Tuesday, September 28, 2010

CADANGAN UMRAH DAN KHATAM QURAN DI TANAH SUCI

Kelas Al-Qur'an Dewasa Bandar Warisan Puteri berhasrat akan mengadakan majlis khatam Al-Qur'an sama ada di Masjidil Haram, Makkah Al-Mukarramah atau di Masjid An-Nabawi, di Madinah disamping menunaikan kefardhuan umrah pada bulan April 2013 akan datang.

Bayaran ansuran sebanyak RM250 sebulan akan mula dikutip pada awal November 2010 dan berakhir pada November 2012 dengan jumlah terkumpul sebanyak RM6250 setiap peserta.

Semua peserta Kelas Al-Qur'an Dewasa termasuk pasangan dan anak-anak dipelawa untuk menyertai program ini.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi saya. Tawaran ini akan dibuka juga kepada bukan peserta sekiranya ada permintaan.

Monday, September 20, 2010

ZIARAH RAYA

Setelah tamat menjalani ibadah puasa sunat 6 hari dalam Syawwal, barulah terasa keseronokan untuk berhari raya. Tambah pula, rakan-rakan di taman ini masih ramai yang belum pulang dari kampung masing-masing.

Saya sempat berhari raya di rumah tuan setiausaha khairat kematian Bandar Warisan Puteri, Encik Jamaluddin Samsir..itu pun setelah diajak ( saya ni payah sikit nak berjalan ke rumah orang orang ). Selesai solat isyak, saya dan beberapa rakan jemaah yang lain ke rumah En. Jamaluddin, menikmati sedikit (tapi banyak juga) juadah raya.

Terima kasih dan semoga dilimpahkan kemurahan rezeki ke atas tuan sekeluarga.

JALAN LURUS : ADAKAH ALLAH DAH TUNJUKKANNYA KEPADA KITA?

"Wahai Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus" - demikianlah salah satu doa yang kita sering ucapkan. Bagi mereka yang solat fardhu full 5 kali sehari semalam, jumlah doa tersebut telah dibacanya sebanyak 17 kali. Mengapa sampai begitu kerap kita berdoa memohon daripada ALlah SWT agar ditunjukkannya jalan yang lurus itu? Jawabnya ialah kerana kalau kita tersasar ke jalan susur keluar yang lain, maka sesat dan sengsaralah nasib kita di hari akhirat esok.

Di kalangan kita hari ini - ramai yang berdoa seperti itu, tapi malang seribu kali malang, apabila ALlah SWT tunjukkan kepada mereka jalan yang lurus ( sepertimana yang diminta di dalam doanya ), mereka tetap memilih jalan yang sesat. Mereka lebih suka mengikuti susur kesesatan kerana ianya bertepatan dengan tuntutan nafsu.

Kita yang mendengar cerita ini semuanya rasa pening. Ada jugak ye manusia macam tu? Tiap hari tiap malam minta ditunjukkan jalan yang lurus, tapi bila Tuhan dah tunjuk, alih-alih jalan sesat jugak yang diikutinya..

Antara jalan lurus yang ALLah telah tunjukkan kepada manusia ialah perintah menguruskan kehidupan berlandaskan Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan beberapa larangan ( tak banyak mana pun.. ) seperti jangan rasuah, jangan suka tipu atau kelentong rakyat, jangan menyusahkan orang ramai, jangan suka amalkan sikap 'my kronis's first', dan sebagainya lagi. Tapi ..apa yang Tuhan larang, itulah yang dikerjakannya.

Antara jalan lurus yang lain yang mesti dilalui oleh manusia ialah hendaklah mereka mengerjakan solat secara berjemaah, hormati jiran dan orang lain, nasihat-menasihati antara sesama sendiri dan lain-lain lagi. Namun begitu, ada kita buat semua tu? Ada datang ke surau/masjid untuk solat jemaah? Tak ada..

Habis tu? Apa makna kita minta dari ALlah supaya ditunjukkan kita jalan yang lurus tadi tu? Kot nak minta apa-apa, bila ALlah dah bagi, terima dan ikut ajelah.. Jangan nak bersikap huk-hek pulak!

Friday, September 17, 2010

SELAMAT HARI RAYA ENAM

Alhamdulillah.. Semuanya dengan pertolongan ALlah SWT jua. Hari ini, sekali lagi saya menyambut Hari Raya..iaitu Hari Raya Enam. Mungkin di sebelah pantai barat, suasana Raya Enam tidak semeriah di sebelah pantai timur.

