Wednesday, October 19, 2011

HIDAYAH DI USIA SENJA

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Memang agak lama saya tidak menulis di dalam blog. Malas dan tak ada mood untuk menulis. Tetapi saya masih teringat pesanan sahabat baik saya, Ust Hj. Hishamuddin Mansor : Bila menulis, tulislah sesuatu yang bermanfaat.

Posting kali ini, saya hanya sekadar mahu berkongsi sedikit berita dan cerita gembira. Cerita berkenaan seorang hamba ALlah yang umurnya telah meniti menghampiri usia senja tetapi baru dapat apa yang selama ini dicari-carinya.

Cerita bermula hampir 3 tahun yang lalu ketika saya menampalkan iklan 'Kelas Al-Quran' di papan kenyataan Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri. Iklan itu pada asalnya nak test market penduduk di sini sahaja. Sebelum ini, Ust Hj. Shafie dan Ust Hj. Zawawi dah buka kelas mengaji dan tajwid di surau, tetapi memandangkan Ust Hj. Shafie sentiasa sibuk dengan tugasan manakala Ust Hj. Zawawi pula berpindah ke Perak kerana ditawarkan jawatan sebagai pensyarah UPSI, maka kelas Al-Quran tersebut akhirnya padam dihembus bayu subuh.

Iklan yang saya tampal di surau telah menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati di kalangan beberapa individu. Puncanya kerana di dalam iklan tersebut, saya ada menawarkan perkhidmatan mengajar Quran dari rumah ke rumah. Ada kedengaran suara di belakang yang mengatakan saya telah mencemarkan kemuliaan Al-Quran dan mengaibkan maruah guru-guru Al-Quran itu sendiri.

Ketika itu, terus-terang saya katakan, semangat saya untuk memberikan perkhidmatan mengajar Al-Quran sedikit merudum dan saya hampir putus semangat. Tetapi, tidak lama selepas itu, saya bangkit semula, perbetulkan niat dan berdoa kepada ALlah : "Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran sebagai sebaik-baik bacaan, kalau ada walaupun seorang sahaja yang nak belajar dari aku, aku terima orang itu."

Alhamdulillah, pada satu senja Ramadhan yang paling bertuah, saya didatangi oleh seorang lelaki yang saya kira telah mencapai usia 60-an. Beliau bertemu saya, memohon untuk belajar Al-Quran. Dialah anak murid saya yang pertama yang memohon mendaftar bersama isterinya.

Sejak itu, bermulalah sejarah baru di dalam hidup si hamba ALlah ini. Saya dapat melihat beliau berhempas pulas belajar menyebut setiap butiran huruf, susunan-susunan kalimah dan cuba membaca beberapa potongan ayat sehingga kadang-kadang ternampak peluh membasahi dahinya.

"Parah aku kali ni..", bisik hati kecil saya. ALlah menghantar kepada saya seorang yang betul-betul buta Al-Quran. Saya terpaksa gunakan buku Iqra' yang selama ini saya gunakan untuk mengajar anak-anak Tahun 1 di sekolah saya.

Setiap kali kami menghadap muka antara satu sama lain, beliau tanpa segan silu terus memulakan bacaan iqra'nya. Memang sah buta.. disahkan oleh semua pakar optometris. Saya kadang-kadang menitis air mata. Bukan kerana sedih mendengar kesalahan sebutan setiap patah kalimah di dalam buku Iqra', tetapi kerana melihat kepada kesungguhan dan kecekalan hatinya.

Kalau tak ada kesabaran di dalam hati, mungkin dah lama saya cabut lari. Saban malam, saya bangkit jam 4 pagi, saya memohon daripada ALlah agar diberikan saya kekuatan semangat dan keikhlasan yang tak berbelah bahagi di dalam usaha menyampaikan ilmu Al-Quran ini. Tidak dilupakan juga, doa saya semoga orang tua ini diberikan bimbingan supaya terkeluar akhirnya dari kejahilan buta Al-Quran.

Kini 2 tahun telah berlalu. Si hamba ALlah itu masih bersama saya. Dia tidak lagi seperti dahulu. Amat jauh perbezaannya jika dibandingkan pada hari pertama beliau mengikuti kelas Al-Quran. Bacaannya cantik dan sedap didengar..ada keyakinan dalam bacaan. Hukum-hakam tajwid hampir keseluruhannya ada dalam kepalanya. Setiap kali saya berkesempatan menghadiri apa-apa majlis keagamaan bersamanya, saya akan pastikan beliau duduk paling hampir dengan saya. Dan satu lagi kebanggaan saya kepada beliau, ialah ISTIQAMAH beliau menghadiri solat Subuh berjemaah di surau.. saya tabik, Tuan KU.

Kini, beliau bukan lagi anak murid saya..beliau sekarang adalah pembantu dan penyokong yang tak akan membuat saya rebah lagi. Dalam kelas Al-Quran, rakan-rakan menggelar beliau dengan panggilan Tuan KU ( Ketua Unit ) sesuai dengan sifat tegas beliau di dalam apa-apa hal berkaitan dengan pengurusan kelas tersebut.

Terima kasih dan syukur saya panjatkan kepada ALlah SWT kerana mengubah peribadi manusia yang asalnya ZERO kini telah bertukar menjadi HERO. Ya.. kalau bukan diri kita sendiri yang mengubah nasib kita, siapa lagi ?

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada insan yang amat saya hormati, TUAN HAJI ISA BIN SUBOH.

No comments:

Post a Comment