Wednesday, October 19, 2011

PANDANGLAH DARI SUDUT YANG BERLAWAN

Ramai di antara kita yang sering mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Kesusahan, kerungsingan adalah termasuk dalam istilah bala' atau musibah. Mengapa perlu berkeluh-kesah apabila ditimpa musibah? Bukankah musibah itu datangnya dari ALlah dan ALlah tidak pernah sama sekali memberikan kepada hambaNya melainkan hanya yang terbaik?

Jika demikian, terimalah musibah itu dengan penuh rasa kesyukuran. "Terima kasih, Tuhan..kerana Engkau menimpakan aku dengan musibah ini". Mungkin bagi sesetengah orang, ini perbuatan gila. Benarkah kita disuruh bersyukur apabila ditimpa bala?

Inilah yang saya nak kongsi.. saya nak ajak tuan-tuan berfikir lain daripada orang lain berfikir. Jom kita sama-sama melihat sesuatu bukan dari sudut pandangan kebanyakan orang.

Sebelum itu, tahukah kita mengapa ALlah menurunkan musibah atau bala ke atas kita? Apakah semata-mata untuk menyiksa kita, yang merupakan hambaNya? Ada pun tujuan ditimpa sesuatu bala itu ialah :

1) sebagai peringatan ALlah terhadap hambaNya yang lalai.
2) untuk menghapuskan dosa
3) untuk meningkatkan darjat kemuliaan.
4) sebagai bentuk hukuman di atas keingkaran dan kekufuran

Orang mukmin sentiasa diuji. Jika tidak ada ujian, dia bukanlah mukmin sejati. ALlah menguji hambaNya dengan pelbagai cara. Ada kalanya Dia uji kita melalui kesusahan dan kadang kala diujinya dengan kesenangan. Pendek kata, ALlah uji kita untuk melihat kesabaran atau kesyukuran.

Ada orang, ketika senang, lupa kepada ALlah dan apabila susah, barulah ingat kepadaNya. Inilah sebenarnya salah satu sebab, mengapa kita ditimpa musibah.. iaitu kita dah lama tak ingat kepadaNya. Perhatikanlah, seseorang yang sentiasa sihat dan sentiasa di dalam kemewahan, berapa ramai yang ingat kepada ALlah? Tetapi apabila ditimpa sakit atau disempitkan kehidupannya, mulut mereka pasti tidak lekang daripada menyebut nama ALlah. Bahkan sentiasa dipanjatkan doa kepadaNya tidak kira siang atau pun malam. Kadang-kadang ada yang bernazar ( contohnya : ) sekiranya penyakit aku sembuh, akan aku beri makan 100 fakir miskin atau akan aku sedekahkan sejumlah wang kepada rumah-rumah anak yatim.

Sebenarnya ALlah amat kasih kepada hambaNya. ALlah tidak mahu hambaNya terlalu jauh di dalam kesesatan. Sebab itu, dalam kita leka dan lalai oleh tipuan dunia, ALlah panggil kita supaya kembali menghampirinya. Tetapi dengan cara apa ALlah memanggil kita? Ya.. melalui musibah atau bala !

Terima kasih, wahai Tuhanku kerana dalam kelalaian aku daripada mengingatiMu, Engkau tetap tidak melupaiku.. Sesungguhnya aku redha dengan setiap musibah yang datang menimpa !

No comments:

Post a Comment