Wednesday, November 18, 2009

KHUTBAH JUMAAT : SATU PENILAIAN SEMULA

Bila menyebut mengenai khutbah, macam macam pandangan dan persepsi masyarakat kita mengenainya. Khutbah pun ada pelbagai jenis tapi yang paling dekat dengan minda dah tentu khutbah jumaat. Ya khutbah Jumaat yang didengar seminggu sekali bila menghadiri solat jumaat. Namun persoalannya bagaimana khutbah betul betul memberi kesan kepada pendengarnya? Bolehkah khutbah memberi impak yang sangat berkesan pada jamaah yang dirahmati Allah seperti yang selalu diungkap oleh imam?

Rata rata khutbah yang diberi , disampaikan dalam bentuk bacaan teks. Bukannya berkhutbah sendiri tanpa melihat apa apa. Majoriti masjid masjid di Malaysia mengguna pakai teks yang dibekalkan oleh jabatan agama , Jika tidak pun pasti buku buku himpunan yang lama lama akan dibacakan semula kepada jemaah jumaat yang hadir. Tak ramai imam yang berkebolehan untuk berpidato sendiri , arakian kalau ramai pun semestinya mungkin tidak dibenarkan oleh pihak tertentu kerana takutkan menyentuh isu isu sensitif dan sebagainya.

Oleh itu, pasti dapat kita saksikan semasa khutbah dibacakan, ramai jemaah yang menjadi “terlalu faham” sehingga tersengguk sengguk beberapa kali, menguap, fikiran ke tempat lain dan tak kurang juga yang mengelamun dan terus mengelamun.

Isi khutbah yang dibaca terus tidak relevan dengan kehendak semasa dan setempat. Tak kurang isi isi khutbah yang kadang kadang tak penting juga dibaca. Bak kata pepatah “asalkan ada, sudah”. Bila si suami atau anak anak ditanya oleh sang isteri dirumah sebaik balik dari solat jumaat mengenai isi khutbah yang dibaca , maka jawapannya tentulah tak tahu, tak faham , geleng atau garu kepala.

Khutbah bukan sekadar syarat untuk sah Jumaat malah lebih dari itu. Ia menjadi medium menyampaikan nasihat , peringatan , motivasi, berita kepada jamaah dan masyarakat. Khutbah sepatutnya lebih bertenaga dengan isi isi yang terkini dan mampu menjadi saluran hebahan yang ditunggu masyarakat setempat. Samalah seperti mana kita duduk di hadapan televisyen menanti dan mendengar berita , begitu jugalah sepatutnya khutbah dalam islam memainkan peranan. Dari khutbah masyarakat dapat mengetahui perkara yang berlaku dalam kawasan mukim dan qaryahnya.

Masyarakat tentu mahukan seorang pemidato atau khatib yang bijaksana, berhikmah dan cekap dalam menyampaikan khutbah. Setiap qaryah perlu berusaha melahirkan khatib yang sebegini agar tidak terlalu bergantung pada teks yang entah mungkin difahami atau tidak isinya. Tak salah jika teks dibekalkan , namun imam dan khatiblah yang perlu menyesuaikannya dengan keadaan tempatan mereka, menambahkan isi isi yang baik selagi tidak bertentangan dengan semua pihak. Imam bukan sekadar ketua solat malah pastinya mesti jadi lebih dari itu. Buat homework yang lebih. Baru impaknya terasa dan diterima.

Kita dapat lihat rata rata persekitaran masjid pada hari ini terutama fokus kita pada hari jumaat. Jamaah kadang kadang melambatkan lambatkan kedatangan ke masjid sedangkan yang dituntut oleh Rasul sollallahalaihissalam adalah sebaliknya. Datang awal ke masjid untuk ibadah ibadah sunah dan seterusnya bersedia untuk mendengar khutbah. Jika khutbah kita lesu, bagaimana pula kita nak amalkan nilai yang telah diajarkan Allah dan Rasul-Nya.

