Tuesday, November 24, 2009

RAHMAH : KASIH SAYANG ALLAH KEPADA HAMBANYA

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa RasuluLlah SAW pernah bersabda :

بينا رجل يمشي فى الطريق اشتدّ عليه العطش فوجد بئرا فنزل بها فشرب ثمّ خرج فإذا كلب يلهث فهو يأكل الثرى من العطش. فقال الرجل : لقد بلغ هذا الكلب من العطش مثل الذى كان بلغ منّى فنزل البئر فملأ خفّه ماءً ثمّ أمسكه بفيه حتى رقي فسقى الكلب، فشكر الله تعالى له فغفر له. قالوا يا رسول الله، إنّ لنا فى البهائم لأجراً ؟ قال : فى كل ذات كبد رطبة أجرٌ..

Ertinya : Suatu ketika, seorang lelaki yang dalam keadaan yang sangat haus, bertemu dengan sebuah telaga lalu turun ke dalamnya dan meminum airnya. Apabila lelaki itu keluar dari telaga, dilihatnya seekor anjing sedang menjilat-jilat tanah di sekeliling telaga kerana terlalu dahaga. Berkata lelaki itu : "Anjing ini sedang kehausan sama seperti aku tadi." Lelaki itu pun kembali turun ke dalam telaga, memasukkan air ke dalam kasutnya, menggigitnya dengan giginya lalu dibawa air itu naik dan diberikan kepada anjing tadi. ALlah SWT memuji kebaikan lelaki tersebut lalu mengampuni dosa-dosanya. Sahabat bertanya : "Wahai RasuluLLah, apakah berbuat baik pada binatang pun ada ganjarannya?" Jawab Nabi SAW : "Setiap kebaikan yang kamu lakukan kepada makhluk ALlah yang bernyawa ada ganjarannya"

Salah satu daripada nama ALlah yang mulia ialah RAHIM. Rahim bererti ‘Allah yang Maha Penyayang’. Orang yang mengamalkan sifat penyayang/kasih terhadap sesama makhluk ALlah pasti akan disayangi oleh ALlah yang bersifat Ar-Rahim.

Demikianlah juga dengan mereka yang mengaku dirinya sebagai hamba ALlah. Selagi tidak ada perasaan kasih sayang di dalam hati mereka, selagi itulah mereka belum lagi layak untuk memakai gelaran tersebut.

Orang mukmin hidupnya saling berkasih-sayang antara satu sama lain. ALlah SWT dan nabinya SAW memerintahkan kita supaya sentiasa mengamalkan hidup berkasih sayang, tidak kira sama ada sesama mukmin mahu pun dengan orang-orang kafir (lebih-lebih lagi orang kafir yang ada harapan untuk memeluk Islam)

Sabda Nabi SAW : “Sayangilah/Kasihilah sekalian makhluk ALlah di muka bumi ini, nescaya kamu akan disayangi oleh makhlukNya yang berada di langit (para malaikat)”.

Dan sabdanya lagi SAW : “Tidak akan dapat masuk syurga kecuali orang yang berperasan belas kasih sayang..”

Lagi sabdanya : “Barangsiapa yang tidak mengasihi (makhluk ALlah), dia tidak akan dikasihi (oleh ALlah)”.

Qatadah berkata : Di dalam injil ada tertulis :

يا إبن آدم، كما ترحم فكذلك تُرحم، وكيف ترجو أن يرحمك الله وأنت لا ترحم عباده..

Ertinya : Wahai anak Adam, sebagaimana engkau mengasihi orang lain, demikianlah engkau dikasihi. Maka bagaimana engkau mengharapkan kasih sayang ALlah sedangkan engkau tidak pernah mengasihi hamba-hambaNya?

Diriwayatkan daripada Abu Ubaidah bahawa Abdullah berkata : “Jika kamu melihat saudaramu terkena hukum kerana dosanya, maka janganlah kamu kutuk, dan janganlah kamu membantu syaitan untuk membinasakan saudaramu itu, sebaliknya berdoalah :

اللهمّ ارحمه، اللهمّ تب عليه ..

Ertinya : Ya ALlah, kasihanilah dia, ya ALlah, terimalah taubatnya..”

