Friday, August 27, 2010

NUZUL QUR'AN

Selamat Menyambut Hari Nuzul Qur'an ! Hari ini, 17 Ramadhan, hari cuti am bagi sesetengah negeri di Malaysia..tapi tidak di N. Sembilan. Nuzul Qur'an bererti hari di mana Al-Quran mula-mula sekali diturunkan oleh ALlah kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Walaupun ada pandangan ulamak bahawa nuzul Quran bukannya pada 17 Ramadhan, tetapi tarikh tersebut telah diterima oleh majoriti mereka. Tak kiralah bila pun tarikhnya, apa yang lebih penting ialah maksud penurunan al-Quran itu sendiri.

Apakah tujuan utama diturunkan Al-Quran? Untuk ditadaruskan dalam bulan puasa sahaja ke? Antara tujuan utamanya ialah untuk kita tadabburkan ayat dan maknanya lalu dipraktikkan segala kandungannya. Itu yang paling mustahak. Namun demikian, berapa ramai di kalangan pembaca al-Quran hari ini yang dapat mentadabburkan ayat-ayat yang dibacanya? Jauh lagi untuk mengaplikasikan segala suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya...

Kalau ada yang kata : "Kami dah praktiskan al-Quran.." , apakah semua sekali atau hanya pada ayat-ayat tertentu sahaja? Mengapa kita wajibkan atas diri kita puasa dalam Ramadhan, tetapi tidak mewajibkan perintah pelaksanaan menutup aurat? Walhal kedua-duanya itu adalah perintah ALlah di dalam Al-Qur'an. Nampak sangat kita ni banyak memilih dan pilihan kita itu pula terarah kepada yang sesuai dengan nafsu sahaja..yang tak sesuai, kita buat-buat buta ! Kalau demikianlah perangai kita dengan kandungan al-Quran, maka tak samakah kita dengan perangai puak-puak pendeta Yahudi dan Nasrani di zaman dahulu, kini dan selamanya? Mereka hanya menerima hukum yang selari dengan hawa nafsu mereka semata-mata sebaliknya hukum yang tidak sesuai atau boleh mendatangkan kerugian kepada mereka, lalu diubah, dipinda atau sengaja buat-buat tak tahu!

Walaupun baca Al-Quran tanpa tahu makna dah pun dikira dapat pahala, tetapi mengapa tak usaha supaya dapat pahala lebih banyak dengan mempelajari maknanya pula? Kalau sebelum ini, kita baca Quran sambil lalu macam tu aje, apa kata kiranya selepas ni kita baca sambil perhatikan terjemahannya pula? Biar lambat, asal dapat faham maknanya..

Sekian.

Wednesday, August 25, 2010

KELAS AL-QURAN DEWASA

Semalam, saya ada hantar surat tawaran menyertai kelas Al-Qur'an kepada beberapa orang jiran, merangkap sahabat baik, mempelawa mereka mengikuti kelas Qur'an yang diadakan di PASTI Al-Mawaddah, Bandar Warisan Puteri. Tujuan saya, tak lain tak bukan kerana saya nak berkongsi ilmu yang ada pada saya disamping nak membantu mereka agar tidak tua menjadi buta Qur'an.

Pengalaman mengendalikan kelas Qur'an Dewasa sejak awal Mac 2010 bagi batch pertama, saya dapati orang yang selama ini saya anggarkan mereka dah cukup bagus membaca Qur'an, rupa-rupanya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Paling ketara ialah kesilapan baca baris harakat dan kadar panjang pendeknya (mad).

Ada juga yang bermula dengan Iqra' 1, muka surat 1. Namun begitu, saya puji mereka ini kerana tidak jemu berusaha untuk membasmi buta Qur'an mereka itu. Mereka diasuh, dilatih-tubi dan dipaksa hinggalah seperti apa yang saya dapati hasilnya sekarang. Alhamdulillah..bukan setakat betul sebutan bacaan sahaja, dah siap nak bertarannum pulak! Masya' ALlaaah !!