Banyak antara kita yang menghabiskan masa duduk duduk di sekitar masjid, tak kurang yang berbual bual kosong, menghisap rokok, kanak kanak bermain berkejaran ke sana ke mari dengan bising dan sebagainya. Bukankah ini menjadi simbol yang negatif pada Islam itu sendiri. Kita sendiri yang menconteng arang ke agama kita. Kita yang bertanggungjawab Kemungkinan pada semua ini adalah salah satunya pada peranan khutbah kita. Jika khutbah diperkasakan dengan cara yang sesuai , pasti keadaan menjadi lebih baik. Khutbah dengan persiapannya yang rapi, suara yang jelas dan lantang, Khatib bukan sahaja dari kalangan mereka yang berusia emas malah pemuda pemuda yang berketrampilan.

Isi khutbah juga seharusnya tidak terlalu banyak menjurus kepada perkara negatif. Cuba kita perhatikan, kebanyakan isi lebih banyak bersifat mengancam, menakut-nakutkan, melemahkan, menjatuhkan dan yang sebangsa dengannya. Khutbah sepatutnya lebih ceria, bersemangat, bermotivasi , mengalakkan kebaikan, menceritakan perkara yang enak didengar dan positif.

Sifat atau ciri ciri khutbah yang kuno dan lembap perlu dijauh dan dicampakkan jauh jauh. Semua pihak yang terlibat dengan institusi masjid perlu bergerak terkedepan lagi bagi menghasilkan impak yang menggalakkan perkembangan khutbah dan selainnya. Gunakan pendekatan ICT seperti komputer dan perbentangan slaid di layar yang sekurangnya membuatkan mata jamaah terpaku , terjegil dan tak tidur lagi dibuai keasyikan khutbah kuno yang terkebelakang.

Masyarakat juga sebagai penggerak dan nadi kepada perkembangan ini seharusnya lebih aktif. Pemuda harus menonjolkan diri dengan semua ini agar masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk orang orang tua.

Kuliah Maghrib,
Masjid KLIA, Nilai.
24 Oktober 2009

HIDAYAH : ANUGERAH ALLAH KEPADA INSAN PILIHANNYA

Tanpa hidayah daripada ALlah, kita hari ini belum tentu lagi bergelar Muslim atau mukmin. Dengan hidayah ALlah, manusia berubah daripada kafir menjadi muslim, daripada bersifat kebinatangan bertukar menjadi kemanusiaan, daripada liar menjadi jinak dan daripada penentang kebenaran menjadi pembela yang digeruni.

Hidayah adalah hak mutlak ALlah SWT. Diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan begitulah juga diharamkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tiada seorang manusia pun hatta Nabi Muhammad SAW sendiri tidak dapat memasukkan hidayah ALlah ke dalam hati manusia lain. Ketika peristiwa kematian Abu Tholib, Nabi SAW amat berdukacita sekali lalu diberikan penegasan oleh ALlah SWT : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat sekali-kali memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi ALlah jualah yang berkuasa memberi hidayah Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki..” (Al-Qasas :56)

Tugas para ambiya’ dan ulama’ hanyalah menyampaikan apa yang diperintahkan oleh ALlah SWT. Persoalan sama ada manusia ingin menerima hidayah tersebut atau sebaliknya, maka terserahlah kepada Dia. Firman ALlah SWT : “Wahai Rasul Allah, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu oleh Tuhanmu, dan sekiranya engkau tidak melakukannya (tidak menyampaikan semuanya), bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya itu..”(Al-Maa’idah: 67). “Dan sesungguhnya Kami (ALlah) telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap ummah seorang Rasul (dengan memerintah dan menyeru mereka) : Hendaklah kamu menyembah ALlah dan menjauhi thoghut. Maka ada di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu) diberikan petunjuk oleh ALlah dan ada pula yang ditimpa kesesatan” (An-Nahl : 36). “Dan taatlah kamu kepada ALlah serta taatlah kepada Rasul, maka jika kamu berpaling (daripada mentaati ALlah dan Rasul), maka (ketahuilah bahawa) kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah Kami) dengan jelas dan nyata” (At-Taghoobun : 12)

