Saturday, October 29, 2011

NILAI AMANAH DI SISI ALLAH

Amanah merupakan satu sifat yang sewajibnya dimiliki oleh setiap mereka yang mengakui mukmin. Orang yang tidak amanah, tidak sempurna imannya dan dia termasuk di dalam golongan munafikin.

Apabila manusia tidak melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka saat kebinasaan buat dirinya pasti tidak lama. Demikian sebahagian daripada kandungan kuliah subuh pagi ini, 29 Okt 2011( Sabtu ),yang disampaikan oleh Ust Haji Norazman bin Mohammad, di Surau Al-Ansar, Taman Coral Heights.

Boleh dimuat turun DI SINI.

Thursday, October 27, 2011

MENYESAL SELEPAS MATI

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : Semua manusia, apabila mati, dia akan menyesal. Yang jahat tu, memang tak payah ceritalah, tapi yang baik pun Nabi kata akan menyesal juga. Kenapa ? Mereka menyesal kerana semasa di dunia dulu, mereka mempunyai banyak peluang untuk menambah pahala, tetapi peluang tersebut dibiarkan berlalu sebegitu sahaja.


Di padang Mahsyar nanti, apabila ALLah menimbang dosa pahala manusia, ada yang meraung-raung kerana mendapati pahalanya sedikit cuma dan tidak dapat membantu melepaskan dirinya daripada Neraka.


Bersempena kehadiran Zulhijjah tidak lama lagi, saya ingin mengajak tuan-tuan untuk kita sama-sama merebut peluang menambah koleksi pahala. Dalam Zulhijjah juga terdapat hari-hari istimewa di mana pahala amalan ibadah yang dilakukan pada hari-hari tersebut akan digandakan oleh ALlah SWT. Mungkin ada antara kita yang tak tahu menahu pun bahawa 10 hari yang pertama di dalam bulan tersebut banyak kelebihannya. Apa yang disarankan olen Nabi SAW, pada 10 hari pertama Zulhijjah, kalau boleh berpuasa sunnat, hendaklah kita kerjakan. Disamping itu, kita di suruh supaya membanyakkan menyebut tahlil, takbir dan tahmid.


WalLahu A'lam !

Wednesday, October 19, 2011

PANDANGLAH DARI SUDUT YANG BERLAWAN

Ramai di antara kita yang sering mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Kesusahan, kerungsingan adalah termasuk dalam istilah bala' atau musibah. Mengapa perlu berkeluh-kesah apabila ditimpa musibah? Bukankah musibah itu datangnya dari ALlah dan ALlah tidak pernah sama sekali memberikan kepada hambaNya melainkan hanya yang terbaik?

Jika demikian, terimalah musibah itu dengan penuh rasa kesyukuran. "Terima kasih, Tuhan..kerana Engkau menimpakan aku dengan musibah ini". Mungkin bagi sesetengah orang, ini perbuatan gila. Benarkah kita disuruh bersyukur apabila ditimpa bala?

Inilah yang saya nak kongsi.. saya nak ajak tuan-tuan berfikir lain daripada orang lain berfikir. Jom kita sama-sama melihat sesuatu bukan dari sudut pandangan kebanyakan orang.

Sebelum itu, tahukah kita mengapa ALlah menurunkan musibah atau bala ke atas kita? Apakah semata-mata untuk menyiksa kita, yang merupakan hambaNya? Ada pun tujuan ditimpa sesuatu bala itu ialah :

1) sebagai peringatan ALlah terhadap hambaNya yang lalai.
2) untuk menghapuskan dosa
3) untuk meningkatkan darjat kemuliaan.
4) sebagai bentuk hukuman di atas keingkaran dan kekufuran

Orang mukmin sentiasa diuji. Jika tidak ada ujian, dia bukanlah mukmin sejati. ALlah menguji hambaNya dengan pelbagai cara. Ada kalanya Dia uji kita melalui kesusahan dan kadang kala diujinya dengan kesenangan. Pendek kata, ALlah uji kita untuk melihat kesabaran atau kesyukuran.

Ada orang, ketika senang, lupa kepada ALlah dan apabila susah, barulah ingat kepadaNya. Inilah sebenarnya salah satu sebab, mengapa kita ditimpa musibah.. iaitu kita dah lama tak ingat kepadaNya. Perhatikanlah, seseorang yang sentiasa sihat dan sentiasa di dalam kemewahan, berapa ramai yang ingat kepada ALlah? Tetapi apabila ditimpa sakit atau disempitkan kehidupannya, mulut mereka pasti tidak lekang daripada menyebut nama ALlah. Bahkan sentiasa dipanjatkan doa kepadaNya tidak kira siang atau pun malam. Kadang-kadang ada yang bernazar ( contohnya : ) sekiranya penyakit aku sembuh, akan aku beri makan 100 fakir miskin atau akan aku sedekahkan sejumlah wang kepada rumah-rumah anak yatim.

Sebenarnya ALlah amat kasih kepada hambaNya. ALlah tidak mahu hambaNya terlalu jauh di dalam kesesatan. Sebab itu, dalam kita leka dan lalai oleh tipuan dunia, ALlah panggil kita supaya kembali menghampirinya. Tetapi dengan cara apa ALlah memanggil kita? Ya.. melalui musibah atau bala !

Terima kasih, wahai Tuhanku kerana dalam kelalaian aku daripada mengingatiMu, Engkau tetap tidak melupaiku.. Sesungguhnya aku redha dengan setiap musibah yang datang menimpa !