Raya Enam adalah istilah kita orang Melayu, disambut oleh mereka yang telah berjaya menghabiskan puasa sunnat 6 hari di dalam bulan Syawwal. Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang puasa penuh dalam Ramadhan kemudian disusuli pula dengan puasa sunnat sebanyak 6 hari di dalam bulan Syawwal, dia akan diberi pahala sama seperti dia puasa selama setahun. Waah..ganjaran yang lumayan tu..sapa tak nak, kan? Tapi, kenapa masih ramai yang belum mulakan lagi? Iyelah.. open house masih banyak diadakan..

Apa pun, janganlah ditangguh-tangguhkan..bimbang kot esok, dah tak cukup harinya aje..

Friday, August 27, 2010

NUZUL QUR'AN

Selamat Menyambut Hari Nuzul Qur'an ! Hari ini, 17 Ramadhan, hari cuti am bagi sesetengah negeri di Malaysia..tapi tidak di N. Sembilan. Nuzul Qur'an bererti hari di mana Al-Quran mula-mula sekali diturunkan oleh ALlah kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Walaupun ada pandangan ulamak bahawa nuzul Quran bukannya pada 17 Ramadhan, tetapi tarikh tersebut telah diterima oleh majoriti mereka. Tak kiralah bila pun tarikhnya, apa yang lebih penting ialah maksud penurunan al-Quran itu sendiri.

Apakah tujuan utama diturunkan Al-Quran? Untuk ditadaruskan dalam bulan puasa sahaja ke? Antara tujuan utamanya ialah untuk kita tadabburkan ayat dan maknanya lalu dipraktikkan segala kandungannya. Itu yang paling mustahak. Namun demikian, berapa ramai di kalangan pembaca al-Quran hari ini yang dapat mentadabburkan ayat-ayat yang dibacanya? Jauh lagi untuk mengaplikasikan segala suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya...

Kalau ada yang kata : "Kami dah praktiskan al-Quran.." , apakah semua sekali atau hanya pada ayat-ayat tertentu sahaja? Mengapa kita wajibkan atas diri kita puasa dalam Ramadhan, tetapi tidak mewajibkan perintah pelaksanaan menutup aurat? Walhal kedua-duanya itu adalah perintah ALlah di dalam Al-Qur'an. Nampak sangat kita ni banyak memilih dan pilihan kita itu pula terarah kepada yang sesuai dengan nafsu sahaja..yang tak sesuai, kita buat-buat buta ! Kalau demikianlah perangai kita dengan kandungan al-Quran, maka tak samakah kita dengan perangai puak-puak pendeta Yahudi dan Nasrani di zaman dahulu, kini dan selamanya? Mereka hanya menerima hukum yang selari dengan hawa nafsu mereka semata-mata sebaliknya hukum yang tidak sesuai atau boleh mendatangkan kerugian kepada mereka, lalu diubah, dipinda atau sengaja buat-buat tak tahu!

Walaupun baca Al-Quran tanpa tahu makna dah pun dikira dapat pahala, tetapi mengapa tak usaha supaya dapat pahala lebih banyak dengan mempelajari maknanya pula? Kalau sebelum ini, kita baca Quran sambil lalu macam tu aje, apa kata kiranya selepas ni kita baca sambil perhatikan terjemahannya pula? Biar lambat, asal dapat faham maknanya..

Sekian.

Wednesday, August 25, 2010

KELAS AL-QURAN DEWASA

Semalam, saya ada hantar surat tawaran menyertai kelas Al-Qur'an kepada beberapa orang jiran, merangkap sahabat baik, mempelawa mereka mengikuti kelas Qur'an yang diadakan di PASTI Al-Mawaddah, Bandar Warisan Puteri. Tujuan saya, tak lain tak bukan kerana saya nak berkongsi ilmu yang ada pada saya disamping nak membantu mereka agar tidak tua menjadi buta Qur'an.

Pengalaman mengendalikan kelas Qur'an Dewasa sejak awal Mac 2010 bagi batch pertama, saya dapati orang yang selama ini saya anggarkan mereka dah cukup bagus membaca Qur'an, rupa-rupanya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Paling ketara ialah kesilapan baca baris harakat dan kadar panjang pendeknya (mad).