Apabila jelas bahawa hidayah itu adalah hak milik mutlak ALlah SWT manakala tugas para Rasul dan pewarisnya (ulama’) hanyalah menyampaikan (dengan memberikan pengajaran, kefahaman, peringatan, amaran dan seumpamanya), maka sayugialah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memelihara petunjuk ALlah ini agar ianya kekal bersama kita sehingga ke akhir hayat. Justeru, kita diperintahkan oleh ALLah SWT supaya sentiasa memohon petunjuk daripadaNya sebagaimana diperintahkan kepada kita supaya berterusan memohon daripadaNya keampunan.

Hidayah ALlah bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi, jauh lagi untuk dijual-beli. Sebab itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila kita dapati di dalam kisah nabi-nabi terdahulu, ada di kalangan nabi-nabi ALlah yang mana anak dan isteri mereka sendiri tidak mahu beriman kepada mereka lalu akhirnya mati di dalam kekufuran. Perhatikan rintihan Nuh AS setelah melihat mayat anaknya yang mati ditelan bah yang besar : “Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata : Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku ini dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu adalah benar. Engkaulah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. ALlah berfirman : Wahai Nuh, sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya). Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh. Maka janganlah Engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya..”(Hud : 45-46)

Bagi orang-orang yang memperolehi hidayah daripada ALlah dan matinya pula tetap di dalam hidayahNya, maka berbahagialah. Namun, bagaimana pula nasib orang-orang yang menolak hidayah tersebut lalu akhirnya mati ia di dalam kesesatan?

ALlah SWT menjelaskan di dalam banyak ayat Al-Qur’an tentang penyesalan golongan yang sesat ini dan bagaimana menderitanya mereka di Neraka. Di antaranya firman ALlah SWT dalam surah Al-Mulk, ayat 7-11 dan surah As-Sajdah, ayat 12, yang menjelaskan betapa besarnya penyesalan mereka kerana enggan menerima nasihat atau ajakan orang-orang yang mengajak mereka ke arah kebaikan. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka melontarkan pula dengan kata-kata kesat serta tuduhan atau fitnah dan seumpamanya.

Selain mengakui kesalahan sendiri, penghuni Neraka juga turut menyalahkan orang lain di atas kesesatan mereka. “Dan berkata orang-orang kafir : Wahai Tuhan kami, perlihatkanlah kepada kami mereka yang telah menyesatkan kami dari kalangan jin dan manusia untuk kami meletakkan mereka di bawah telapak kaki kami supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan” (Fussilat : 29)

“Dan diperlihatkan Neraka jelas kepada orang-orang yang sesat, serta dikatakan kepada mereka “Di manakah benda-benda yang pernah kamu sembah semasa di dunia dahulu? Dapatkah mereka pada hari ini menolong kamu atau menolong dirinya sendiri?” Lalu akhirnya mereka dihumbankan ke dalam Neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang. Mereka dan orang-orang yang sesat termasuk juga iblis dan bala tenteranya.Mereka berkata sambil bertengkar sesama sendiri di dalam Neraka, “Demi ALlah, sesungguhnya kami semasa di dunia dahulu berada dalam kesesatan yang nyata kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan Sekalian Alam…maka alangkah baiknya kalau kami dapat kembali semula ke dunia supaya kami tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman”. (Syu’ara : 90-102)

“Dan (ingatlah) hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata : Alangkah baiknya kalau aku (semasa di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul. Aduhai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si fulan itu sebagai sahabat karibku” (Al-Furqan : 27-28)

“ALlah berfirman : Masuklah kamu semua ke dalam Neraka bersama umat-umat yang terdahulu daripada kamu dari kalangan jin dan manusia. Setiap satu umat yang masuk, mengutuklah ia akan saudaranya (pemimpin-pemimpinnya). ..Maka mereka berkata : Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami. Oleh itu, timpakanlah ke atas mereka azab yang berlipat ganda dari azab Neraka. ALlah berfirman : Kamu masing-masing disediakan azab siksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahuinya..”(Al-A’raaf : 38)