HIDAYAH DI USIA SENJA

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Memang agak lama saya tidak menulis di dalam blog. Malas dan tak ada mood untuk menulis. Tetapi saya masih teringat pesanan sahabat baik saya, Ust Hj. Hishamuddin Mansor : Bila menulis, tulislah sesuatu yang bermanfaat.

Posting kali ini, saya hanya sekadar mahu berkongsi sedikit berita dan cerita gembira. Cerita berkenaan seorang hamba ALlah yang umurnya telah meniti menghampiri usia senja tetapi baru dapat apa yang selama ini dicari-carinya.

Cerita bermula hampir 3 tahun yang lalu ketika saya menampalkan iklan 'Kelas Al-Quran' di papan kenyataan Surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri. Iklan itu pada asalnya nak test market penduduk di sini sahaja. Sebelum ini, Ust Hj. Shafie dan Ust Hj. Zawawi dah buka kelas mengaji dan tajwid di surau, tetapi memandangkan Ust Hj. Shafie sentiasa sibuk dengan tugasan manakala Ust Hj. Zawawi pula berpindah ke Perak kerana ditawarkan jawatan sebagai pensyarah UPSI, maka kelas Al-Quran tersebut akhirnya padam dihembus bayu subuh.

Iklan yang saya tampal di surau telah menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati di kalangan beberapa individu. Puncanya kerana di dalam iklan tersebut, saya ada menawarkan perkhidmatan mengajar Quran dari rumah ke rumah. Ada kedengaran suara di belakang yang mengatakan saya telah mencemarkan kemuliaan Al-Quran dan mengaibkan maruah guru-guru Al-Quran itu sendiri.

Ketika itu, terus-terang saya katakan, semangat saya untuk memberikan perkhidmatan mengajar Al-Quran sedikit merudum dan saya hampir putus semangat. Tetapi, tidak lama selepas itu, saya bangkit semula, perbetulkan niat dan berdoa kepada ALlah : "Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran sebagai sebaik-baik bacaan, kalau ada walaupun seorang sahaja yang nak belajar dari aku, aku terima orang itu."

Alhamdulillah, pada satu senja Ramadhan yang paling bertuah, saya didatangi oleh seorang lelaki yang saya kira telah mencapai usia 60-an. Beliau bertemu saya, memohon untuk belajar Al-Quran. Dialah anak murid saya yang pertama yang memohon mendaftar bersama isterinya.

Sejak itu, bermulalah sejarah baru di dalam hidup si hamba ALlah ini. Saya dapat melihat beliau berhempas pulas belajar menyebut setiap butiran huruf, susunan-susunan kalimah dan cuba membaca beberapa potongan ayat sehingga kadang-kadang ternampak peluh membasahi dahinya.

"Parah aku kali ni..", bisik hati kecil saya. ALlah menghantar kepada saya seorang yang betul-betul buta Al-Quran. Saya terpaksa gunakan buku Iqra' yang selama ini saya gunakan untuk mengajar anak-anak Tahun 1 di sekolah saya.

Setiap kali kami menghadap muka antara satu sama lain, beliau tanpa segan silu terus memulakan bacaan iqra'nya. Memang sah buta.. disahkan oleh semua pakar optometris. Saya kadang-kadang menitis air mata. Bukan kerana sedih mendengar kesalahan sebutan setiap patah kalimah di dalam buku Iqra', tetapi kerana melihat kepada kesungguhan dan kecekalan hatinya.

Kalau tak ada kesabaran di dalam hati, mungkin dah lama saya cabut lari. Saban malam, saya bangkit jam 4 pagi, saya memohon daripada ALlah agar diberikan saya kekuatan semangat dan keikhlasan yang tak berbelah bahagi di dalam usaha menyampaikan ilmu Al-Quran ini. Tidak dilupakan juga, doa saya semoga orang tua ini diberikan bimbingan supaya terkeluar akhirnya dari kejahilan buta Al-Quran.

Kini 2 tahun telah berlalu. Si hamba ALlah itu masih bersama saya. Dia tidak lagi seperti dahulu. Amat jauh perbezaannya jika dibandingkan pada hari pertama beliau mengikuti kelas Al-Quran. Bacaannya cantik dan sedap didengar..ada keyakinan dalam bacaan. Hukum-hakam tajwid hampir keseluruhannya ada dalam kepalanya. Setiap kali saya berkesempatan menghadiri apa-apa majlis keagamaan bersamanya, saya akan pastikan beliau duduk paling hampir dengan saya. Dan satu lagi kebanggaan saya kepada beliau, ialah ISTIQAMAH beliau menghadiri solat Subuh berjemaah di surau.. saya tabik, Tuan KU.

Kini, beliau bukan lagi anak murid saya..beliau sekarang adalah pembantu dan penyokong yang tak akan membuat saya rebah lagi. Dalam kelas Al-Quran, rakan-rakan menggelar beliau dengan panggilan Tuan KU ( Ketua Unit ) sesuai dengan sifat tegas beliau di dalam apa-apa hal berkaitan dengan pengurusan kelas tersebut.

Terima kasih dan syukur saya panjatkan kepada ALlah SWT kerana mengubah peribadi manusia yang asalnya ZERO kini telah bertukar menjadi HERO. Ya.. kalau bukan diri kita sendiri yang mengubah nasib kita, siapa lagi ?

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada insan yang amat saya hormati, TUAN HAJI ISA BIN SUBOH.