Saidina Umar Al-Khattab, walaupun terkenal dengan sifat keras, ganas dan bengis, tetapi jauh di sudut hatinya, beliau sangat mengasihi orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Di antara bukti kasih sayang seseorang mukmin terhadap sesama saudaranya, ialah dengan banyak memberikan nasihat-nasihat yang baik agar dia menjadi orang yang baik dan disukai oleh orang ramai. Dalam hal ini, ianya termasuklah kewajipan menjalankan konsep amar makruf dan nahi munkar di kalangan sesama sendiri.

Nabi SAW pernah bersabda : “Sesiapa yang melihat sesuatu kemunkaran berlaku di hadapannya, maka wajiblah dia mengubahnya dengan tangannya..

Lagi sabda Nabi SAW : “Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah, kami tidak ada masalah untuk membantu saudara kami yang dizalimi, tetapi bagaimana caranya kami dikehendaki membantu saudara kami yang zalim? Jawab Nabi : Hendaklah kamu berusaha menghalang dia daripada melakukan kezaliman”

Orang-orang mukmin juga wajib memelihara maruah saudaranya yang seagama. Haram sama sekali kita mendedahkan keburukan atau aib saudara sendiri sama ada ianya masih hidup mahu pun telah meninggal dunia.

RasuluLlah SAW bersabda :

من ستر أخاه مسلما فى الدنيا، ستره الله فى الدنيا والآخرة، ومن نفّس عن أخيه كربة من كرب الدنيا، نفّس الله عنه كربته يوم القيامة . والله فى عون العبد ما دام العبد فى عون أخيه المسلم.

Kuliah Maghrib,
Surau Kg. Ismail, Ampangan.
23 Nov 2009.

Monday, November 23, 2009

AJK SURAU..BUKTIKANLAH PENGORBANAN ANDA..

Insya'ALlah, 2 kali Jumaat lagi, bertemulah kita dengan Raya Haji pula..satu lagi hari kebesaran yang dianugerahkan kepada ummat Islam sebagai manifestasi kepada pengorbanan Nabi ALlah Ibrahim AS yang diperintahkan menyembelih anakanda kesayangannya sendiri, Nabi Ismail AS.

ALlah SWT memerintahkan ummatnya yang berkemampuan supaya berkorban-bukan sahaja pengorbanan dari segi harta benda, tenaga dan masa, bahkan kalau perlu, termasuklah nyawa sendiri.

Untuk makluman jemaah, tahun ini, surau kita sekali lagi berjaya menarik jumlah penyertaan korban sehingga sebanyak 7 ekor. Alhamdulillah..terima kasih banyak-banyak kepada yang menyertai korban tahun ini. Semoga pengorbanan tuan-tuan terangkat hingga ke arasy ALlah SWT.

Berbicara pasal pengorbanan, terus-terang di sini, saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sebahagian orang-orang yang diberikan amanah mengurus dan memakmurkan surau kita..atau lebih dikenali dengan panggilan AJK, termasuklah pucuk pimpinan yang ala-ala biskut choc-fudge (now you see it, now you don't !)

Sepertimana kita semua maklum, bahawa Raya Haji pada tahun ini disambut dalam musim cuti sekolah, iaitu minggu pertama cuti persekolahan. Memandangkan di kalangan AJK, ramai yang bergelar guru (termasuklah isteri masing-masing), maka cuti-cuti seumpama ini amatlah dinanti-nantikan. Hasrat untuk balik kampung berkobar-kobar sejak sebelum mula cuti sekolah lagi..Masing-masing dah berkira untuk merancang nak pulang ke kampung.

Mungkin terlepas pandang atau saja-saja nak escape dari tanggungjawab, maka keluarlah ayat-ayat menyakitkan hati : "Mintak maaf..Raya Haji ni, saya balik kampung !", "Saya tak dapat bersama tuan-tuan para jemaah, kerana dah lama kami rancang nak balik kampung!" atau "Raya Haji nanti, saya terpaksa terima jemputan jadi imam di masjid kat kampung saya"..

Sikap suka melarikan diri dari tanggungjawab, sebenarnya..inilah yang meyebabkan sebahagian jemaah sakit hati, kecewa, geram dan marah-marah..Ada tanggungjawab tapi tak dilaksanakan..ada amanah yang diberikan tetapi tak mahu dipikul bersama..macam inikah rupa sebenar seorang yang bergelar Orang Kuat Surau atau AJK?