Penghuni Neraka bukan sahaja meletakkan punca kesesatan mereka kepada manusia lain, bahkan iblis yang sememangnya terkenal dengan tugasan rasminya menghasut dan menyesatkan anak-anak Adam sehingga ke hari kiamat pun turut dipersalahkan. Hal ini dijelaskan oleh ALlah SWT melalui kata-kata iblis : “..maka janganlah kamu (wahai manusia) mempersalahkan aku, sebaliknya persalahkanlah diri kamu sendiri. (Pada hari ini) tidaklah aku dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidaklah dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya aku sejak dahulu lagi telah kufur (ingkar) perintah Tuhanmu yang kamu mempersekutukan aku denganNya..” (Ibrahim : 22)

WaLlaahu A’lam !

Kuliah Subuh,
Surau Kg. Jiboi Baru, Ampangan, Seremban.
15 November 2009

ANAK SOLEH

Menjadi anak yang soleh (kata lawan: toleh) adalah idaman setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini. Bahkan semua ibu bapa muslim turut bercita-cita sekiranya anak mereka menjadi insan yang soleh yang menjadi ‘qurratu a’in (penyejuk mata) bagi mereka.

ALlah SWT meletakkan nasib dan masa depan setiap anak yang dilahirkan, sama ada ianya membesar menjadi soleh atau pun toleh, ke atas bahu dan pertanggungjawaban kedua ibu bapanya. Ibu bapalah faktor utama yang memainkan peranan untuk menyahudikan, mengkristiankan atau memajusikan anak-anak mereka selain pengaruh luaran lain seperti kawan, persekitaran dan sebagainya.

Anak yang soleh sentiasa mentaati perintah ALlah, Rasul dan ibu bapanya. Di dalam al-Qur’an, ALlah mewajibkan setiap anak supaya mematuhi perintah kedua ibu bapanya selagi perintah tersebut tidak bertentangan dengan perintah agama (lihat surah Luqman :14-15)

Selain itu juga, anak yang soleh pastinya tidak akan pernah melupai jasa kedua ibu bapanya. Setiap kali selesai menunaikan solat, mereka akan berdoa dengan doa yang dikhaskan untuk kedua ibu bapanya.

Doa anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya termasuk di dalam 3 jenis amalan yang dapat membantu meneruskan kesinambungan kutipan pahala walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

Menurut Imam As-Syafi’e, setiap anak wajib mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya. Jika tidak, nescaya rezekinya pada hari tersebut tidak akan diberkati oleh ALlah SWT.

Perbuatan menderhakai ibu bapa samalah seperti menderhakai ALlah SWT. Nabi SAW menjelaskan bahawa redha dan murkanya ALlah terletak pada redha dan murkanya kedua ibu bapa terhadap anak-anak.

Menderhakai kedua ibu bapa termasuk di dalam 7 kategori dosa besar dimana pelakunya akan dikenakan siksaan azab yang sangat berat di hari akhirat kelak. Bahkan Nabi SAW pernah memberi amaran bahawa tidak ada dosa yang tidak ditangguhkan pembalasannya di dunia ini melainkan dosa menderhakai ibu dan bapa sendiri.

Di dalam surah Al-Isra’, ayat 23, ALlah menjelaskan bahawa dengan berkata ‘Ah’ (kata-kata yang boleh menyebabkan si ibu berkecil hati) telah pun dikira sebagai menderhaka, maka apa tah lagi sekiranya si anak itu melakukan penderaan fizikal atau mental, sengaja meninggalkannya di rumah-rumah kebajikan masyarakat atau rumah orang-orang tua, mencaci dan mengejek atau seumpamanya lagi.

Nabi Musa AS pernah bertanya kepada ALLah mengenai orang yang bakal menjadi temannya yang akan tinggal bersamanya di dalam syurga lalu ALlah menunjukkan kepada baginda seorang penjual daging yang hanya melakukan ibadat seperti kebanyakan orang awam yang lain. Istimewanya lelaki penjual daging tersebut kerana beliau telah membaktikan dirinya dengan memberikan layanan yang terbaik kepada ibunya yang tua.