Sunday, May 29, 2011

PERSIAPAN SEBELUM MATI

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian, hatta malakul maut sekali pun..yang kekal abadi hanyalah zat ALlah SWT. Percaya dan yakin tentang adanya kematian dan kehidupan semula selepas kematian termasuk di dalam rukun iman.

Tiada seorang pun di kalangan kita yang hidup selama-lamanya. Sepanjang-panjang umur Nabi Nuh AS, baginda juga pergi meninggalkan dunia ini. Persoalannya, apakah persiapan kita untuk berhadapan dengan kematian itu ?

Kematian yang mencari kita ada kalanya menjadi nikmat, terutamanya bagi mereka yang benar-benar beriman kepada ALLah dan rindu untuk menemuiNya. Namun demikian, ianya bertukar menjadi azab bagi mereka yang sering menderhakai Tuhannya dan hidup penuh dengan dosa.

ALlah SWT berfirman : "Carilah bekalan..sesungguhnya sebaik-baik bekalan (untuk menuju akhirat) ialah taqwa." Antara lain maksud taqwa di sini ialah berbekalkan pahala daripada amalan ibadah yang dilakukan semasa di dunia.

Jadi, apa tunggu lagi? Bersegeralah kita memperbanyakkan amalan soleh agar tidak menyesal di saat tibanya kematian. Bukankah Nabi SAW pernah bersabda : "Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara yang lain - yakni beramal ibadahlah kamu ketika kamu berada di dalam 5 peluang ini. Apa dia 5 peluang itu ? Ketika hidup, sihat, ada masa lapang, muda belia (gagah) dan ketika masih banyak harta (untuk disedekahkan).

Friday, February 4, 2011

CUTI RAYA CINA DI KUALA TERENGGANU






Tepat jam 5 pagi, aku tiba di KT dan berjalan kaki ke rumah mak aku melalui jalan belakang kampung. Selepas selesai menyampaikan kuliah Subuh (sebagai pentazkirah jemputan la pulak) di Surau Flet Gelong Bilal, aku terus menuju ke pusara ayah..bersembang dengannya sambil mengenangkan saat ketika aku menjadi anaknya yang paling kerap kena belasah oleh ayah.

Jam 9.00 pagi, aku ke sebuah kedai perabot di Kg. Buluh Gading, Manir untuk mendapatkan barang pesanan dari biras aku..Encik Fadzlullah, tuan punya kedai tersebut tiba serentak dengan aku lalu mempelawa aku masuk untuk meninjau hasil-hasil produk kedainya.

Setelah aku snap beberapa keping gambar dalam kedai beliau, aku pun terus pulang ke rumah kerana aku ada misi yang kedua pula, iaitu menikmati nasi minyak ayam goreng di Pantai Batu Buruk berhampiran Shell bersebelah Rumah Tetamu Kerajaan Terengganu. Bini aku pastinya jeles bangat apabila mendapat tahu aku ke sana..memang itulah kedai favourite kami setiap kali kami sekeluarga pulang bercuti ke Terengganu.

Insya'ALlah, malam ini, jam 9.30, aku akan berangkat pulang ke Seremban semula. Harap tak tertinggal lagi tiket untuk balik ke Seremban..

Tuesday, January 25, 2011

DAH 11 TAHUN RUPANYA YE..

Semalam, ketika berada di unit ICT, setelah membalas semua emel rakan-rakan, aku buka laman FB..memang dah lama aku tak buka. Ada satu mesej yang aku terima..seorang lelaki remaja bernama Hariz bertanya pasal aku. Katanya, dia adalah bekas anak murid aku ketika mengajar di SK. Panchor Merah, Setiu, Terengganu.

Ligat otak aku memikirkan bekas anak murid ni.. aku sempat mengajar di sekolah tersebut (sekolah pertama sebaik sahaja dipostingkan) selama 2 tahun sahaja, iaitu dari 1998-2000. Aku ditukarkan semerta kerana terlampau menunjukkan pro kepada pembangkang. Sebenarnya aku bukanlah ahli PAS pun..cuma aku tak setuju dengan penangkapan dan penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja..nampak terang-terang jahatnya Tun Mahathir dan konco-konco BN-nya ketika itu.. Dah la semua bahan bukti ke mahkamah jadi lawak belaka..

Kerana itulah, aku ditukarkan ke sekolah ke-2, iaitu SK. Durian Mas II, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun. Alhamdulillaaah..Aku diberi pilihan oleh arwah Pengarah JPNT, Dato' Hj. Razali Ismail yang juga adalah bekas pengetua maktab aku dahulu (kemudiannya jadi Ahli Parlimen K. Terengganu) untuk memilih sekolah mana yang aku suka. Pilihan aku ialah SKDM II kerana di sanalah aku bertemu dengan lebih ramai guru pro PAS, kawan baik sesama maktab dan bestnya, kakak aku pun mengajar tak jauh dari aku. Itulah hikmahnya sebuah pertukaran yang diusahakan oleh pengerusi PIBG SKPM, En. Adnan. (Terima kasih banyak-banyak, tuan. Semoga bertambah panjang lagi umur tuan!)

Tapi, aku tak lama berada di SKDM II kerana 6 bulan kemudiannya, aku melanjutkan pelajaran ke peringkat Master in English Education di sebuah universiti dan terpaksa berpisah dengan anak isteri selama beberapa tahun. Aku tinggalkan anak lelaki aku (the only son) sewaktu usianya 2 tahun dan kembali semula ketika dia dah masuk tadika.. Aduuh, kesiannya bini aku, terpaksa menanggung makan minum dan nafkah anak-anak.