Walaupun cuma 3 malam sahaja dalam seminggu, peserta batch pertama saya ini dapat membuktikan bahawa kesungguhan mengatasi segala-galanya. Pakcik Isa, selaku ketua murid, telah membuktikan bahawa seseorang yang asalnya membaca Qur'an sambil terangkak-rangkak, dapat membaca dengan baik apabila adanya kesungguhan. Walaupun usia dah nak menjejaki lubang kubur, beliau masih ada keinginan untuk belajar baca Qur'an dengan betul. Begitu juga dengan isteri beliau, Kak Ani.. saya tak sangka sama sekali bahawa dalam masa 6 bulan sahaja, Kak Ani dah dapat membaca Qur'an dengan baik. Walaupun kadang-kadang tersangkut, tapi itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan hari pertama beliau mengikuti kelas Qur'an di sini.

Saya mendoakan agar mereka berdua diberi kemudahan oleh ALLah SWT untuk terus mempelajari kalamNya ini. Tidak dilupakan juga penghargaan saya buat Ustazah Hanif Shah yang telah banyak membantu saya sebagai rakan partner. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di Univ. Malaysia Terengganu (KUSTEM) dalam bidang kaunseling.

Pengambilan batch ke-2 ini, insya'ALlah akan bermula pada awal Oktober 2010 akan datang. Seramai 10 orang sahaja yang bakal melapor diri. Semuanya adalah mereka yang berusia sebaya dengan saya. Mungkin kali ini, tiada peserta veteran kerana saya nak bantu membimbing rakan-rakan yang saban malam sentiasa bersama saya di pondok kawalan. Insya'ALlah, selagi saya ada kudrat dan iradah pinjaman ALlah, saya akan cuba bantu mereka sedikit demi sedikit agar mereka selamat daripada menerima malu di hari tua kelak.

Selamat berpuasa dan Selamat menyambut Ramadhan Fasa ke-3, iaitu Fasa Iktikaf dan mencari Lailatul Qadar !

Tuesday, August 24, 2010

JANGAN DIDIK ANAK TENTANG PUASA SAHAJA..SOLAT LEBIH PENTING !

Alhamdulillah.. Dah 2 minggu kita berpuasa. Sekejap aje rasanya, ye? Pagi tadi, sambil memantau kerja sekolah murid-murid Tahun 1 Cemerlang dalam kelas, saya bertanya beberapa orang di antara mereka, siapa yang masih penuh puasanya? Agak mengejutkan..cuma 3 orang sahaja yang dah miss..itu pun baru 2 atau 3 hari. Alasan miss puasa ialah kerana tak bangun sahur.

Hebat betul kanak-kanak kita hari ini. Baru umur 7 tahun, dah larat puasa sampai satu bulan. Itu menunjukkan bahawa puasa ni sebenarnya takde lah berat sangat pun.. Penghargaan patut juga diberi kepada ibu dan bapa yang begitu bersungguh-sungguh mempastikan anak-anak dapat berpuasa. Sewal jam 5 lagi, si anak sudah dikejutkan untuk bangun bersahur. Dipujuk oleh sang ibu agar dapat makan sahur walau pun satu suku pinggan sahaja nasinya. Bila tiba tengah hari, si anak merengek kelaparan, lalu si ibu tadi memujuk pula supaya si anak dapat bersabar menahan kelaparannya.. 'Sabar ye, sayang..dah tak lama dah ni..' pujuk si ibu.

Baguslah kalau semua ibu dan bapa macam tu punya kesungguhan mendidik anaknya supaya berpuasa. Cuma satu perkara yang saya musykil, apakah dalam bab solat, kita bersungguh seperti itu juga? Sanggupkah kita kejutkan anak seawal pagi supaya anak dapat bangkit untuk solat Subuh? Pernahkan kita memujuk si anak supaya sabar mendirikan solat sebagaimana kita pujuk mereka sabar ketika berpuasa?

Realiti hari ini, kita lebih titik-beratkan puasa anak daripada solatnya..SEDANGKAN, ANTARA solat dan puasa, ibadah manakah yang paling berat mengikut kacamata Al-Qur'an?

WaLlahu A'lam !