Bagaimana membentuk anak menjadi insan soleh?Seperti yang telah dijelaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang amat penting di dalam pembentukan anak soleh yang berakhlak mulia ini. Ibu bapa wajib memberikan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak bukan apabila si anak itu melangkah masuk ke alam persekolahan, tetapi lebih awal daripada itu, iaitu ketika memilih siapakah orang yang selayaknya untuk dijadikan ibu kepada anak yang soleh ini. Ini kerana benih yang baik tidak akan tumbuh menjadi pokok yang baik melainkan ianya berasal dari benih yang baik juga.

Kesilapan ibu bapa yang mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak akhirnya akan memakan diri si ibu bapa itu sendiri. Si anak dibiarkan membesar dengan pendedahan kepada ilmu keduniaan dan dalam masa yang sama tidak pula mahu berusaha mencari ilmu akhirat. Akhirnya lihatlah apa yang terjadi sekarang ini? Masalah gejala sosial yang tidak dapat dibendung lagi kian menjadi barah. Pihak pemerintah dan alim ulamak tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk membaiki keadaan yang semakin kecelaruan ini.

Selain menyediakan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak, ibu bapa juga mesti sedar bahawa pengaruh persekitaran luar juga tidak kurang hebatnya. Masakan tidak, anak yang tidak pernah diajar mencarut oleh ibu bapanya, suatu hari pulang dari sekolah dan terus memarahi adiknya dengan bahasa yang ibu bapa sendiri pun tak sanggup mendengarinya.

Pengaruh luar, terutamanya dari rakan-rakan yang buruk akhlaknya amat dibimbangi oleh semua ibu bapa.

Hari ini, masa anak-anak lebih banyak terluang bersama rakan-rakan mereka berbanding bersama ibu bapa sendiri. Hal ini diakui sendiri oleh majoriti murid yang pernah saya lakukan soal-selidik ke atas mereka. Ibu bapa yang masing-masing bekerja mencari nafkah-keluar awal pagi dan pulang lewat malam tentunya tidak ada masa untuk bersama anak-anak mereka.

Bersahabat dengan sahabat yang baik diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti bersahabat dengan penjual minyak wangi. Jika tidak diberikan sebotol kecil minyak wangi itu dengan percuma, sekurang-kurangnya kita dapat membawa pulang ke rumah satu haruman untuk dihidu oleh orang lain.

Anak adalah Rahmat dan Bala Daripada ALlah

Hakikatnya, anak adalah fitnah atau ujian ALlah kepada ibu bapa. Anak adalah amanah ALlah yang akan dipersoalkan semula di akhirat kelak. Beruntunglah ibu bapa yang dapat menjaga amanah ALlah ini dengan baik dan sempurna, tetapi sebaliknya celaka dan menderitalah bagi mereka yang abai atau lalai.

Anak yang soleh dapat menggembirakan hati kedua ibu bapanya di akhirat kelak. Bahkan menurut sebuah hadith, seorang anak yang dipelawa memasuki syurga berkeras tidak akan masuk ke dalamnya melainkan setelah kedua ibu bapanya yang sedang diazab di dalam neraka dikeluarkan oleh ALlah SWT.

Bagi anak yang toleh pula, penderitaan ibu bapa akibat perbuatannya itu telah pun dirasai semenjak di dunia lagi. Bayangkan betapa sedihnya ibu bapa seandainya dalam seramai 10 orang anak, tidak ada seorang pun yang pandai mentalqinkan ibu atau bapanya yang sedang bertarung dengan kematian. Begitulah juga halnya dengan anak-anak yang langsung tidak dapat menghadiahkan bacaan walau sebaris ayat-ayat suci Al-Qur’an atau yang dapat menyembahyangkan solat jenazah ke atas mayat si ayah yang sedang terbaring kaku di dalam keranda? Tidakkah si anak itu tahu bahawa itu merupakan solat terakhir yang mengiringi pemergian ayahnya ke alam barzakh sana?