Itulah sejarah aku serba sedikit. Aku tulis ni pun, kerana bekas anak murid aku tu tanya pasal aku selepas aku blah dari SKPM tu.. At last, aku teringat juga kepada bekas anak murid aku tu.. Dah grad U rupanya.. ye lah..dah 11 tahun aku berpisah dgnnya.. Apa pun, aku doakan dia dan bekas anak murid aku yang lain-lain tu, semuanya berjaya dalam kehidupan.

Tidak lupa juga pesanan aku untuk semua yang pernah jadi anak murid aku, marilah kita pakat ramai-ramai tumbangkan kekorupan kerajaan BN dan tukarkannya dengan kerajaan yang lebih sayangkan rakyat..


Thursday, January 6, 2011

ADUUH..NAIK LAGI !

Semalam, ketika lepak-lepak kat surau selepas selesai solat Asar, kedengaran beberapa orang jemaah tetap bersuara : 'Apalah malang nasib kita ni..bukan sahaja harga minyak petrol naik lagi, nak cari minyak masak pun puas berkeliling satu Seremban'.

Saya lalu mencelah : 'Itulah bala namanya, bang Haji!' Bila kita tersilap pilih pemimpin yang korup, yang jenis suka lesapkan duit negara dan rakyat, inilah padahnya..akhirnya, lihat apa yang terjadi? Mereka bersenang-lenang bermewah dengan duit HARAM, manakala hamba rakyat ini semakin hari semakin tertekan hidupnya. Bagi mereka, harga petrol nak naik sampai berpuluh ringgit pun, mereka apa susah? Bukannya duit sendiri pun yang diguna untuk beli petrol buat isi tangki kereta mereka. Mereka guna kenderaan kerajaan, yang bayarnya tentulah kerajaan. Dan kerajaan pulak, guna duit siapa untuk bayar harga petrol kereta mereka tu? Jawabnya duit kita si hamba rakyat ini lah..

'Aduh, pening kepala saya, ustaz!', keluh Abang Haji tu lagi.. 'Mulai hari ini, kita kena ajar sikit puak-puak penipu ni, ustaz! Nak harap Ketua Pembangkang kat parlimen, dia pun dah gena gantung 6 bulan!'

'Tak apa.. kita sabar dulu..masa pun dah tak lama daaah..Insya'ALlah, tahun depan ni, kita ubah semua yang dok kat atas tu.. Kita ganti dengan mereka yang lebih bersemangat juang untuk kebaikan rakyat.. Kita buktikan bahawa kuasa kita lebih gagah dari kuasa puak-puak tu.. Tapi, jangan pulak, bila dihulur sehelai kain pelikat cap Gajah Duduk, terus berubah fikiran !!'

'Tak de berubah lagi dah, ustaz. Kami dah nekad betul-betul ni.. Kalau kita tak bertindak dengan betul pada tahun depan ni, mungkin sat lagi makin tinggi dinaikkan harga minyak petrol tu..Lepas tu, kita pun pakat ramai-ramai jalan kaki ke surau le..sedangkan puak-puak tu tersengih aje dok tengok kat kita dari cermin kereta masing-masing..'

Saya tanya rakan sebelah abang Haji pulak' 'Bagaimana kalau sekiranya kita berjaya halau puak-puak penjahat sekarang, lalu diganti dengan mereka yang diharapkan baik, tetapi alih-alih, mereka sebenarnya lebih jahat daripada puak-puak penjahat yang tadi tu? Tak ke naya kita nanti?'

'Kenapa ustaz cakap macam tu? Ustaz dah beralih jadi ustaz Ameno pulak ke? Setahu saya, skrip pertanyaan macam tu, hanya keluar dari mulut ustaz-ustaz upahan Ameno aje..ustaz dah nak beralih angin ke?'

'Tak ade laah.. Saya cuma tanya macam tu sebab risau lah jugak bila melihatkan calon-calon yang nak mengganti tu..Lain lah kalau yang nak mengganti tu, tokoh berwibawa dan terkenal dengan sifat warak seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi ke, Tok Guru Nik Aziz ke..takdelah saya nak risau!'

Itulah percakapan saya dengan beberapa jemaah surau pada petang semalam. Saya tak dapat nak sembang panjang sebab saya nak pusing-pusing bandar Seremban pulak kerana semata-mata nak cari minyak masak. Bala sungguh negara aku sekarang ni..nak goreng ikan pun susah macam tu sekali.. Apa la pemimpin aku buat kat rumah mereka masing-masing sekarang ni agaknya? Mereka apa susah..stok minyak masak penuh satu almari dapur, siap berjenama luar negara lagi. Tak main la minyak masak cap buruh ni..apatah lagi minyak masak dalam plastik tu.. tak kena la dengan kelas mereka sebagai pemimpin...

Tuesday, October 12, 2010

PEMIMPIN MALAYSIA MASIH TAK SEDAR DIRI

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes keruntuhan moral dan jenayah yang berlaku di negara kita sama ada membabitkan bayi, kanak-kanak, remaja, belia mahu pun orang dewasa atau orang tua. Kerajaan kita seolah-olah dah naik pening memikirkan cara untuk mengatasi masalah tersebut. Bagi saya, apa yang nak disusahkan..dah lama ALlah dan RasulNya tunjukkan jalan keluar daripada semua masalah yang melanda kita hari ini. Penyelesaiannya tidak lain tidak bukan ialah kembali semula kepada Qur'an dan Hadis..