Jika semua AJK termasuk penasihat dan pengerusi berpakat lepas tangan macam ini, maka kepada siapa nak kita hulurkan tanggungjawab dan amanah jemaah ini? Masing-masing tak mahu melibatkan diri dalam pengurusan ibadah korban dengan alasan balik kampung atau ada urusan lain. Dah lah tanggungjawab harian atau mingguan pun tak terlaksana, takkanlah tanggungjawab setahun sekali pun nak diabaikan macam tu jugak?

Ini yang saya kerap katakan : "Kalau dah tak mampu laksanakan tanggungjawab, letak jawatan tu dan beri kepada orang lain yang lebih bertanggungjawab. Ramai lagi..dan masing-masing akan buktikan ! Ini tidak..dok asyik berbangga dengan jawatan, tetapi kerja atau pelaksanaan tak nampak pun!

Lebih menyedihkan lagi apabila di kalangan AJK atau pegawai surau sendiri yang hanya sekali-sekala sahaja menunjukkan mukanya di surau. Nasib baik ada meeting, kalau tidak, memang sah tak akan nampak muka-muka tu..

Tuan-tuan AJK Surau,

Apa lah ruginya kalau tangguh sekejap hasrat nak balik kampung tu..Cuti sekolah ni cuma 20 hari sahaja ke? Tunaikanlah kewajipan anda dahulu, tunjukkanlah keprihatinan anda kepada jemaah surau terutama kepada peserta-peserta korban pada tahun ini. Mereka berkorban kerana ALlah dengan hati yang gembira..tetapi kita pula dengan bodoh sombongnya sibuk nak balik kampung !!

Katakanlah saya pun ambil tindakan bodoh macam tuan-tuan, agaknya ada tak siapa-siapa lagi yang akan bertanggungjawab menguruskan solat Raya Haji dan korban? Jangan fikir saya tak ada alasan, bahkan alasan saya lebih banyak dari tuan-tuan untuk saya nak pulang ke kampung. Tetapi apabila memikirkan tanggungjawab dan amanah orang, saya tangguhkan hasrat balik kampung atau bersolat di masjid lain..

Sama-samalah kita bertanggungjawab. Jangan nak menampakkan sangat sifat kotor dalam hati tu..Jangan tunggu hingga maki hamun orang ramai sentiasa mengekori tuan-tuan !!

Sunday, November 22, 2009

KEKALKAN PERPADUAN UMMAH DI BWP

Melihatkan kesepakatan dan kemesraan yang wujud dan terpamer di wajah masing-masing, saya tak dapat menerima kenyataan yang mengatakan kita sedang berpecah atau bermasam muka antara satu sama lain.

Perhatikan keakraban kita semasa sama-sama menjayakan majlis aqiqah anak kesayangan (anak bongsu) sahabat jemaah tegar kita, Encik Jauhari ( Jo ) yang diadakan pada 21 Nov baru-baru ini..alhamdulillah..semuanya baik dan mesra. ( Wallahu A'lam sekiranya itu adalah pameran luaran semata-mata).

Saya sentiasa berdoa agar tidak akan ada lagi suasana bertegang leher atau unsur-unsur yang cuba nak memecah-belahkan perpaduan kita.

Marilah kita buktikan bahawa perpaduan kita di BWP masih kekal utuh dan tidak mungkin dapat diganggu gugat oleh beberapa orang 'kanak-kanak nakal'..

Teruskanalh mengimarahkan surau kita..insya' ALlah, dari situ lah (ruma-rumah ALlah) kita bawa pulang ke rumah keberkatan Allah yang diturunkan dari langit untuk hambaNya di bumi..

Tahniah dan syabas, rakan-rakan jemaah sekalian..

Friday, November 20, 2009

SYUKRAN WA HAMDAN LILLAH..

Saya terkaku seketika..mulut tak terkata.."Betulkah berita yang abang dengar ni?" saya bertanya untuk dapatkan kepastian. Manalah tahu kot-kot ianya satu gurauan atau lawak bodoh.. sebab sebelum ini pun, saya kerap juga buat lawak bodoh macam tu..

"Betul, bang..beriya benar Along menangis apabila cikgu sebutkan nama dia sebelum dijemput naik ke pentas!", terang isteri saya dengan nada untuk meyakinkan..

"Alhamdulillah.."bisik hati kecil saya lalu berderaianlah air mata berguguran mengalir di pipi. Saya letakkan gagang telefon di pejabat sekolah lalu bergegas keluar menuju ke bilik guru.

