Friday, April 9, 2010

PEMERGIAN BUAT SELAMANYA

Ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Khamis, 8 April yang lalu, aku mendapat panggilan dari isteri tentang pemergian seorang insan yang amat aku kasihi..seorang yang bergelar ayah, yang banyak mengajar aku erti sebenar sebuah kehidupan. Meski pun ayah bukanlah dari golongan yang berpendidikan ( ayah aku tak pernah ke sekolah bahkan seawal usianya 5 tahun, telah dibawa oleh orang tuanya menangkap ikan di laut- ya, ayah aku adalah seorang nelayan dari umurnya 5 tahun hinggalah usia pencennya 65 - 60 tahun sebagai seorang nelayan ).

Walaupun dirinya seorang nelayan, tetapi tiada seorang pun daripada anak-anak lelakinya yang mengikuti jejak langkahnya. Aku sendiri masih ingat satu peristiwa, aku ditempeleng oleh ayah apabila aku menyatakan hasrat untuk berhenti belajar dan ingin menceburkan diri dalam bidang penangkapan ikan (konon nak jadi nelayan moden). Ayah menitis air mata..dalam sebak dan sedu-sedan, ayah beritahu aku bahawa dia ingin melihat semua anaknya berjaya dalam pelajaran. Dia sanggup bersusah-payah mencari wang demi untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Aku akui, memang itulah yang dilakukan oleh arwah ayah semasa hidupnya. Dia sanggup menebalkan muka meminjam sedikit wang dari kawan-kawannya apabila kekurangan wang untuk membayar bayaran persekolahan anak-anak..

Alhamdulillah..berkat kesungguhan dan keikhlasannya, anak-anak ayah semuanya boleh dikatakan berjaya. Abang aku ke London, kakak ke US, aku.. (cuma ke Mesir sahaja) dan adik bongsu aku bakal melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi tidak lama lagi dalam bidang kedoktoran.

Terima kasih ayah..kerana mendidik kami menjadi manusia..insya'ALlah, doa dari anak-anakmu akan sentiasa kami kirimkan..

Semoga ALlah mencucuri rahmatNya ke atasmu, ayah !

Pagi tadi, sebaik selesai mengikuti kuliah Subuh di surau Flat Gelung Bilal, aku terus ke pusara ayah dengan motosikal peninggalannya. Suasana pusara cukup hening. Aku melangkah masuk ke kawasan perkuburan dan menuju ke pusara ayah. Semalam, sewaktu jenazah ayah dikebumikan tepat jam 2 petang, aku masih dalam perjalanan..kalau tak silap baru tiba di Jabor, Kemaman.

Pusara ayah kuhampiri..aku duduk menghadap nisan di bahagian kepalanya..selesai mengucapkan salam, aku langsung sedekahkan fatihah lalu dipanjatkan doa..maafkan anakanda kerana tidak dapat bersamamu di saat akhir, ayah! Anakanda berjanji akan menjaga bonda dan adik-adik dengan sebaiknya..

No comments:

Post a Comment