Satu lagi bala yang bakal menerjah masuk negara kita ialah penganjuran konsert sulung Adam Lambert berjudul 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' yang dijadualkan berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Adam Lambert adalah seorang artis ( bekas American Idol ) yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya.

Nampaknya pemimpin kerajaan BN kita bukan sahaja masih tidak bersungguh untuk berusaha menyelesaikan masalah rakyat, bahkan ditambahkan lagi dengan bala yang lain. Apakah rakyat negara ini amat dahagakan hiburan-hiburan seperti konsert nyanyian, tarian dan seumpamanya? Tidak cukupkah lagi dengan hiburan-hiburan yang semakin memualkan yang disiar di dalam television yang amat jelas sekali merupakan penyumbang utama dan pertama kepada kejatuhan akhlak dan moral anak-anak muda serta orang-orang tua di negara kita?

Tolonglah wahai pemimpin kami..apa nak jadi kepada negara kita ini? Apakah kamu semua nak tunggu kami jatuhkan kamu dan digantikan dengan orang lain? Kami percaya, kamu tidak akan sekali-kali mahu berlaku sedemikian..

Wednesday, October 6, 2010

JANGAN TERSILAP PILIH KAWAN

Kelas Al-Qur'an Kumpulan 1 malam semalam diadakan di rumah Puan Zaharah atau panggilan mesranya Kak Sarah. Selesai solat maghrib yang diimamkan oleh Ketua Unit (KU) Kumpulan 1, Encik Isa, kami adakan sedikit majlis tahlil arwah dan sambung makan (berbuka puasa) sehinggalah masuk waktu Isya'.

Selepas isya', barulah kami menyambung pelajaran Qur'an. Kali ini tadarus kami ialah pada ayat 166-196, surah Al-Baqarah. Antara intisari ayat yang dibincangkan secara ringkas di dalam kelas Qur'an semalam ialah :

Ayat 166 : (Yaitu) ketika orang-orang yang diikuti berlepas tangan dari orang-orang yang mengikuti, dan mereka melihat azab, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus. [ Lihat tafsir ayat seterusnya sebagai sambungan ayat ini ]

Di dalam ayat ini, ALLah SWT menggambarkan kepada kita satu peristiwa yang bakal berlaku di hari akhirat (pembalasan) kelak, satu peristiwa yang patut amat kita jadikan iktibar sebelum ianya benar-benar berlaku ke atas kita. Sebabnya, kalau dah berlaku, kita takde jalan untuk pulang semula ke dunia ini.. masa tu, menyesal dan menangis keluar air mata darah sekali pun, Tuhan takkan layan lagi dah..

Ayat ini menceritakan satu cerita tentang orang-orang yang semasa hidupnya di dunia, mereka tersalah pilih kawan atau tersalah pilih ketua/pemimpin. Semasa hidup di dunia, mereka sentiasa bersama dengan kawan atau ketuanya. Ke mana sahaja, sentiasa bersama..ke pusat karaoke, pusat dangdut, sure heboh, dan lain-lain..cuma ke masjid atau surau aje yang tak pernah..

Pendek cerita, mereka pun mati. Lepas tu, ALlah SWT hidupkan semula mereka semua bagi menghadapi hari pembalasan. Ketika berkumpul di padang Mahsyar, mereka mencari-cari bekas kawan rapat atau ketua/pemimpin mereka dahulu. Moga-moga ketua mereka ni boleh tolong bagi syafaat..seperti semasa di dunia dulu. Namun demikian, malang sungguh nasib mereka apabila ketua masing-masing rupa-rupanya tak dapat menolong walau sedikit pun. Bahkan ketua mereka berkata : Hari ini, aku tak dapat tolong kamu semua. Hari ini ialah hari aku-aku, engkau-engkau ! Kata si pengikut : 'Tuan, bukankah dahulu tuan adalah pemimpin kami, kamilah yang memangkah undi tuan setiap 5 tahun sekali walau pun balasannya hanyalah sehelai kain pelikat murahan. Kami sentiasa mengiyakan kata-kata tuan walaupun dalam hati kami seratus-peratus tak bersetuju sama sekali dengan tuan. Bukankah kami ini pengikut setia tuan, hatta apabila tuan masuk ke neraka pun, kami pun turut serta bersama tuan? Apakah tuan tak dapat tolong kami pada hari ini walau pun sedikit cuma? Kuasa tuan sebagai orang penting dah tak boleh guna lagi ke? Jawab si ketua : "Pergilah kamu semua menjauhkan diri dari aku..pada hari ini, aku tidak mahu bertanggungjawab di atas apa yang kamu lakukan. Kesesatan kamu semua kerana mengikuti aku dan menjadikan aku sebagai pemimpin kamu, itu adalah kerana kebodohan kamu sendiri. Biarkanlah aku bersendirian memikirkan nasib celaka yang bakal aku terima sekejap lagi."

Lalu, si pengikut ini pun beramai-ramai meninggalkan ketua mereka sambil mereka berkata sesama sendiri : "Alangkah ruginya kita kerana mengambil si polan itu menjadi ketua kita. Kalaulah semasa di dunia dahulu, kita berkawan dengan orang-orang soleh dan berketuakan alim-ulamak, sudah tentu nasib kita tidaklah secelaka seperti hari ini.