Bertuahnya kamu wahai anak-anak duniawi..!

Ceramah Perkhemahan Anak-anak Soleh,
SK Temiang, Seremban.
06 November 2009

AZAN : PANGGILAN ALLAH YANG SENGAJA DIPEKAK-TULIKAN

Saban hari, kita sentiasa diperdengarkan dengan laungan azan yang mengajak manusia supaya mendatangi rumah-rumah ALlah. Kita diajak dan dipelawa untuk datang ke rumahNya untuk bersama-sama menyembah atau mengabdikan diri sebagai salah satu tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini.

Malangnya, berapa orangkah di antara kita yang mendengar panggilan tersebut lalu menyahutnya? Berapa ramaikah di antara kita yang segera meninggalkan apa sahaja urusan ketika itu semata-mata untuk menghadirkan diri ke surau atau masjid demi untuk mendirikan sebuah solat secara berjemaah yang mana ianya sangat disukai oleh Rasulullah SAW?

Kita sebenarnya masih terlalu JAHIL mengenai hakikat dan pengertian azan itu sendiri. Kita masih menganggap azan sebagai panggilan biasa dari seorang yang bergelar muazzin, yang kerjanya ialah melaungkan kalimah-kalimah azan setiap kali masuknya waktu solat.

Azan pada hakikatnya adalah satu panggilan yang amat istimewa. Satu panggilan dari langit untuk semua penghuni di muka bumi. Ia adalah panggilan Tuhan melalui suara seorang muazzin yang menjemput sesiapa sahaja di antara manusia yang mengakui dirinya beriman kepada Tuhannya. Ianya adalah satu jemputan khas dari seorang Malikul Muluk kepada setiap rakyatNya untuk bertandang ke istana-istanaNya. Tidak kurang lima kali dalam sehari semalam, setiap diri kita dijemput dan dipelawa untuk berkunjung ke sana. Siapakah lagi raja selain Dia yang teramat gembira melihatkan hamba rakyatNya saban hari sentiasa memenuhi undanganNya? Kasihnya ALlah SWT untuk bertemu dengan hambaNya sehinggakan dalam 24 jam usia kehidupan kita, sebanyak lima kali kita dipelawa bertandang ke istanaNya.

Namun, lihatlah apa yang berlaku. Perhatikanlah diri kita sendiri sebelum kita memerhatikan diri orang lain. Telinga yang sering mendengar laungan undangan ALlah SWT seolah-olah sengaja dipekakkan. Undangan ALLah lagi sekali tidak dapat kita penuhi dengan sedikit pun tidak ada rasa malu atau gentar terhadap kemurkaanNya.

Mungkin kerana masih ada lagi yang berpegang dengan hukum Fardhu Kifayah, menyebabkan sesetengah daripada kita hari ini melepaskan tanggungjawab tersebut kepada orang-orang lain. Dalam erti kata yang lain, asalkan ada orang lain yang melaksanakannya, maka terlepaslah kita. Ini satu lagi pegangan dan fahaman puak-puak SUFAHA’ ( BODOH ) yang sengaja membuka ruang kepada dirinya menerjah ke pintu kesesatan. Seandainya semua orang berfahaman seumpama golongan BODOH ini, dimana akhirnya tidak ada seorang pun yang menyahut seruan azan serta mendirikan solat berjemaah di rumah-rumah ALlah, tidakkah nanti semua kita yang bersolat di rumah masing-masing akan dimurkai dan dilaknati olehNya? Tidakkah kita merasa gerun sekiranya pada pagi-pagi buta lagi sudah turun azab ALlah dari langit?

Semua orang tahu tentang kelebihan solat berjemaah berbanding solat berseorangan. Lebihan 27 kali ganda (dalam riwayat lain, Nabi SAW menyebut 25 ) bagi orang yang menyempurnakan solatnya secara berjemaah sudah cukup untuk membuktikan betapa BODOHnya kita sekiranya masih mendirikan solat secara berseorangan. [ Sila muat turun dan ikuti kuliah Maghrib saya yang bertajuk “Uzur yang dibenarkan meninggalkan solat berjemaah” dari laman blog surau Al-Hidayah ].