Ada juga yang bermula dengan Iqra' 1, muka surat 1. Namun begitu, saya puji mereka ini kerana tidak jemu berusaha untuk membasmi buta Qur'an mereka itu. Mereka diasuh, dilatih-tubi dan dipaksa hinggalah seperti apa yang saya dapati hasilnya sekarang. Alhamdulillah..bukan setakat betul sebutan bacaan sahaja, dah siap nak bertarannum pulak! Masya' ALlaaah !!

Walaupun cuma 3 malam sahaja dalam seminggu, peserta batch pertama saya ini dapat membuktikan bahawa kesungguhan mengatasi segala-galanya. Pakcik Isa, selaku ketua murid, telah membuktikan bahawa seseorang yang asalnya membaca Qur'an sambil terangkak-rangkak, dapat membaca dengan baik apabila adanya kesungguhan. Walaupun usia dah nak menjejaki lubang kubur, beliau masih ada keinginan untuk belajar baca Qur'an dengan betul. Begitu juga dengan isteri beliau, Kak Ani.. saya tak sangka sama sekali bahawa dalam masa 6 bulan sahaja, Kak Ani dah dapat membaca Qur'an dengan baik. Walaupun kadang-kadang tersangkut, tapi itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan hari pertama beliau mengikuti kelas Qur'an di sini.

Saya mendoakan agar mereka berdua diberi kemudahan oleh ALLah SWT untuk terus mempelajari kalamNya ini. Tidak dilupakan juga penghargaan saya buat Ustazah Hanif Shah yang telah banyak membantu saya sebagai rakan partner. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di Univ. Malaysia Terengganu (KUSTEM) dalam bidang kaunseling.

Pengambilan batch ke-2 ini, insya'ALlah akan bermula pada awal Oktober 2010 akan datang. Seramai 10 orang sahaja yang bakal melapor diri. Semuanya adalah mereka yang berusia sebaya dengan saya. Mungkin kali ini, tiada peserta veteran kerana saya nak bantu membimbing rakan-rakan yang saban malam sentiasa bersama saya di pondok kawalan. Insya'ALlah, selagi saya ada kudrat dan iradah pinjaman ALlah, saya akan cuba bantu mereka sedikit demi sedikit agar mereka selamat daripada menerima malu di hari tua kelak.

Selamat berpuasa dan Selamat menyambut Ramadhan Fasa ke-3, iaitu Fasa Iktikaf dan mencari Lailatul Qadar !

Tuesday, August 24, 2010

JANGAN DIDIK ANAK TENTANG PUASA SAHAJA..SOLAT LEBIH PENTING !

Alhamdulillah.. Dah 2 minggu kita berpuasa. Sekejap aje rasanya, ye? Pagi tadi, sambil memantau kerja sekolah murid-murid Tahun 1 Cemerlang dalam kelas, saya bertanya beberapa orang di antara mereka, siapa yang masih penuh puasanya? Agak mengejutkan..cuma 3 orang sahaja yang dah miss..itu pun baru 2 atau 3 hari. Alasan miss puasa ialah kerana tak bangun sahur.

Hebat betul kanak-kanak kita hari ini. Baru umur 7 tahun, dah larat puasa sampai satu bulan. Itu menunjukkan bahawa puasa ni sebenarnya takde lah berat sangat pun.. Penghargaan patut juga diberi kepada ibu dan bapa yang begitu bersungguh-sungguh mempastikan anak-anak dapat berpuasa. Sewal jam 5 lagi, si anak sudah dikejutkan untuk bangun bersahur. Dipujuk oleh sang ibu agar dapat makan sahur walau pun satu suku pinggan sahaja nasinya. Bila tiba tengah hari, si anak merengek kelaparan, lalu si ibu tadi memujuk pula supaya si anak dapat bersabar menahan kelaparannya.. 'Sabar ye, sayang..dah tak lama dah ni..' pujuk si ibu.

Baguslah kalau semua ibu dan bapa macam tu punya kesungguhan mendidik anaknya supaya berpuasa. Cuma satu perkara yang saya musykil, apakah dalam bab solat, kita bersungguh seperti itu juga? Sanggupkah kita kejutkan anak seawal pagi supaya anak dapat bangkit untuk solat Subuh? Pernahkan kita memujuk si anak supaya sabar mendirikan solat sebagaimana kita pujuk mereka sabar ketika berpuasa?