Benar sekali wahai sahabatku.. demikianlah nasibnya kalau semasa hidup, kita tersilap berkawan dengan mereka yang bukannya kaki ibadah, kaki surau masjid dan seumpamanya. Sekurang-kurangnya, bila kita berkawan dengan golongan ini, kecuaian dan kelalaian kita akan diperingatkan. Berbanding bila kita berkawan dengan kawan jenis kaki enjoy, hidup tak tahu matlamat sebenar..langsung tak pernah ingat akan untung nasib di alam akhirat akan datang, maka kita sebenarnya sengaja menempah diri kita ke dalam kesengsaraan. Kesimpulannya, pandai-pandailah pilih kawan. Dapat kawan yang gila, maka gilalah kita.. hinggakan kemudahan awam yang sedia ada, sanggup dirobohkan kerana alasan yang langsung tak masuk dek akal !

Tuesday, September 28, 2010

CADANGAN UMRAH DAN KHATAM QURAN DI TANAH SUCI

Kelas Al-Qur'an Dewasa Bandar Warisan Puteri berhasrat akan mengadakan majlis khatam Al-Qur'an sama ada di Masjidil Haram, Makkah Al-Mukarramah atau di Masjid An-Nabawi, di Madinah disamping menunaikan kefardhuan umrah pada bulan April 2013 akan datang.

Bayaran ansuran sebanyak RM250 sebulan akan mula dikutip pada awal November 2010 dan berakhir pada November 2012 dengan jumlah terkumpul sebanyak RM6250 setiap peserta.

Semua peserta Kelas Al-Qur'an Dewasa termasuk pasangan dan anak-anak dipelawa untuk menyertai program ini.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi saya. Tawaran ini akan dibuka juga kepada bukan peserta sekiranya ada permintaan.

Monday, September 20, 2010

ZIARAH RAYA

Setelah tamat menjalani ibadah puasa sunat 6 hari dalam Syawwal, barulah terasa keseronokan untuk berhari raya. Tambah pula, rakan-rakan di taman ini masih ramai yang belum pulang dari kampung masing-masing.

Saya sempat berhari raya di rumah tuan setiausaha khairat kematian Bandar Warisan Puteri, Encik Jamaluddin Samsir..itu pun setelah diajak ( saya ni payah sikit nak berjalan ke rumah orang orang ). Selesai solat isyak, saya dan beberapa rakan jemaah yang lain ke rumah En. Jamaluddin, menikmati sedikit (tapi banyak juga) juadah raya.

Terima kasih dan semoga dilimpahkan kemurahan rezeki ke atas tuan sekeluarga.

JALAN LURUS : ADAKAH ALLAH DAH TUNJUKKANNYA KEPADA KITA?

"Wahai Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus" - demikianlah salah satu doa yang kita sering ucapkan. Bagi mereka yang solat fardhu full 5 kali sehari semalam, jumlah doa tersebut telah dibacanya sebanyak 17 kali. Mengapa sampai begitu kerap kita berdoa memohon daripada ALlah SWT agar ditunjukkannya jalan yang lurus itu? Jawabnya ialah kerana kalau kita tersasar ke jalan susur keluar yang lain, maka sesat dan sengsaralah nasib kita di hari akhirat esok.

Di kalangan kita hari ini - ramai yang berdoa seperti itu, tapi malang seribu kali malang, apabila ALlah SWT tunjukkan kepada mereka jalan yang lurus ( sepertimana yang diminta di dalam doanya ), mereka tetap memilih jalan yang sesat. Mereka lebih suka mengikuti susur kesesatan kerana ianya bertepatan dengan tuntutan nafsu.

Kita yang mendengar cerita ini semuanya rasa pening. Ada jugak ye manusia macam tu? Tiap hari tiap malam minta ditunjukkan jalan yang lurus, tapi bila Tuhan dah tunjuk, alih-alih jalan sesat jugak yang diikutinya..

Antara jalan lurus yang ALLah telah tunjukkan kepada manusia ialah perintah menguruskan kehidupan berlandaskan Quran dan Sunnah. Begitu juga dengan beberapa larangan ( tak banyak mana pun.. ) seperti jangan rasuah, jangan suka tipu atau kelentong rakyat, jangan menyusahkan orang ramai, jangan suka amalkan sikap 'my kronis's first', dan sebagainya lagi. Tapi ..apa yang Tuhan larang, itulah yang dikerjakannya.

Antara jalan lurus yang lain yang mesti dilalui oleh manusia ialah hendaklah mereka mengerjakan solat secara berjemaah, hormati jiran dan orang lain, nasihat-menasihati antara sesama sendiri dan lain-lain lagi. Namun begitu, ada kita buat semua tu? Ada datang ke surau/masjid untuk solat jemaah? Tak ada..

Habis tu? Apa makna kita minta dari ALlah supaya ditunjukkan kita jalan yang lurus tadi tu? Kot nak minta apa-apa, bila ALlah dah bagi, terima dan ikut ajelah.. Jangan nak bersikap huk-hek pulak!

Friday, September 17, 2010

SELAMAT HARI RAYA ENAM

Alhamdulillah.. Semuanya dengan pertolongan ALlah SWT jua. Hari ini, sekali lagi saya menyambut Hari Raya..iaitu Hari Raya Enam. Mungkin di sebelah pantai barat, suasana Raya Enam tidak semeriah di sebelah pantai timur.

Raya Enam adalah istilah kita orang Melayu, disambut oleh mereka yang telah berjaya menghabiskan puasa sunnat 6 hari di dalam bulan Syawwal. Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang puasa penuh dalam Ramadhan kemudian disusuli pula dengan puasa sunnat sebanyak 6 hari di dalam bulan Syawwal, dia akan diberi pahala sama seperti dia puasa selama setahun. Waah..ganjaran yang lumayan tu..sapa tak nak, kan? Tapi, kenapa masih ramai yang belum mulakan lagi? Iyelah.. open house masih banyak diadakan..