Kalau budak tadika pun pandai memilih untuk memperolehi 27 berbanding 1, takkan kita yang bergelar ‘Bapak Tadika’ masih lagi nak berkira-kira. Tak malukah kita kerana masih tetap mengejar pahala yang satu sedangkan 27 pahala sedang sedia menanti?

Sesungguhnya azan yang dilaungkan di muka bumi ini dengan penuh keikhlasan akan sampai ke pendengaran penghuni langit. Malaikat akan beramai-ramai memohon keampunan untuk si muazzin di atas usahanya memanggil dan mengajak manusia lain agar datang ke rumah ALlah bagi menunaikan solat secara berjemaah. Begitulah juga dengan setiap mereka yang melangkah keluar dari rumah masing-masing menuju ke tempat di mana azan tadi dilaungkan. Semuanya akan didoakan oleh para malaikat yang menghuni langit dan makhluk-makhluk lain yang berada di sekeliling termasuklah tanah dan batu yang dijadikan tempat berpijak.

Orang-orang yang mendengar seruan azan tetapi sengaja memekakkan telinga serta tidak pula mahu menyahutinya, itulah orang yang menyombongkan diri di hadapan ALlah SWT. Kesombongan seperti ini, yang banyak diceritakan di dalam Al-Qur’an akhirnya akan menyebabkan manusia itu dihumban ke dalam Neraka Jahannam dan mereka akan menyesalinya dengan seribu penyesalan. Mereka akan memohon, merintih, merayu dan memanggil-manggil ALlah SWT agar diampunkan segala dosanya atau dikembalikan semula ke dunia untuk menebus segala kecuaian yang pernah dilakukan.

Maka menjawablah ALlah SWT : “Sewaktu di dunia dahulu, engkau sombong terhadap panggilan Aku. Lima kali sehari semalam Aku memanggil, menyeru dan mengajak engkau supaya datang ke rumahKu, menyembah Aku bersama-sama hambaKu yang lain..tetapi engkau angkuh, biadap, sombong dan lebih mementingkan kehidupan duniamu yang langsung tidak ada nilainya di sisi Aku. Maka pada hari ini, bagaimana aku hendak menjawab panggilan dan rintihanmu itu?”.

WalLaahu A’lam !

Kuliah Maghrib,
Masjid Bukit Chedang, Seremban
12 November 2009

HUKUM MEMAKAI GELANG BAGI LELAKI

Apa pandangan dan reaksi anda apabila melihat seorang lelaki memakai seutas gelas pada pergelangan tangannya ? Bagi kita yang berbangsa Melayu yang telah sebati dengan ajaran bahawa gelang adalah pakaian perhiasan bagi wanita, tentu kita akan memandang dengan perasaan kurang senang dan tidak kurang pula yang akan melemparkan pelbagai tuduhan walaupun hanya melalui luahan di dalam hati.

Hari ini, pergilah ke mana-mana sahaja pasti kita akan bertemu dengan golongan lelaki bergelang, tak kisahlah apa jenis gelang sekali pun sama ada gelang tali, gelang jade, kayu koka, magnetic atau sebagainya. Apakah sebenarnya motif mereka ini bergelang ? Untuk mempamerkan satu gaya hidup yang moden, menunjuk-nunjukkan kemewahan atau sekadar terikut-ikut dengan penampilan diri seseorang ? Ada yang mengatakan bergelang kerana tujuan perubatan seperti gelang biomagnetik Edymium. Dengan memakai gelang tersebut, dapat mengembalikan kesimbangan arus elektromagnet di dalam sel-sel darah serta mampu menambahkan oksigen di dalam badan.