Sebaik duduk dan mengemaskan meja yang sedikit tak tersusun, saya termenung seketika..bukan tak gembira.. Iye lah, bapa mana yang tak gembira apabila anaknya berjaya memperolehi keputusan 5A dalam UPSR..?

Saya bersyukur sangat..tapi dalam keadaan yang sedikit sedih dan kesal. Terus-terang saya akui bahawa Along (anak perempuan sulong saya - Nama sebenar : Nurul Aishah)tak pernah pun saya hantarkan ke mana-mana pusat tusyen..sejak dari awal bangku persekolahannya sehinggalah dia menduduki UPSR pada bulan September yang lalu.

Keduanya, sebagai seorang bapa yang sibuk (kadang-kadang sengaja buat-buat sibuk), saya amat jarang berada di sebelahnya, menemani atau memantau pelajarannya..saya lebih suka jika anak saya berusaha sendirian tanpa mengharapkan bantuan sesiapa atau bergantung dengan ibu bapanya..cuma sekali-sekala tu, saya tegur dan nasihatkan Along supaya beringat dengan tarikh peperiksaan yang semakin hampir.

Along hanya dapat 3A sahaja di dalam trial UPSR..Saya tak pernah marah pada Along, bahkan saya ucapkan tahniah dan beri sedikit kata-kata rangsangan supaya berusaha lagi untuk peperiksaan sebenarnya.

Kini, saya boleh berbangga lah sedikit di atas kejayaan Along..bukan berbangga kepada saya, kerana saya tidak ada apa-apa sumbangan pun..tetapi saya berbangga kerana Along dapat membuktikan bahawa pelajaran yang diterima di sekolahnya seharian (pagi ke petang) sudah pun memadai untuk berjaya. Tusyen, bagi saya adalah untuk ibu bapa yang kurang yakin dengan kebolehan anaknya sendiri..

Tahniah, Along..teruskan perjuanganmu mewarisi kebanggaan maruah keluarga kita. Abah berbangga dan umi pun tumpang gembira !

Pastikan kejayaan Along bukan di dalam akdemik dan kerjaya semata-mata, bahkan paling utama, paling penting, ialah kejayaan Along meneruskan kehidupan ini sebagai muslimah mukminah yang solehah..

Syukran wa hamdan laka, ya ALlah !

Thursday, November 19, 2009

LEMBU KORBAN : IBADAT ATAU PUN PERNIAGAAN ?

AlhamduliLlaah..akhirnya tercapai juga hasrat saya untuk menyertai ibadah korban kali pertama di dalam hidup pada tahun ini..Walaupun terpaksa ikat perut, membuat sedikit pinjaman untuk perbelanjaan dapur, namun, saya amat puas hati dan berbangga !

Kos setiap satu bahagian ialah RM350. Di Masjid Sendeng, kosnya mencecah RM400. Sebagai orang baru dalam ibadah korban ini, saya percaya RM350 x 7 peserta itu adalah harga bagi seekor lembu yang akan dikongsikan bersama.

Sehinggalah di dalam mesyuarat AJK Surau pada 15 Nov 2009 yang lalu, setiausaha Surau, Encik Hussin Yaakop mendedahkan bahawa pada tahun-tahun lepas, beliaulah yang menguruskan pembelian lembu-lembu korban. Sekiranya wang terkumpul dari 7 peserta berjumlah RM2450, beliau akan membeli lembu yang berharga (katakanlah) RM2200. Baki RM250 lagi akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pengurusan..dan seandainya pada tahun tersebut, ada 7 ekor lembu yang akan dikorbankan, maka ini bermakna Kumpulan Wang Pengurusan yang akan diperolehi oleh surau ialah sebanyak RM1750. Waah..banyak tu.

Ke mana wang tersebut dibelanjakan? Antaranya digunakan untuk membayar upah tukang sembelih (saya dimaklumkan setiap seekor lembu yang disembelih, upahnya ialah RM50 - confirm lepas ni, saya akan pergi ikuti kursus sembelihan korban), kos makan minum petugas dan untuk membeli peralatan-peralatan yang sepatutnya seperti tali, plastik pembungkus daging dan sebagainya..