Friday, August 13, 2010

RAMADHAN SHAHRUL QURAN

Shahrul Quran - salah satu gelaran yang diberikan kepada penghulu segala bulan ni.. Ianya bererti Bulan Al-Quran. Maksudnya ialah bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagaimana firman ALlah SWT : "Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran" (Surah al-Baqarah). Maksud yang ke-2 pula ialah Ramadhan itu merupakan bulan yang paling ramai manusia baru nak cari dan nak baca Quran. Bulan-bulan lain tu..harapkan malam Jumaat aje lah..itu pun sekadar Yasin sahaja.

Dalam Ramadhan inilah, kita dapat lihat orang ramai kembali berjinak semula dengan al-Quran. Syukurlah ada bulan Ramadhan..kalau tidak, sampai ke mati le kita tak buka al-Quran. Program Tadarus juga diwar-warkan supaya ramai yang join dan participate. Waktunya ? Biasalah lah..selepas Witir, bila lagi? Kelihatan ada yang bersungguh-sungguh baca Quran hinggakan habis terlanggar isyarat-isyarat dalam bacaan.. mengapa baca sampai begitu express? La.. rupa-rupanya nak kejar tarikh khatam yang telah ditetapkan oleh penganjur. Kata pengajur, tahun ni kita nak cuba khatam sampai 3 kali. Fullamaak..oi.. hebat tu!

Apa maksud khatam? Sama ke dengan istilah 'Khitan'? Khatam tu ertinya tamat. Khatam Quran ertinya dah tamat atau dah habis dah baca Quran dari juz 1 sampai juz 30. Tapi betul ke praktikal tadarus kita hari boleh digunapakai untuk khatam Quran? Peserta tadarus kita tu..mereka baca secara individu atau berkumpulan? Berkumpulan pulak macamana caranya? Adakah semua mesti baca dari awal hingga akhir atau bahagi-bahagikan juz ikut kumpulan? Maksud saya, contohnya seperti kumpulan 1 baca juz 1-5, kumpulan 2 baca dari juz 6-10..adakah bila semua kumpulan ni dah selesai baca Quran ikut pembahagian juz masing-masing, maka kita pun boleh mendabik dada seraya berkata : Kami dah khatam dah...

Kalau macam tu, saya nak khatam satu malam sekali khatam. Apa susah..kita kumpulkan 30 peserta dan setiap peserta tolong baca 1 juzu mengikut pembahagian juz yang akan saya beri nanti. Waah..lagi hebat.. Maka tiap-tiap malam saya akan adakan majlis Khatam Quran !

Menipu ke tidak namanya tu? Alahai manusia..kut nak tunjuk cerdik pun, janganlah sampai ALlah pun kita nak tipu..! Khatamlah Quran menurut praktikalnya yang sebenar..bukan caca marba macam tu..

OK lah.. Selamat bertadarus kepada semua rakan kumpulan tadarus. Izinkan saya tanya satu lagi soalan : Apa objektif tadarus sebenarnya? Nak megah dengan khatam atau nak betulkan bacaan sambil mengerti maksud ayat-ayat yang dibaca? Kalau dah mengerti maksud ayat, tunggu apa lagi? Amalkanlah kandungan ayat tersebut...

Thursday, August 12, 2010

BUKA PUASA.. ALA-ALA KADAR JE LAH

Salam Ramadhan.. Syukur pada ALlah..kerana telah berjaya menamatkan puasa hari pertama semalam. Pagi tadi, terbaca cerita/berita kemalangan jalan raya di Tol Senawang - pemandunya mati kerana terlanggar belakang sebuah lori-tak sempat nak berbuka puasa. Ye lah.. panggilan ALlah telah tiba..apalah daya dan upaya kita lagi..

Kita yang masih hidup sekarang ni pun..belum tentu dapat bertemu dengan Ramadhan hari ke-3, apatah lagi hari ke-30 sebelum nak menyambut raya. Tapi, walau bagaimana pun, kalaulah dah takdir kita dimatikan sekarang, atau esok lusa, sekurang-kurangnya kita patut berbangga sebab kita mati dalam bulan Ramadhan..tu pun kalau diri kita ni orang yang baik. Kalau jahat atau tak pernah solat walau sekali pun, matilah dalam bulan apa pun, tetap dibelasah oleh malaikat kat dalam kubur tu..

