu bapanya selagi perintah tersebut tidak bertentangan dengan perintah agama (lihat surah Luqman :14-15)

Selain itu juga, anak yang soleh pastinya tidak akan pernah melupai jasa kedua ibu bapanya. Setiap kali selesai menunaikan solat, mereka akan berdoa dengan doa yang dikhaskan untuk kedua ibu bapanya.

Doa anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya termasuk di dalam 3 jenis amalan yang dapat membantu meneruskan kesinambungan kutipan pahala walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

Menurut Imam As-Syafi’e, setiap anak wajib mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya. Jika tidak, nescaya rezekinya pada hari tersebut tidak akan diberkati oleh ALlah SWT.

Perbuatan menderhakai ibu bapa samalah seperti menderhakai ALlah SWT. Nabi SAW menjelaskan bahawa redha dan murkanya ALlah terletak pada redha dan murkanya kedua ibu bapa terhadap anak-anak.

Menderhakai kedua ibu bapa termasuk di dalam 7 kategori dosa besar dimana pelakunya akan dikenakan siksaan azab yang sangat berat di hari akhirat kelak. Bahkan Nabi SAW pernah memberi amaran bahawa tidak ada dosa yang tidak ditangguhkan pembalasannya di dunia ini melainkan dosa menderhakai ibu dan bapa sendiri.

Di dalam surah Al-Isra’, ayat 23, ALlah menjelaskan bahawa dengan berkata ‘Ah’ (kata-kata yang boleh menyebabkan si ibu berkecil hati) telah pun dikira sebagai menderhaka, maka apa tah lagi sekiranya si anak itu melakukan penderaan fizikal atau mental, sengaja meninggalkannya di rumah-rumah kebajikan masyarakat atau rumah orang-orang tua, mencaci dan mengejek atau seumpamanya lagi.

Nabi Musa AS pernah bertanya kepada ALLah mengenai orang yang bakal menjadi temannya yang akan tinggal bersamanya di dalam syurga lalu ALlah menunjukkan kepada baginda seorang penjual daging yang hanya melakukan ibadat seperti kebanyakan orang awam yang lain. Istimewanya lelaki penjual daging tersebut kerana beliau telah membaktikan dirinya dengan memberikan layanan yang terbaik kepada ibunya yang tua.

Bagaimana membentuk anak menjadi insan soleh?Seperti yang telah dijelaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang amat penting di dalam pembentukan anak soleh yang berakhlak mulia ini. Ibu bapa wajib memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak bukan apabila si anak itu melangkah masuk ke alam persekolahan, tetapi lebih awal daripada itu, iaitu ketika memilih siapakah orang yang selayaknya untuk dijadikan ibu kepada anak yang soleh ini. Ini kerana benih yang baik tidak akan tumbuh menjadi pokok yang baik melainkan ianya berasal dari benih yang baik juga.

Kesilapan ibu bapa yang mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak akhirnya akan memakan diri si ibu bapa itu sendiri. Si anak dibiarkan membesar dengan pendedahan kepada ilmu keduniaan dan dalam masa yang sama tidak pula mahu berusaha mencari ilmu akhirat. Akhirnya lihatlah apa yang terjadi sekarang ini? Masalah gejala sosial yang tidak dapat dibendung lagi kian menjadi barah. Pihak pemerintah dan alim ulamak tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk membaiki keadaan yang semakin kecelaruan ini.

Selain menyediakan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak, ibu bapa juga mesti sedar bahawa pengaruh persekitaran luar juga tidak kurang hebatnya. Masakan tidak, anak yang tidak pernah diajar mencarut oleh ibu bapanya, suatu hari pulang dari sekolah dan terus memarahi adiknya dengan bahasa yang ibu bapa sendiri pun tak sanggup mendengarinya.

Pengaruh luar, terutamanya dari rakan-rakan yang buruk akhlaknya amat dibimbangi oleh semua ibu bapa.

Hari ini, masa anak-anak lebih banyak terluang bersama rakan-rakan mereka berbanding bersama ibu bapa sendiri. Hal ini diakui sendiri oleh majoriti murid yang pernah saya lakukan soal-selidik ke atas mereka. Ibu bapa yang masing-masing bekerja mencari nafkah-keluar awal pagi dan pulang lewat malam tentunya tidak ada masa untuk bersama anak-anak mereka.

Bersahabat dengan sahabat yang baik diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti bersahabat dengan penjual minyak wangi. Jika tidak diberikan sebotol kecil minyak wangi itu dengan percuma, sekurang-kurangnya kita dapat membawa pulang ke rumah satu haruman untuk dihidu oleh orang lain.

Anak adalah Rahmat dan Bala Daripada ALlah

Hakikatnya, anak adalah fitnah atau ujian ALlah kepada ibu bapa. Anak adalah amanah ALlah yang akan dipersoalkan semula di akhirat kelak. Beruntunglah ibu bapa yang dapat menjaga amanah ALlah ini dengan baik dan sempurna, tetapi sebaliknya celaka dan menderitalah bagi mereka yang abai atau lalai.

Anak yang soleh dapat menggembirakan hati kedua ibu bapanya di akhirat kelak. Bahkan menurut sebuah hadith, seorang anak yang dipelawa memasuki syurga berkeras tidak akan masuk ke dalamnya melainkan setelah kedua ibu bapanya yang sedang diazab di dalam neraka dikeluarkan oleh ALlah SWT.

Bagi anak yang toleh pula, penderitaan ibu bapa akibat perbuatannya itu telah pun dirasai semenjak di dunia lagi. Bayangkan betapa sedihnya ibu bapa seandainya dalam seramai 10 orang anak, tidak ada seorang pun yang pandai mentalqinkan ibu atau bapanya yang sedang bertarung dengan kematian. Begitulah juga halnya dengan anak-anak yang langsung tidak dapat menghadiahkan bacaan walau sebaris ayat-ayat suci Al-Qur’an atau yang dapat menyembahyangkan solat jenazah ke atas mayat si ayah yang sedang terbaring kaku di dalam keranda? Tidakkah si anak itu tahu bahawa itu merupakan solat terakhir yang mengiringi pemergian ayahnya ke alam barzakh sana?

Bertuahnya kamu wahai anak-anak duniawi..!

Ceramah Perkhemahan Anak-anak Soleh,
SK Temiang, Seremban.
06 November 2009

No comments:

Post a Comment