Saya taknak bangkang seratus-peratus..saya rasa elok lah juga tu dan memang dah kena pada tempatnya..cumanya yang saya musykil : tindakan kita berbuat sedemikian tu, dah dimaklumkan kepada semua peserta korbankah atau belum lagi? apakah semua peserta korban tahu bahawa sebahagian kecil wang korbannya tadi digunakan untuk tujuan-tujuan lain? saya ambil contoh diri saya sendiri..katakanlah saya tak tahu pun tentang wujudnya kos tersembunyi ini, tidakkah saya merasa diri saya tertipu oleh perbuatan AJK Surau yang diberi amanah? Mati-mati saya sangkakan RM350 itu adalah duit lembu..rupa-rupanya harga sebenar cuma RM 320 sahaja..Bagaimana kalau saya tak halalkan baki RM30 saya itu?

Siapa nak pikul kesalahan ini? Kepada sesiapa yang ada penjelasan, mohon jelaskan kepada saya kerana saya sekarang benar-benar terasa tertipu oleh orang yang diamanahkan menguruskan ibadah korban ini..

BETAPA KECEWANYA HATI ..

Kecewa..! Itulah kalimah yang terpancul keluar dari mulut saya sebaik sahaja menerima dan membaca satu komen bertulis dari laman blog surau (telah ditutup) yang dikirimkan oleh seorang hamba ALlah yang menggunakan nama samaran 'AkuDanDia"..ya, jika sekiranya semua yang ditulis itu adalah BENAR belaka !

Ekoran pendedahan tersebut, ramai dari kalangan AJK Surau Al-Hidayah melenting dan menganggapnya sebagai fitnah..lalu terpampanglah dua keping memo untuk menafikan kandungan pendedahan tersebut.

Saya hanya dimaklumkan sebaik sahaja tiba di rumah selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Surau College Height malam tadi. Untuk makluman, saya pernah diberitahu secara lisan oleh seorang sahabat yang sangat boleh dipercayai beberapa hari sebelum Mesyuarat AJK Surau Kali Ke-3 pada 15 Nov 2009 baru-baru ini. Serba salah jadinya..tak nak percaya, tapi rasa macam nak percaya..nak percaya, tapi rasa macam mustahil pulak ! Akhirnya, tiada apa yang boleh saya buat melainkan berbisik di dalam hati : "ALlaahumma arinal haqqa haqqan, ALlahuma iftah bainana wa baina qaumina bil haqqi.."

Selang dua hari selepas mesyuarat, tepatnya malam 17 Nov 2009, saya terbaca satu komen di dalam blog surau..Saudara 'AkuDanDia' mendedahkan 5 sebab kenapa beberapa orang AJK (termasuk barisan tertinggi) tidak sukakan saya dan kalau boleh, mereka nak singkirkan saya dari jawatan imam surau. (Sebenarnya mereka tak perlu bersusah-payah nak keluarkan saya dari jawatan imam surau kerana saya pun dah lama tak berperanan sebagai imam surau)..

Semua kelima-lima sebab yang diberikan oleh saudara 'AkuDanDia' di dalam tulisannya itu kebetulan sama dengan apa yang pernah saya dengar dari perbualan orang luar surau. Itulah sebabnya saya katakan tadi, bahawa sukar untuk tidak mahu mempercayainya !

Tidak perlulah saya nyatakan di sini siapakah AJK-AJK yang dimaksudkan di dalam tulisan saudara 'AkuDanDia' itu..Sekilas pendengaran pun, kita dah boleh agak siapa orangnya..

Baiklah..kalau itu kehendak tuan-tuan AJK, biarlah saya undur diri sahaja dari senarai nama JK Surau. Saya pun bukanlah berbangga sangat menjadi imam..Semoga dengan bebasnya saya dari tanggungjawab sebagai imam di surau ini, langkah saya akan lebih panjang lagi untuk bersilih-ganti mengunjungi masjid dan surau-surau lain yang terdapat di sekitar Seremban ni..Insya'ALlah, keseronokan sebagaimana tahun lepas akan kembali semula ke dalam hati saya.

Cuma saya ingin ingatkan kepada AJK-AJK Surau, jangan kembalikan suasana surau kita sekarang seperti zaman 'jahiliah' dahulu.. Andalah sasaran utama kata-kata kesat saya di suatu hari kelak ! Atas permuafakatan anda semua, usahakan supaya surau kita semakin meriah, ceria dan bersemangat..bukannya seperti 'Hidup segan, mati tak mahu' atau pepatah Melayu baru : 'Kerja malas buat, tapi sayang nak lepaskan jawatan'..