Realiti hari ini, kita lebih titik-beratkan puasa anak daripada solatnya..SEDANGKAN, ANTARA solat dan puasa, ibadah manakah yang paling berat mengikut kacamata Al-Qur'an?

WaLlahu A'lam !

Friday, August 13, 2010

RAMADHAN SHAHRUL QURAN

Shahrul Quran - salah satu gelaran yang diberikan kepada penghulu segala bulan ni.. Ianya bererti Bulan Al-Quran. Maksudnya ialah bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagaimana firman ALlah SWT : "Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran" (Surah al-Baqarah). Maksud yang ke-2 pula ialah Ramadhan itu merupakan bulan yang paling ramai manusia baru nak cari dan nak baca Quran. Bulan-bulan lain tu..harapkan malam Jumaat aje lah..itu pun sekadar Yasin sahaja.

Dalam Ramadhan inilah, kita dapat lihat orang ramai kembali berjinak semula dengan al-Quran. Syukurlah ada bulan Ramadhan..kalau tidak, sampai ke mati le kita tak buka al-Quran. Program Tadarus juga diwar-warkan supaya ramai yang join dan participate. Waktunya ? Biasalah lah..selepas Witir, bila lagi? Kelihatan ada yang bersungguh-sungguh baca Quran hinggakan habis terlanggar isyarat-isyarat dalam bacaan.. mengapa baca sampai begitu express? La.. rupa-rupanya nak kejar tarikh khatam yang telah ditetapkan oleh penganjur. Kata pengajur, tahun ni kita nak cuba khatam sampai 3 kali. Fullamaak..oi.. hebat tu!

Apa maksud khatam? Sama ke dengan istilah 'Khitan'? Khatam tu ertinya tamat. Khatam Quran ertinya dah tamat atau dah habis dah baca Quran dari juz 1 sampai juz 30. Tapi betul ke praktikal tadarus kita hari boleh digunapakai untuk khatam Quran? Peserta tadarus kita tu..mereka baca secara individu atau berkumpulan? Berkumpulan pulak macamana caranya? Adakah semua mesti baca dari awal hingga akhir atau bahagi-bahagikan juz ikut kumpulan? Maksud saya, contohnya seperti kumpulan 1 baca juz 1-5, kumpulan 2 baca dari juz 6-10..adakah bila semua kumpulan ni dah selesai baca Quran ikut pembahagian juz masing-masing, maka kita pun boleh mendabik dada seraya berkata : Kami dah khatam dah...

Kalau macam tu, saya nak khatam satu malam sekali khatam. Apa susah..kita kumpulkan 30 peserta dan setiap peserta tolong baca 1 juzu mengikut pembahagian juz yang akan saya beri nanti. Waah..lagi hebat.. Maka tiap-tiap malam saya akan adakan majlis Khatam Quran !

Menipu ke tidak namanya tu? Alahai manusia..kut nak tunjuk cerdik pun, janganlah sampai ALlah pun kita nak tipu..! Khatamlah Quran menurut praktikalnya yang sebenar..bukan caca marba macam tu..

OK lah.. Selamat bertadarus kepada semua rakan kumpulan tadarus. Izinkan saya tanya satu lagi soalan : Apa objektif tadarus sebenarnya? Nak megah dengan khatam atau nak betulkan bacaan sambil mengerti maksud ayat-ayat yang dibaca? Kalau dah mengerti maksud ayat, tunggu apa lagi? Amalkanlah kandungan ayat tersebut...

Thursday, August 12, 2010

BUKA PUASA.. ALA-ALA KADAR JE LAH

Salam Ramadhan.. Syukur pada ALlah..kerana telah berjaya menamatkan puasa hari pertama semalam. Pagi tadi, terbaca cerita/berita kemalangan jalan raya di Tol Senawang - pemandunya mati kerana terlanggar belakang sebuah lori-tak sempat nak berbuka puasa. Ye lah.. panggilan ALlah telah tiba..apalah daya dan upaya kita lagi..

Kita yang masih hidup sekarang ni pun..belum tentu dapat bertemu dengan Ramadhan hari ke-3, apatah lagi hari ke-30 sebelum nak menyambut raya. Tapi, walau bagaimana pun, kalaulah dah takdir kita dimatikan sekarang, atau esok lusa, sekurang-kurangnya kita patut berbangga sebab kita mati dalam bulan Ramadhan..tu pun kalau diri kita ni orang yang baik. Kalau jahat atau tak pernah solat walau sekali pun, matilah dalam bulan apa pun, tetap dibelasah oleh malaikat kat dalam kubur tu..