Apa pun, janganlah ditangguh-tangguhkan..bimbang kot esok, dah tak cukup harinya aje..

Friday, August 27, 2010

NUZUL QUR'AN

Selamat Menyambut Hari Nuzul Qur'an ! Hari ini, 17 Ramadhan, hari cuti am bagi sesetengah negeri di Malaysia..tapi tidak di N. Sembilan. Nuzul Qur'an bererti hari di mana Al-Quran mula-mula sekali diturunkan oleh ALlah kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Walaupun ada pandangan ulamak bahawa nuzul Quran bukannya pada 17 Ramadhan, tetapi tarikh tersebut telah diterima oleh majoriti mereka. Tak kiralah bila pun tarikhnya, apa yang lebih penting ialah maksud penurunan al-Quran itu sendiri.

Apakah tujuan utama diturunkan Al-Quran? Untuk ditadaruskan dalam bulan puasa sahaja ke? Antara tujuan utamanya ialah untuk kita tadabburkan ayat dan maknanya lalu dipraktikkan segala kandungannya. Itu yang paling mustahak. Namun demikian, berapa ramai di kalangan pembaca al-Quran hari ini yang dapat mentadabburkan ayat-ayat yang dibacanya? Jauh lagi untuk mengaplikasikan segala suruhan dan larangan yang terkandung di dalamnya...

Kalau ada yang kata : "Kami dah praktiskan al-Quran.." , apakah semua sekali atau hanya pada ayat-ayat tertentu sahaja? Mengapa kita wajibkan atas diri kita puasa dalam Ramadhan, tetapi tidak mewajibkan perintah pelaksanaan menutup aurat? Walhal kedua-duanya itu adalah perintah ALlah di dalam Al-Qur'an. Nampak sangat kita ni banyak memilih dan pilihan kita itu pula terarah kepada yang sesuai dengan nafsu sahaja..yang tak sesuai, kita buat-buat buta ! Kalau demikianlah perangai kita dengan kandungan al-Quran, maka tak samakah kita dengan perangai puak-puak pendeta Yahudi dan Nasrani di zaman dahulu, kini dan selamanya? Mereka hanya menerima hukum yang selari dengan hawa nafsu mereka semata-mata sebaliknya hukum yang tidak sesuai atau boleh mendatangkan kerugian kepada mereka, lalu diubah, dipinda atau sengaja buat-buat tak tahu!

Walaupun baca Al-Quran tanpa tahu makna dah pun dikira dapat pahala, tetapi mengapa tak usaha supaya dapat pahala lebih banyak dengan mempelajari maknanya pula? Kalau sebelum ini, kita baca Quran sambil lalu macam tu aje, apa kata kiranya selepas ni kita baca sambil perhatikan terjemahannya pula? Biar lambat, asal dapat faham maknanya..

Sekian.

Wednesday, August 25, 2010

KELAS AL-QURAN DEWASA

Semalam, saya ada hantar surat tawaran menyertai kelas Al-Qur'an kepada beberapa orang jiran, merangkap sahabat baik, mempelawa mereka mengikuti kelas Qur'an yang diadakan di PASTI Al-Mawaddah, Bandar Warisan Puteri. Tujuan saya, tak lain tak bukan kerana saya nak berkongsi ilmu yang ada pada saya disamping nak membantu mereka agar tidak tua menjadi buta Qur'an.

Pengalaman mengendalikan kelas Qur'an Dewasa sejak awal Mac 2010 bagi batch pertama, saya dapati orang yang selama ini saya anggarkan mereka dah cukup bagus membaca Qur'an, rupa-rupanya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Paling ketara ialah kesilapan baca baris harakat dan kadar panjang pendeknya (mad).

Ada juga yang bermula dengan Iqra' 1, muka surat 1. Namun begitu, saya puji mereka ini kerana tidak jemu berusaha untuk membasmi buta Qur'an mereka itu. Mereka diasuh, dilatih-tubi dan dipaksa hinggalah seperti apa yang saya dapati hasilnya sekarang. Alhamdulillah..bukan setakat betul sebutan bacaan sahaja, dah siap nak bertarannum pulak! Masya' ALlaaah !!

Walaupun cuma 3 malam sahaja dalam seminggu, peserta batch pertama saya ini dapat membuktikan bahawa kesungguhan mengatasi segala-galanya. Pakcik Isa, selaku ketua murid, telah membuktikan bahawa seseorang yang asalnya membaca Qur'an sambil terangkak-rangkak, dapat membaca dengan baik apabila adanya kesungguhan. Walaupun usia dah nak menjejaki lubang kubur, beliau masih ada keinginan untuk belajar baca Qur'an dengan betul. Begitu juga dengan isteri beliau, Kak Ani.. saya tak sangka sama sekali bahawa dalam masa 6 bulan sahaja, Kak Ani dah dapat membaca Qur'an dengan baik. Walaupun kadang-kadang tersangkut, tapi itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan hari pertama beliau mengikuti kelas Qur'an di sini.

Saya mendoakan agar mereka berdua diberi kemudahan oleh ALLah SWT untuk terus mempelajari kalamNya ini. Tidak dilupakan juga penghargaan saya buat Ustazah Hanif Shah yang telah banyak membantu saya sebagai rakan partner. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di Univ. Malaysia Terengganu (KUSTEM) dalam bidang kaunseling.