Wednesday, November 18, 2009

TUTUP BLOG SURAU !

Itulah arahan yang saya terima..daripada siapa? Jangan tanya..

Mengenai tulisan terakhir saya di dalam blog surau, memang saya akui..itu adalah tulisan saya. Saya hanya nak luahkan apa yang saya tak puas hati.. Masing-masing cuba nak lepaskan diri dan bebankan tanggungjawab ke atas orang lain. Saya nak tanya..apakah begini sikapnya orang-orang yang diberikan amanah?

Sambutan Hari Raya Korban yang hanya setahun sekali-tak dapat kah kita mengorbankan masa dan kepentingan peribadi untuk selesaikan amanah orang ramai ini? Kot nak balik kampung pun, takkan tak boleh sabar sedikit sehingga selesai uruskan lembu-lembu korban tu.. Cuti sekolah sebulan setengah, bukannya seminggu !

Jadi, apa gunanya kita pegang jawatan kalau malas nak bertanggungjawab? Hari ini, orang akan bertanyakan kita pasal amanah dan tanggungjawab..kelak, di akhirat sana, lagi dahsyat pertanyaan dan penghinaan ALlah SWT. Sanggup ke nak berhadapan dengan ALlah ?

Langkah lebih selamat, jangan pikul lagi tanggungjawab tersebut. Serahkan kepada orang lain yang lebih bertanggungjawab !

PERLUKAH KITA BERSANGKA BURUK ?

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)

Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah. Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?" Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya. Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat. Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih.

Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.

Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.

"Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka. Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini. Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-

"Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata "hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang. Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?"

"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni"

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.

Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain. Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- "Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer"

b- "PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"

c- "Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- "eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen"

e- "Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang"

f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, maka TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan mereka tadi adalah baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.
Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata : "Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi), Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata "Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) : Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

dipetik daripada : www.zaharuddin.net
Ada riwayat menyebut, bahawa di zaman Nabi Isa a.s semasa hayatnya pernah berjalan di sisi sebuah kubur. Nabi Isa a.s pun menghentakkan kakinya di tepi kubur seraya menyeru ahli kubur itu agar bangkit. Dengan izin Allah Taala apabila penghuni kubur itu mendengar seruan Nabi Isa a..s maka bangunlah dia dari kuburnya.

Maka berlakulah soal jawab antara penghuni kubur dengan Nabi Isa a.s. Tanya penghuni kubur, “Wahai Ruhullah, apakah tujuan engkau memanggil aku ? Tahukah engkau ketika engkau memanggil namaku, aku sedang disoal siasat oleh malaikat sejak tujuh puluh tahun dahulu.

Tiba-tiba engkau memanggil namaku, meyebabkan malaikat (yang menyoal siasat aku) memerintahkan supaya aku menyahut seruanmu wahai Nabi Allah ”. Berkata Nabi Isa a.s kepada penghuni kubur itu, “Ya fulan, aku tahu engkau banyak dosa, tetapi aku tidak tahu apakah kesalahan yang engkau lakukan menyebabkan engkau menanggung dosa sebanyak itu ? ”.

Maka menjawablah penghuni kubur itu, “Wahai Nabi Allah, aku tidak mempunyai pekerjaan selain daripada mengambil upah memikul kayu api untuk dijual, aku makan dari hasil upah itu selebihnya aku sedekahkan kepada orang lain ”.

Mendengar jawapan ahlu kubur itu, maka timbullah perasaan hairan di hati Nabi Isa a.s. Bertanya Nabi Isa a.s, “ Wahai penghuni kubur, aku merasa hairan, bukankah bekerja mengambil upah memikul kayu api itu adalah pekerjaan yang halal, kamu bukan sahaja memakan rezeki yang halal malah turut memberi sedekah pula dengan rezeki yang halal, tetapi bagaimanakah kamu boleh di soal siasat sehingga tujuh puluh tahun ? ”

Berkata ahli kubur itu kepada Nabi Isa a.s, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya Tuhan amat murka kepadaku, pada satu hari semasa aku mengambil upah memikul kayu api, aku telah mengambil secebis dari kayu itu untuk mencungkil gigiku. Perbuatan itu menyebabkan aku dimurkai Tuhan kerana aku telah mengambil harta orang tanpa izinnya. Itulah yang menyebabkan Tuhan sangat murka di atas perbuatanku yang tidak amanah itu .”