Biasanya bila dah nak masuk sesi petang, kita dah tak terasa kelaparan lagi..waktu ni, kepala duk ligat berfikir nak makan apa sebagai juadah puasa. Nasihat saya, tak payahlah beli hingga 7, 8 jenis lauk pauk dan kuih muih. Ala-ala kadar aje lah.. kot nanti bila terlalu banyak perut tu diisi, malas pulak nak solat jemaah kat surau.. Perut kenyang mata pun mulalah kuyu.. habis tu, macamana nak isi Ramadhan kita dengan amal ibadah?

Apa-apa pun, selamat berbuka puasa !

Friday, July 2, 2010

ISTIDRAJ UNTUK ULAMA'

Pernah dengar perkataan 'Istidraj'? Istidraj bermaksud kelebihan@keistimewaan yang ALlah SWT berikan kepada seseorang hambaNya tetapi bukan dengan tujuan untuk memuliakan hamba tersebut, bahkan sebaliknya adalah sebagai satu bentuk penghinaan yang halus lagi tersembunyi.

Contoh istidraj ialah seperti seseorang yang diberikan harta kemewahan, lengkap serba-serbi, ada kereta besar, pakaian cantik dan seumpamanya, tetapi semua itu tidak dapat digunakan untuk dijadikan penyalur kepada ibadah kita kepada ALlah.

Ada orang kata, inilah salah satu tanda kita dah mula kufur nikmat! Bagaimana ALlah SWT boleh tambahkan lagi nikmatNya kepada orang yang sering mengkufurinya? Bukankah ALlah telah berpesan bahawa : Sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, ingatlah bahawasanya azabKu amatlah pedih!

Perhatikan sahaja orang-orang kaya (yang tak sedar diri) di sekeliling kita..mereka diberikan harta yang berlimpah-ruah, kekayaan mereka bertambah dari sehari ke sehari, sedangkan mereka ini tak pernah pun sembah ALlah, tak pernah pun datang berkunjung ke rumah ALlah, bagaimana ini boleh berlaku?

Baiklah..seperti yang saya nyatakan di awal perenggan pertama di atas, istidraj ialah pemberian ALLah untuk menghina hambaNya, bukan untuk memuliakan. Perbandingan ringkas saya ialah ayam daging yang dibela di reban. Saban hari diberi makan, suntikan ubat dan vaksin, penjagaan yang begitu rapi sehinggalah ayam-ayam daging ini memboyot dan sihat-sihat belaka. Cukup masanya, mereka pun dibawa naik lori..Naik lori tu, nak ke mana ? Lawatan sambil belajar ke ? Tidak..jawabnya ialah mereka naik lori sebab nak dibawa ke tempat penyembelihan.

Lebih kuranglah maksud perbandingan saya di atas tu dengan golongan kaya rayawan yang sampai hari ni, masih tak nampak-nampak mukanya di surau masjid. Harta kekayaan pemberian ALlah itu adalah sebagai makanan yang disogokkan supaya bila tubuh badan dah membesar, berbaloi amat sangatlah ianya dibakar di dalam api neraka kelak..

Itu contoh istidraj dari sudut harta kekayaan. Dari sudut ilmu pengetahuan pun tidak dapat lari dari ujian istidraj ini.

Ramai orang alim (ulama') yang terjatuh dalam perangkap istidraj. Mereka banyak ilmu, banyak pengetahuan tentang hukum-hakam tetapi malangnya mereka sendiri yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat kepada ALLah SWT. Dengan kelebihan ilmu yang ada, ditambah pula dengan sedikit kebolehan berbicara, kita gunakan ilmu kita untuk memburukkan orang lain, menghukum dengan pelbagai gelaran dan menyebar-luaskan keaiban orang ramai dengan alasan ianya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Mungkin pada sisi kita, perbuatan seumpama itu adalah satu kebajikan yang akan diberikan pahala, tetapi bagaimana sekiranya di sisi ALlah, perbuatan kita itu adalah sebesar-besar kejahatan yang bakal diberikan dosa serta laknat kutukan daripadaNya?

Saya teringat pesanan Junjungan Besar kita : "Sesiapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan orang lain, mengaibkan orang lain serta dengan tujuan konon-konon orang akan kita kita ni hebat, maka dia akan mendapat laknat serta kutukan daripada ALLah SWT."