Biasanya bila dah nak masuk sesi petang, kita dah tak terasa kelaparan lagi..waktu ni, kepala duk ligat berfikir nak makan apa sebagai juadah puasa. Nasihat saya, tak payahlah beli hingga 7, 8 jenis lauk pauk dan kuih muih. Ala-ala kadar aje lah.. kot nanti bila terlalu banyak perut tu diisi, malas pulak nak solat jemaah kat surau.. Perut kenyang mata pun mulalah kuyu.. habis tu, macamana nak isi Ramadhan kita dengan amal ibadah?

Apa-apa pun, selamat berbuka puasa !

Friday, July 2, 2010

ISTIDRAJ UNTUK ULAMA'

Pernah dengar perkataan 'Istidraj'? Istidraj bermaksud kelebihan@keistimewaan yang ALlah SWT berikan kepada seseorang hambaNya tetapi bukan dengan tujuan untuk memuliakan hamba tersebut, bahkan sebaliknya adalah sebagai satu bentuk penghinaan yang halus lagi tersembunyi.

Contoh istidraj ialah seperti seseorang yang diberikan harta kemewahan, lengkap serba-serbi, ada kereta besar, pakaian cantik dan seumpamanya, tetapi semua itu tidak dapat digunakan untuk dijadikan penyalur kepada ibadah kita kepada ALlah.

Ada orang kata, inilah salah satu tanda kita dah mula kufur nikmat! Bagaimana ALlah SWT boleh tambahkan lagi nikmatNya kepada orang yang sering mengkufurinya? Bukankah ALlah telah berpesan bahawa : Sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, ingatlah bahawasanya azabKu amatlah pedih!

Perhatikan sahaja orang-orang kaya (yang tak sedar diri) di sekeliling kita..mereka diberikan harta yang berlimpah-ruah, kekayaan mereka bertambah dari sehari ke sehari, sedangkan mereka ini tak pernah pun sembah ALlah, tak pernah pun datang berkunjung ke rumah ALlah, bagaimana ini boleh berlaku?

Baiklah..seperti yang saya nyatakan di awal perenggan pertama di atas, istidraj ialah pemberian ALLah untuk menghina hambaNya, bukan untuk memuliakan. Perbandingan ringkas saya ialah ayam daging yang dibela di reban. Saban hari diberi makan, suntikan ubat dan vaksin, penjagaan yang begitu rapi sehinggalah ayam-ayam daging ini memboyot dan sihat-sihat belaka. Cukup masanya, mereka pun dibawa naik lori..Naik lori tu, nak ke mana ? Lawatan sambil belajar ke ? Tidak..jawabnya ialah mereka naik lori sebab nak dibawa ke tempat penyembelihan.

Lebih kuranglah maksud perbandingan saya di atas tu dengan golongan kaya rayawan yang sampai hari ni, masih tak nampak-nampak mukanya di surau masjid. Harta kekayaan pemberian ALlah itu adalah sebagai makanan yang disogokkan supaya bila tubuh badan dah membesar, berbaloi amat sangatlah ianya dibakar di dalam api neraka kelak..

Itu contoh istidraj dari sudut harta kekayaan. Dari sudut ilmu pengetahuan pun tidak dapat lari dari ujian istidraj ini.

Ramai orang alim (ulama') yang terjatuh dalam perangkap istidraj. Mereka banyak ilmu, banyak pengetahuan tentang hukum-hakam tetapi malangnya mereka sendiri yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat kepada ALLah SWT. Dengan kelebihan ilmu yang ada, ditambah pula dengan sedikit kebolehan berbicara, kita gunakan ilmu kita untuk memburukkan orang lain, menghukum dengan pelbagai gelaran dan menyebar-luaskan keaiban orang ramai dengan alasan ianya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Mungkin pada sisi kita, perbuatan seumpama itu adalah satu kebajikan yang akan diberikan pahala, tetapi bagaimana sekiranya di sisi ALlah, perbuatan kita itu adalah sebesar-besar kejahatan yang bakal diberikan dosa serta laknat kutukan daripadaNya?

Saya teringat pesanan Junjungan Besar kita : "Sesiapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan orang lain, mengaibkan orang lain serta dengan tujuan konon-konon orang akan kita kita ni hebat, maka dia akan mendapat laknat serta kutukan daripada ALLah SWT."