Pengajaran daripada kisah ini ialah supaya kita berhati-hati dalam usaha mencari rezeki yang halal. Orang mukmin perlu ingat bahawa daging yang tumbuh dari rezeki yang haram, neraka adalah lebih layak baginya”.

Susah macam manapun seseorang itu untuk mencari nafkah, jangan sampai tergamak memperolehinya dengan cara yang haram. Malah kesusahan mencari rezeki yang halal itu merupakan kafarah daripada Allah SWt untuk menghapuskan dosa seseorang mukmin.

Daripada Abi Salmah bin Abi Hurairah r.a berkata , bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Diantara begitu banyak dosa, ada sejenis dosa yang tidak dapat dikaffarah dengan solat, puasa, haji dan umrah. Seorang sahabat bertanya Rasulullah, apakah amalan yang dapat mengkifarahkannya ya Rasulullah ? Nabi bersabda : Dosa itu dapat dihapus oleh kesusahan dalam mencari nafkah hidup ”.

Seseorang yang pernah mengambil harta orang lain dengan jalan mencuri, dan barang itu telah pun musnah, hukumnya wajiblah dia menilai berapakah harga barang itu mengikut nilai semasa, kemudian pulangkan harganya kepada tuan punya barang, jika mereka masih hidup dan boleh dikesani, tetapi jika mereka sudah tiada atau tidak dapat dikesani lagi, maka serahkan sahaja kepada baitulmal atau badan-badan kebajikan awam untuk dibelanjakan pada urusan awam.

Wallahualam.

DOA QUNUT

Ramai jemaah yang mengirim e-mel kepada saya bertanyakan matan doa qunut yang biasa saya baca di dalam solat Subuh. Berikut adalah matannya :

اللهم اهدنا في من هديت وعافنا في من عافيت وتولنا في من توليت وبارك لنا في ما اعطيت وقنا برحمتك واصرف عنا شر ما قضيت فإنك تقضي ولا يقضي عليك ، انه لا يزل من واليت ولا يعز من عاديت تباركت ربنا وتعاليت.

اللهم انا نسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى.

اللهم اصلح لنا ديننا الذي هو عصمة امرنا واصلح لنا دنيانا التى فيها معاشنا واصلح لنا اخرتنا التى اليها معادنا واجعل الحياة زيادةٍ لنا في كل خير والموت راحةٍ لنا من كل شر.

اللهم انا نسألك رضاك والجنة ونعوذ بك من سخطك والنار. اللهم طهر قلوبنا من النفاق وأعمالنا من الرياء والسنتنا من الكذب واعيننا من الخيانة انك تعلم خائنة الاعين وما تخفي الصدور.

اللهم اعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك. اللهم حبب الينا الإيمان وزينه في قلوبنا وكره الينا الكفر والفسوق والعصيان واجعلنا من الراشدين.

ربنا ظلمنا انفسنا وان لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين ربنا اتنا في الدنيا حسنة وفي الاخرة حسنة وقنا عذاب النار ربنا اغفر لنا ولاخواننا الذين سبقونا بالايمان ولا تجعل في قلوبنا غلاً للذين امنوا ربنا انك رؤوف رحيم.

SELESEMA BABI (H1N1) : AMARAN AWAL DARI ALLAH ?

Saya masih teringat kata-kata daripada seorang guru agama sewaktu saya masih kecil dahulu : “Di antara tanda-tanda hampirnya Qiamat ialah banyaknya berlaku wabak atau penyakit baru yang dahulunya tidak pernah kita dengari sebagai bala dan balasan daripada Allah SWT ke atas kejahatan dan keingkaran manusia”.

Wabak yang terbaru yang sedang menggusarkan semua ummat manusia hari ini, iaitu H1N1 atau dikenali juga dengan ‘Selsema Babi’ turut merupakan satu bentuk hukuman daripada Allah SWT. Kadang-kadang, Allah menurunkan bala dan azabNya sebagai peringatan atau amaran agar manusia segera kembali semula ke jalanNya.