Saya sentiasa memperingatkan diri ini, agar jangan apabila kita dah terkenal, dipanggil berceramah situ-sini, kita pun mulalah lupa diri. Tambah pula apabila setiap kali dipanggil berkuliah atau berceramah, ada tersedia habuannya..

Tuesday, June 29, 2010

KULIAH UST NASARUDDIN ALI DI SURAU AL-HIDAYAH

Assalamualaikum w.m;

Saya tidak berhasrat untuk mengulas isu Al-Fadhil Ust Nasarudin Ali dan tulisan-tulisan di dalam blog Al-Fadhil Ustaz Hishamuddin Mansor. Meskipun ramai sahabat yang bertanyakan pandangan saya, jawapan saya ialah : Diam adalah lebih baik !

Zaman sekarang, seperti kata Nabi SAW adalah zaman yang penuh dengan fitnah dan ujian. Manusia semakin hari semakin bergerak menuju ke arah kejahatan. Tidak kira mereka ini ulama' mahupun juhala'. Kejahatan ulama' tidaklah sama sekali serupa seperti kejahatan juhala' kerana setiap ulama' yang melakukan seseuatu kejahatan mempunyai dalil dan nas yang tersendiri untuk menghalalkan kejahatannya. Maka, sewajarnya kita perlu amat berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan mereka ini.

Apabila berlaku sesuatu tuduh-menuduh atau fitnah-memfitnah, kita jangan cepat melatah lalu mengiyakan apa sahaja yang orang kata. Islam mengajar kita supaya hendaklah kita siasat perkara tersebut terlebih dahulu dan jangan menelannya secara bulat-bulat. Orang yang menyampaikan berita pula, hendaklah dia bertanggungjawab dengan kebenaran berita tersebut serta sanggup bersedia untuk memikul dosa penipuannya sekiranya dia adalah pembohong. Pembohong yang bersumpah atas nama ALlah SWT semata-mata untuk menegakkan kebohongannya, maka bertambah lipat gandalah dosanya-dosa sesama manusia dan dosa kepada ALlah.

Malam semalam, saya ke Masjid Sendeng mengikuti kuliah mingguan Ust Nasaruddin. Tujuan saya ialah untuk mempelawa beliau sebagai salah seorang tenaga pengajar atau pengkuliah di Surau Al-Hidayah, lebih tepat lagi supaya beliau dapat mengisi malam kuliah saya yang akan saya kosongkan tidak lama lagi. Alhamdulillah, Ust Nasaruddin akan meneliti jadual kuliah beliau dan akan menghubungi saya tidak lama lagi.

Wednesday, June 16, 2010

KERANA SEBIJI BOLA..

Telah sekian lama saya tidak menulis..ntahlah..kini saya rasa lebih selesa menulis di atas kertas berbanding menulis di dalam internet. Tulisan terbaru saya bertajuk : "Hargailah nikmat kehidupan" yang saya tulis dalam bentuk flyer boleh didapati di surau Al-Hidayah. Insya'ALlah, jika ada kelapangan, akan saya huraikan pula dalam bentuk kuliah.

Cuti sekolah selama 2 minggu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya-maksud saya, tidak dapat saya nak bersantai betul-betul. Imam-imam lain yang diamanahkan bergilir-gilir dengan saya untuk mengepalai jemaah, tiada kelihatan selama masa cuti sekolah ini. Kalau ada datang pun, selepas takbiratul ihram..

Bukannya tujuan tulisan saya kali ini, bermaksud nak perlekehkan mereka..jauh sekali untuk mengangkat bakul saya sendiri. Saya faham, cuti sekolah lah masanya untuk kita bersama keluarga..cuma, faham-faham je lah..saya pun ada anak isteri juga..datanglah, sekurang-kurangnya, bolehlah saya guna masa tidak bertugas untuk bawa keluarga bersiar-siar, berjemaah di lain-lain masjid..

Seperkara lagi, saya nak tegur kepada para jemaah yang kaki bola (suka tengok match-main tak pandai pun!), janganlah kerana nak tonton bola hingga sanggup gadaikan pahala jemaah kita. Lihatlah betapa besarnya kejayaan si Yahudi menyesatkan kita..sebiji bola sahaja, mampu melarikan jemaah daripada bersolat di masjid dan surau..

