Wednesday, August 25, 2010

KELAS AL-QURAN DEWASA

Semalam, saya ada hantar surat tawaran menyertai kelas Al-Qur'an kepada beberapa orang jiran, merangkap sahabat baik, mempelawa mereka mengikuti kelas Qur'an yang diadakan di PASTI Al-Mawaddah, Bandar Warisan Puteri. Tujuan saya, tak lain tak bukan kerana saya nak berkongsi ilmu yang ada pada saya disamping nak membantu mereka agar tidak tua menjadi buta Qur'an.

Pengalaman mengendalikan kelas Qur'an Dewasa sejak awal Mac 2010 bagi batch pertama, saya dapati orang yang selama ini saya anggarkan mereka dah cukup bagus membaca Qur'an, rupa-rupanya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Paling ketara ialah kesilapan baca baris harakat dan kadar panjang pendeknya (mad).

Ada juga yang bermula dengan Iqra' 1, muka surat 1. Namun begitu, saya puji mereka ini kerana tidak jemu berusaha untuk membasmi buta Qur'an mereka itu. Mereka diasuh, dilatih-tubi dan dipaksa hinggalah seperti apa yang saya dapati hasilnya sekarang. Alhamdulillah..bukan setakat betul sebutan bacaan sahaja, dah siap nak bertarannum pulak! Masya' ALlaaah !!

Walaupun cuma 3 malam sahaja dalam seminggu, peserta batch pertama saya ini dapat membuktikan bahawa kesungguhan mengatasi segala-galanya. Pakcik Isa, selaku ketua murid, telah membuktikan bahawa seseorang yang asalnya membaca Qur'an sambil terangkak-rangkak, dapat membaca dengan baik apabila adanya kesungguhan. Walaupun usia dah nak menjejaki lubang kubur, beliau masih ada keinginan untuk belajar baca Qur'an dengan betul. Begitu juga dengan isteri beliau, Kak Ani.. saya tak sangka sama sekali bahawa dalam masa 6 bulan sahaja, Kak Ani dah dapat membaca Qur'an dengan baik. Walaupun kadang-kadang tersangkut, tapi itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan hari pertama beliau mengikuti kelas Qur'an di sini.

Saya mendoakan agar mereka berdua diberi kemudahan oleh ALLah SWT untuk terus mempelajari kalamNya ini. Tidak dilupakan juga penghargaan saya buat Ustazah Hanif Shah yang telah banyak membantu saya sebagai rakan partner. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di Univ. Malaysia Terengganu (KUSTEM) dalam bidang kaunseling.

Pengambilan batch ke-2 ini, insya'ALlah akan bermula pada awal Oktober 2010 akan datang. Seramai 10 orang sahaja yang bakal melapor diri. Semuanya adalah mereka yang berusia sebaya dengan saya. Mungkin kali ini, tiada peserta veteran kerana saya nak bantu membimbing rakan-rakan yang saban malam sentiasa bersama saya di pondok kawalan. Insya'ALlah, selagi saya ada kudrat dan iradah pinjaman ALlah, saya akan cuba bantu mereka sedikit demi sedikit agar mereka selamat daripada menerima malu di hari tua kelak.

Selamat berpuasa dan Selamat menyambut Ramadhan Fasa ke-3, iaitu Fasa Iktikaf dan mencari Lailatul Qadar !

No comments:

Post a Comment