Saya sentiasa memperingatkan diri ini, agar jangan apabila kita dah terkenal, dipanggil berceramah situ-sini, kita pun mulalah lupa diri. Tambah pula apabila setiap kali dipanggil berkuliah atau berceramah, ada tersedia habuannya..

Tuesday, June 29, 2010

KULIAH UST NASARUDDIN ALI DI SURAU AL-HIDAYAH

Assalamualaikum w.m;

Saya tidak berhasrat untuk mengulas isu Al-Fadhil Ust Nasarudin Ali dan tulisan-tulisan di dalam blog Al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Mansor. Meskipun ramai sahabat yang bertanyakan pandangan saya, jawapan saya ialah : Diam adalah lebih baik !

Zaman sekarang, seperti kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian. Manusia semakin hari semakin bergerak menuju ke arah kejahatan. Tidak kira mereka ini ulama' mahupun juhala'. Kejahatan ulama' tidaklah sama sekali serupa seperti kejahatan juhala' kerana setiap ulama' yang melakukan seseuatu kejahatan mempunyai dalil dan nas yang tersendiri untuk menghalalkan kejahatannya. Maka, sewajarnya kita perlu amat berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan mereka ini.

Apabila berlaku sesuatu tuduh-menuduh atau fitnah-memfitnah, kita jangan cepat melatah lalu mengiyakan apa sahaja yang orang kata. Islam mengajar kita supaya hendaklah kita siasat perkara tersebut terlebih dahulu dan jangan menelannya secara bulat-bulat. Orang yang menyampaikan berita pula, hendaklah dia bertanggungjawab dengan kebenaran berita tersebut serta sanggup bersedia untuk memikul dosa penipuannya sekiranya dia adalah pembohong. Pembohong yang bersumpah atas nama ALlah SWT semata-mata untuk menegakkan kebohongannya, maka bertambah lipat gandalah dosanya-dosa sesama manusia dan dosa kepada ALlah.

Malam semalam, saya ke Masjid Sendeng mengikuti kuliah mingguan Ust Nasaruddin. Tujuan saya ialah untuk mempelawa beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar atau pengkuliah di Surau Al-Hidayah, lebih tepat lagi supaya beliau dapat mengisi malam kuliah saya yang akan saya kosongkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, Ust Nasaruddin akan meneliti jadual kuliah beliau dan akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Wednesday, June 16, 2010

KERANA SEBIJI BOLA..

Telah sekian lama saya tidak menulis..ntahlah..kini saya rasa lebih selesa menulis di atas kertas berbanding menulis di dalam internet. Tulisan terbaru saya bertajuk : "Hargailah nikmat kehidupan" yang saya tulis dalam bentuk flyer boleh didapati di surau Al-Hidayah. Insya'ALlah, jika ada kelapangan, akan saya huraikan pula dalam bentuk kuliah.

Cuti sekolah selama 2 minggu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya-maksud saya, tidak dapat saya nak bersantai betul-betul. Imam-imam lain yang diamanahkan bergilir-gilir dengan saya untuk mengepalai jemaah, tiada kelihatan selama masa cuti sekolah ini. Kalau ada datang pun, selepas takbiratul ihram..

Bukannya tujuan tulisan saya kali ini, bermaksud nak perlekehkan mereka..jauh sekali untuk mengangkat bakul saya sendiri. Saya faham, cuti sekolah lah masanya untuk kita bersama keluarga..cuma, faham-faham je lah..saya pun ada anak isteri juga..datanglah, sekurang-kurangnya, bolehlah saya guna masa tidak bertugas untuk bawa keluarga bersiar-siar, berjemaah di lain-lain masjid..

Seperkara lagi, saya nak tegur kepada para jemaah yang kaki bola (suka tengok match-main tak pandai pun!), janganlah kerana nak tonton bola hingga sanggup gadaikan pahala jemaah kita. Lihatlah betapa besarnya kejayaan si Yahudi menyesatkan kita..sebiji bola sahaja, mampu melarikan jemaah daripada bersolat di masjid dan surau..

Mujurlah saya bukannya peminat bola sepak..kalau tidak, mungkin saya pun sama seperti sebahagian kecil jemaah kita ni..Bayangkan, kalau imam masih ada kat depan TV sedangkan makmum ternanti-nanti kat surau sana tu..

Kacau-bilau lah dunia ni..!