Renungkanlah kembali sejarah Thamud, Aad, Bani Israel dan ummat-ummat lain yang terdahulu daripada kita yang diceritakan Allah di dalam Al-Qur’an. Mereka ditimpa balasan azab yang amat mengerikan lantaran kesombongan serta keingkaran mereka untuk tunduk patuh kepada Allah SWT. Bukan sahaja mereka enggan menerima ajaran dan nasihat para rasul serta utusan-utusan Allah, bahkan lebih dahsyat lagi ada di antaranya yang diusir, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Negeri kaum Nabi Luth (Sodom), yang terkenal dengan perbuatan jijik mereka melakukan hubungan seks sesama lelaki (homoseksual) pernah dihilangkan daripada peta dunia dengan cara ALlah SWT mengangkatnya, menterbalikkannya lalu menghempaskannya sehingga terbenam dan terpelosok ke dalam bumi. Dengan itu, penyakit AIDS yang bakal wujud akibat perbuatan mereka ketika itu, dapat dibanteras daripada merebak.

Sebagai seorang Islam, kita mesti percaya bahawa semua penyakit datangnya daripada ALlah SWT. Dialah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang menyembuhkannya. Selain berusaha untuk mengubati dan menghindari penyakit ini, kita juga diwajibkan berdoa kepadaNya. Dengan berdoa, bererti kita menzahirkan sifat lemah kita di hadapan ALlah serta kebergantungan kita sepenuhnya kepada Dia. Nabi SAW menyuruh kita supaya memohon pertolongan daripada ALlah SWT dengan memperbanyakkan solat, menjauhkan semua bentuk maksiat dan dengan membiasakan diri mendirikan solat di rumah-rumah ALlah.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hampir-hampir ALlah SWT ingin menurunkan azabNya ke atas penduduk bumi tetapi Dia menangguhkannya kerana terpandang masih ada di kalangan hambaNya yang mendirikan solat ( berjemaah ) di rumah-rumahNya.

Berdasarkan hadith di atas, di antara rahsia dan hakikat solat berjemaah itu sendiri, ianya mampu menyelamatkan kita serta ahli keluarga daripada tertimpa azab atau balasan daripada ALlah. Maka fahaman sebaliknya (mafhum mukhalafah), kalau kita sengaja meninggalkan solat secara berjemaah, sengaja membiarkan rumah-rumah ALlah sunyi sepi, kosong tanpa penghuninya, maka kita sebenarnya sedang menjemput azab ALlah supaya datang menghampiri kita.

Kuliah Maghrib Khas,
Sempena Majlis Solat Hajat Hindari H1N1,
Surau Al-Hidayah.
13 Ogos 2009

KEWAJIPAN MENSYUKURI NIKMAT ALLAH - BAHAGIAN 2

Lantaran terpedaya dengan hasutan iblis, ditambah pula dengan kejahilan di dalam memahami tanggungjawab sebagai manusia/hamba, maka amat tidak ramai jenis manusia yang bersyukur di atas muka bumi ini.

“Iblis berkata kepada ALlah: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". [ Al-A’raaf :16-17]

Hakikat ini diakui sendiri oleh ALlah SWT di dalam firmanNya :

“..dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur". [Saba’:13 ]

ALlah SWT memberi jaminan untuk tidak akan menurunkan azabNya selagi masih ada dari kalangan hamba-hambaNya, orang yang mensyukuri nikmatNya.

“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha mengetahui (akan hal keadaan mereka)". [An-Nisa’:147]

Sebagaimana Dia berjanji untuk menambahkan lagi nikmatNya itu sekiranya manusia berterusan mensyukuri nikmatNya.

“..dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Ku tambahkan nikmatKu itu”

Sebagaimana dijelaskan pada mukaddimah tajuk ini, nikmat( pemberian kebaikan) dan niqmat(pemberian keburukan) ALlah pada hakikatnya adalah satu ujian. Melalui nikmat, Allah SWT ingin menguji kita dari segi kesyukuran manakala melalui niqmatNya pula, ALlah menguji kita dari segi kesabaran. Maka, amat beruntunglah orang-orang yang berjaya melepasi kedua-dua jenis ujian ini..

“..berkatalah ia (Nabi Sulaiman ) : "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang (kufur) tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah". [An-Naml : 40]

Bimbang sekiranya termasuk di dalam golongan manusia kufur, RasuluLlah SAW mengajar kita satu doa untuk diamalkan setiap hari.

اَللّهُمَّ اَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya : “Wahai Tuhanku, bantulah aku untuk sentiasa mengingatiMu, mensyukuri segala nikmatMu serta berusaha memperelokkan ibadahku”

“Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". [An-Naml :19]

“(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah :185]

Ceramah Awwal Muharram,
SMK Bukit Mewah, Seremban