Mujurlah saya bukannya peminat bola sepak..kalau tidak, mungkin saya pun sama seperti sebahagian kecil jemaah kita ni..Bayangkan, kalau imam masih ada kat depan TV sedangkan makmum ternanti-nanti kat surau sana tu..

Kacau-bilau lah dunia ni..!

Monday, May 10, 2010

KAWALAN KESELAMATAN BWP - MENGAPA MASIH BERBODOH SOMBONG?

Pada 05 Mei 2010 baru-baru, program Kawalan Keselamatan Berbayar (KKB) di Bandar Warisan Puteri terutamanya di Puteri Emas, Cahaya dan Anggun berhadapan dengan sedikit masalah apabila 2 orang pengawal keselamatannya secara serentak memohon untuk berhenti dengan meninggalkan En. Mat Rani @ Hulk Hogan keseorangan. Memandangkan En. Mat Rani tidak mampu bekerja seorang diri, pihak jawatankuasa terpaksa berikan cuti tanpa gaji kepada beliau sehinggalah pengganti pengawal berkenaan dapat dicari ganti.

Selaku pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan yang mempelopori program KKB ini, saya terpaksa berusaha untuk mendapatkan pengganti kepada 2 orang pengawal tersebut. Sememangnya agak sukar untuk mencari orang yang dapat diberikan amanah dan kepercayaan ni..amanah menjaga keselamatan nyawa dan harta benda penduduk.. saya tertanya-tanya adakah berbaloi dengan bayaran elaun yang diterima oleh mereka ini sebanyak RM800 bersih sebulan?

Pagi ini, saya dapat khabar gembira bahawa 2 orang pengawal yang bakal mengisi kekosongan tersebut sudah pun diperolehi. Alhamdulillah..saya tarik nafas lega seleganya..bayangkan selama 4 malam berturut-turut saya dan beberapa rakan AJK dan ahli biasa bergilir-gilir berkawal malam demi untuk memastikan keselamatan kawasan persekitaran sedangkan esok pagi kami terpaksa ke tempat kerja pula..Fuuh..selesai satu masalah !

Bagaimana pula dengan satu lagi masalah ? Iaitu masalah lama yang hingga kini masih tak dapat diselesaikan lagi. Apa dia? Jawapannya ialah masalah kebebalan dan kebodoh-sombongan segelintir penduduk yang liat bebenor dan langsung tak nak bayar yuran KKB meski pun cuma RM30 sahaja sebulan..Apa ke benda la dengan RM30 tu? Pengawal kita siang malam lalu depan rumah, berkawal sambil memastikan tiada kaki pecah rumah menghampiri pintu pagar rumah kita..tetapi mengapa golongan bebal dan bodoh-sombong ini masih degil dengan kebebalan dan kebodoh-sombongannya itu? Apakah mereka ni nak tunggu rumah kena pecah masuk, hilang ribu-ribu ringgit, baru nak bayar RM30 sebulan tu?

Saya pun hairan dengan sikap manusia macam ini..ada juga rupanya ..walaupun nampak macam berpendidikan tinggi dan berjawatan besar..tapi malang, sikapnya macam budak hingusan yang belum mumayyiz! Sudah-sudahlah dengan perangai budak hingusan tu..awak tu dah berbulu, berlagaklah macam orang yang sudah berbulu..

Akhir kata, saya merayu dan berharap sangat agar program KKB kita ini dapat diteruskan lagi untuk tahun ke-2 nya pada 01 Jun akan datang ini..

Selamat menyambut ulangtahun pertama KKB Bandar Warisan Puteri.

Saturday, April 10, 2010

SYABAS ..KITA AMAT MEMERLUKAN KHATIB YANG BERANI

Saya tertarik sekali dengan kandungan dan cara penyampaian khutbah yang disampaikan di dalam khutbah Jumaat semalam. Khutbah disampaikan oleh salah seorang imam di kampung saya menyentuh mengenai gejala sosial di kalangan remaja dan bapak tua..Selama ini kerajaan (pemimpin) dok sibuk cari punca dan jalan penyelesaiannya..puas dok fikir macamana nak kurangkan atau hapuskan gejala sosial yang makin berleluasa ini..