Saya bukan menentang sesiapa yang ingin memakai gelang, tetapi saya merasakan terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberikan sedikit penjelasan berkaitan hukum memakai gelang bagi lelaki terutamanya kepada mereka yang memakainya tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak atau agama.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, gelang adalah salah satu daripada perhiasan bagi wanita. Golongan lelaki dilarang keras daripada melakukan sebarang penyerupaan seperti wanita (tasyabbuh) sama ada penyerupaan dari segi cara berpakaian, cara bertutur, cara berjalan apatah lagi melakukan perubahan bentuk tubuh badan melalui pembedahan plastik dan seumpamanya. Begitu juga sebaliknya, wanita dilarang daripada menyerupai golongan lelaki. Perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki dikutuk dan dilaknat sekeras-kerasnya oleh Rasulullah SAW.

Dewasa ini, kita dapati ramai lelaki memakai gelang dengan alasan dan tujuan sebagai satu method pengubatan. Pemakaiannya bukan sahaja dari kalangan orang-orang awam bahkan turut melibatkan ahli-ahli agama dan pemimpin-pemimpin tertinggi negara termasuk Yang Dipertuan Agung sendiri, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Al-Fadhil Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus menjelaskan bahawa hukum memakai gelang bagi lelaki adalah haram kerana ia termasuk di dalam kategori menyerupai perhiasan wanita tetapi sekiranya pemakaian gelang tersebut dengan tujuan semata-mata perubatan, ianya adalah diharuskan. Keharusan hukum itu akan terhenti setelah penggunaan gelang tersebut sebagai alat pengubatan tidak diperlukan lagi atau apabila terbukti tidak memberikan apa-apa kesan kepada kesihatan tubuh badan pengguna.

Dipetik dari laman web Edymium-Gelang Magnet, Ustaz Zamri Hashim, Ketua Penolong Mufti Negeri Perak berkata pemakaian gelang bermagnet (berharga antara RM200-RM300 seutas) yang dikatakan mempunyai unsur perubatan dan kini menjadi satu trend adalah harus sekiranya memenuhi empat syarat yang ditetapkan, iaitu :

1. pemakai gelang bermagnet itu tidak beri'tiqad bahawa ia memberi kesan kerana yang memberi kesan adalah Allah SWT.

2. tidak berniat memakai gelang berkenaan kerana menyerupai wanita.

3. bukan bertujuan untuk bermegah-megah.

4. Haram memakai gelang yang diperbuat daripada emas.

Cuma satu yang menjadi persoalan saya apakah tidak ada lagi kaedah rawatan yang lain selain daripada bergelang magnetik ini ?

Suatu ketika dahulu, kita terutamanya orang Melayu telah ditipu dengan khasiat dan kelebihan kayu koka. Sejak itu, ramailah di antara kita yang berkayu koka, sama ada cincin bermata koka, tasbih koka dan termasuklah gelang kayu koka. Mereka sanggup menghabiskan ratusan bahkan ribuan ringgit untuk mendapatkan kayu yang dikatakan bahan pembinaan bahtera Nabi Allah Nuh AS yang penuh dengan pelbagai khasiat serta kelebihan. Lihatlah apa yang terjadi sekarang. Kayu koka kini tiada lagi sambutan daripada masyarakat setelah rahsia pembohongannya terbongkar.

Ingatlah bahawa musuh Islam sentiasa merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima apa sahaja cara yang diperkenalkan mereka. Bayang sekiranya suatu hari nanti diperkenalkan pula subang telinga magnetik yang boleh membantu masalah cacat pendengaran atau pun subang hidung magnetik yang mampu membantu melancarkan sistem pernafasan atau dapat mengubati penyakit resdung, apakah kita juga akan turut sama bersubang ?

Hadis daripada Imran bin Hussein RA, bahawasanya Rasullulah SAW telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan. "Apakah bendanya ini"? Lelaki itu berkata,"Ia adalah gelang perubatan". Rasulullah bersabda,"Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya." Hadis Sahih yg ke-19,885 Riwayat Imam Ahmad.

Kuliah Maghrib,
Surau Taman Permai 2, Seremban
08 November 2009