Sungguh terperanjat saya apabila khatib dengan terus-terang menuding jari meletakkan kesalahan kepada sebahagian besar pemimpin negara hari ini yang rata-rata BENGONG (lebih teruk dari BANGANG), tiada pendidikan agama (memang pun..sebab mereka ni sejak kecil lagi dah disekolahkan di sekolah mat salleh kafir tu..bukannya sekolah agama pun), dan langsung tiada kemahuan untuk menegakkan agama di negara ini..

Mereka ini sebenarnya langsung tiada hasrat nak perjuangkan agama Islam di negara kita..kalau ada pun, lebih kepada kosmetik semata-mata..Dahulu, ketika hangat isu penggunaan kalimah ALlah, mereka berlagak nak jadi juara penegak agama..konon-konon peka dan sensitif dengan isu yang boleh pecah-belahkan perpaduan negara..

Dalam masa yang sama pula, merekalah pentekedarah arak (pendedahan oleh Saifuddin Nasution di dalam parlimen - tak terjawab oleh AP BN), pentekedarah rasuah, penipu dan pembelit (lihat isu royalti dan wang ehsan di Terengganu dan Kelantan).. Menurut khatib lagi, kalau pemimpin dah jahat macam tu, tidak mustahilkah kalau rakyat pun turut jadi jahat?

Persoalan saya, adakah kita sanggup melihat anak generasi kita akan datang nanti menjadi generasi jahat yang sanggup bila-bila masa mentelanjangkan agamanya sendiri? Ayuh..berubahlah ke arah kebaikan atau keadaan yang lebih baik lagi.. Sama-samalah kita turunkan pemimpin korup yang suka menjahannamkan anak bangsa dan agamanya sendiri..

Pastikan peluang dalam PRU 13 digunakan dengan sebaik-baiknya..!!

Friday, April 9, 2010

PEMERGIAN BUAT SELAMANYA

Ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Khamis, 8 April yang lalu, aku mendapat panggilan dari isteri tentang pemergian seorang insan yang amat aku kasihi..seorang yang bergelar ayah, yang banyak mengajar aku erti sebenar sebuah kehidupan. Meski pun ayah bukanlah dari golongan yang berpendidikan ( ayah aku tak pernah ke sekolah bahkan seawal usianya 5 tahun, telah dibawa oleh orang tuanya menangkap ikan di laut- ya, ayah aku adalah seorang nelayan dari umurnya 5 tahun hinggalah usia pencennya 65 - 60 tahun sebagai seorang nelayan ).

Walaupun dirinya seorang nelayan, tetapi tiada seorang pun daripada anak-anak lelakinya yang mengikuti jejak langkahnya. Aku sendiri masih ingat satu peristiwa, aku ditempeleng oleh ayah apabila aku menyatakan hasrat untuk berhenti belajar dan ingin menceburkan diri dalam bidang penangkapan ikan (konon nak jadi nelayan moden). Ayah menitis air mata..dalam sebak dan sedu-sedan, ayah beritahu aku bahawa dia ingin melihat semua anaknya berjaya dalam pelajaran. Dia sanggup bersusah-payah mencari wang demi untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Aku akui, memang itulah yang dilakukan oleh arwah ayah semasa hidupnya. Dia sanggup menebalkan muka meminjam sedikit wang dari kawan-kawannya apabila kekurangan wang untuk membayar bayaran persekolahan anak-anak..

Alhamdulillah..berkat kesungguhan dan keikhlasannya, anak-anak ayah semuanya boleh dikatakan berjaya. Abang aku ke London, kakak ke US, aku.. (cuma ke Mesir sahaja) dan adik bongsu aku bakal melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi tidak lama lagi dalam bidang kedoktoran.

Terima kasih ayah..kerana mendidik kami menjadi manusia..insya'ALlah, doa dari anak-anakmu akan sentiasa kami kirimkan..

Semoga ALlah mencucuri rahmatNya ke atasmu, ayah !

Pagi tadi, sebaik selesai mengikuti kuliah Subuh di surau Flat Gelung Bilal, aku terus ke pusara ayah dengan motosikal peninggalannya. Suasana pusara cukup hening. Aku melangkah masuk ke kawasan perkuburan dan menuju ke pusara ayah. Semalam, sewaktu jenazah ayah dikebumikan tepat jam 2 petang, aku masih dalam perjalanan..kalau tak silap baru tiba di Jabor, Kemaman.

Pusara ayah kuhampiri..aku duduk menghadap nisan di bahagian kepalanya..selesai mengucapkan salam, aku langsung sedekahkan fatihah lalu dipanjatkan doa..maafkan anakanda kerana tidak dapat bersamamu di saat akhir, ayah! Anakanda berjanji akan menjaga bonda dan adik-adik dengan sebaiknya..

Tuesday, April 6, 2010

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT BERJEMAAH

Ramai yang bertanyakan saya mengenai hukum orang (lelaki mukallaf) yang sengaja meninggalkan solat berjemaah atau dengan kata lain : orang yang malas nak solat di masjid atau surau. Jawapan pertama saya : Bersyukurlah kerana Nabi Muhammad SAW dah lama wafat.. Kalau tidak, dah tentu kita akan dapat menyaksikan rumah terbakar tiap-tiap hari. Bomba pun pasti tak terkejar ! Puak-puak pemalas nak datang solat ke masjid /surau ni dah gerenti akan hanya duduk di bawah jambatan bersama puak-puak mat gian..

Soalan ke-2 ditanyakan kepada saya : Apa patut kita buat terhadap puak-puak pemalas ni ? Jawapan saya : Halau sahaja keluar dari bumi ALlah SWT kerana inilah puak-puak yang tak reti nak mensyukuri ni'mat Tuhannya..Betapa ALlah bersungguh benar nak jumpa mereka ini, hinggakan diserunya sebanyak bukan sekali, bahkan 5 kali sehari semalam supaya mereka ini datang ke rumahNya..Tapi apa yang mereka buat? Hanya memekakkan telinga atau buat-buat BODOH seolah-olah panggilan azan itu sama seperti loceng dari gereja? Inilah puak-puak manusia jenis BODOH SOMBONG. Orang kampung saya panggil BANGANG NAK MAMPOS !! Rezeki Tuhan diambilnya tak kira siang mahu pun malam..tetapi hak-hak Tuhan langsung tidak dipedulikan..

Bila ditanya, macam-macam alasan diberikan..sampaikan hari cuti pun tak dapat datang ke masjid /surau jugak. Apa lagi alasan BANGANG yang nak kita TIPU di hadapan ALlah kelak?

Ada yang kata (seolah-olah nak membela puak-puak pemalas ini ) : "Bukankah solat kat masjid/ surau tu FARDHU KIFAYAH hukumnya? Kalau dah ada orang buat, kira OK lah tu..apa kita nak bising-bising?

Ini satu lagi kefahaman BANGANG yang menerjah masuk ke dalam kepala hotak kita hari ini. Korang ingat, bila sesuatu ibadah itu FARDHU KIFAYAH hukumnya, lalu korang pun nak lepas diri lah, gitu ? Cuba bayangkan kalau semua orang berfahaman macam korang, tak pasal-pasal sekor haram pun tak de yang datang solat di rumah ALlah. Sapa nak tanggungjawab? Tok Imam sorang saja ke atau semua termasuk makmum-makmum yang berfahaman BANGANG tadi tu?

Kalau Tok Imam pun fikir macam tu juga, "Aah..aku tak pergi pun tak apa..ada lagi imam-imam lain yang boleh ambil alih..HANCUR ! Jangan menyesal kalau tak lama kemudian turun bala dan azab ALlah ke atas kita semua. Baru padan dengan muka !

Justeru itu, buanglah tahap pemikiran lama tu dan sama-samalah kita terus mendalami ilmu agama agar semua kita faham dan tahu apa yang harus, perlu dan MESTI dilaksanakan..Kepada yang amat jarang datang atau tak pernah datang ke surau tu, tanyalah diri sendiri : Sampai bila aku nak jadi BODOH macam ni? Nak tunggu nyawa dan hampir tercabut dari halkum ke?

WaLlahu A'lam !
(Dipetik dan disunting dari sebuah laman blog surau di Perlis )