Pengambilan batch ke-2 ini, insya'ALlah akan bermula pada awal Oktober 2010 akan datang. Seramai 10 orang sahaja yang bakal melapor diri. Semuanya adalah mereka yang berusia sebaya dengan saya. Mungkin kali ini, tiada peserta veteran kerana saya nak bantu membimbing rakan-rakan yang saban malam sentiasa bersama saya di pondok kawalan. Insya'ALlah, selagi saya ada kudrat dan iradah pinjaman ALlah, saya akan cuba bantu mereka sedikit demi sedikit agar mereka selamat daripada menerima malu di hari tua kelak.

Selamat berpuasa dan Selamat menyambut Ramadhan Fasa ke-3, iaitu Fasa Iktikaf dan mencari Lailatul Qadar !

Tuesday, August 24, 2010

JANGAN DIDIK ANAK TENTANG PUASA SAHAJA..SOLAT LEBIH PENTING !

Alhamdulillah.. Dah 2 minggu kita berpuasa. Sekejap aje rasanya, ye? Pagi tadi, sambil memantau kerja sekolah murid-murid Tahun 1 Cemerlang dalam kelas, saya bertanya beberapa orang di antara mereka, siapa yang masih penuh puasanya? Agak mengejutkan..cuma 3 orang sahaja yang dah miss..itu pun baru 2 atau 3 hari. Alasan miss puasa ialah kerana tak bangun sahur.

Hebat betul kanak-kanak kita hari ini. Baru umur 7 tahun, dah larat puasa sampai satu bulan. Itu menunjukkan bahawa puasa ni sebenarnya takde lah berat sangat pun.. Penghargaan patut juga diberi kepada ibu dan bapa yang begitu bersungguh-sungguh mempastikan anak-anak dapat berpuasa. Sewal jam 5 lagi, si anak sudah dikejutkan untuk bangun bersahur. Dipujuk oleh sang ibu agar dapat makan sahur walau pun satu suku pinggan sahaja nasinya. Bila tiba tengah hari, si anak merengek kelaparan, lalu si ibu tadi memujuk pula supaya si anak dapat bersabar menahan kelaparannya.. 'Sabar ye, sayang..dah tak lama dah ni..' pujuk si ibu.

Baguslah kalau semua ibu dan bapa macam tu punya kesungguhan mendidik anaknya supaya berpuasa. Cuma satu perkara yang saya musykil, apakah dalam bab solat, kita bersungguh seperti itu juga? Sanggupkah kita kejutkan anak seawal pagi supaya anak dapat bangkit untuk solat Subuh? Pernahkan kita memujuk si anak supaya sabar mendirikan solat sebagaimana kita pujuk mereka sabar ketika berpuasa?

Realiti hari ini, kita lebih titik-beratkan puasa anak daripada solatnya..SEDANGKAN, ANTARA solat dan puasa, ibadah manakah yang paling berat mengikut kacamata Al-Qur'an?

WaLlahu A'lam !

Friday, August 13, 2010

RAMADHAN SHAHRUL QURAN

Shahrul Quran - salah satu gelaran yang diberikan kepada penghulu segala bulan ni.. Ianya bererti Bulan Al-Quran. Maksudnya ialah bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran sebagaimana firman ALlah SWT : "Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran" (Surah al-Baqarah). Maksud yang ke-2 pula ialah Ramadhan itu merupakan bulan yang paling ramai manusia baru nak cari dan nak baca Quran. Bulan-bulan lain tu..harapkan malam Jumaat aje lah..itu pun sekadar Yasin sahaja.

Dalam Ramadhan inilah, kita dapat lihat orang ramai kembali berjinak semula dengan al-Quran. Syukurlah ada bulan Ramadhan..kalau tidak, sampai ke mati le kita tak buka al-Quran. Program Tadarus juga diwar-warkan supaya ramai yang join dan participate. Waktunya ? Biasalah lah..selepas Witir, bila lagi? Kelihatan ada yang bersungguh-sungguh baca Quran hinggakan habis terlanggar isyarat-isyarat dalam bacaan.. mengapa baca sampai begitu express? La.. rupa-rupanya nak kejar tarikh khatam yang telah ditetapkan oleh penganjur. Kata pengajur, tahun ni kita nak cuba khatam sampai 3 kali. Fullamaak..oi.. hebat tu!

Apa maksud khatam? Sama ke dengan istilah 'Khitan'? Khatam tu ertinya tamat. Khatam Quran ertinya dah tamat atau dah habis dah baca Quran dari juz 1 sampai juz 30. Tapi betul ke praktikal tadarus kita hari boleh digunapakai untuk khatam Quran? Peserta tadarus kita tu..mereka baca secara individu atau berkumpulan? Berkumpulan pulak macamana caranya? Adakah semua mesti baca dari awal hingga akhir atau bahagi-bahagikan juz ikut kumpulan? Maksud saya, contohnya seperti kumpulan 1 baca juz 1-5, kumpulan 2 baca dari juz 6-10..adakah bila semua kumpulan ni dah selesai baca Quran ikut pembahagian juz masing-masing, maka kita pun boleh mendabik dada seraya berkata : Kami dah khatam dah...

Kalau macam tu, saya nak khatam satu malam sekali khatam. Apa susah..kita kumpulkan 30 peserta dan setiap peserta tolong baca 1 juzu mengikut pembahagian juz yang akan saya beri nanti. Waah..lagi hebat.. Maka tiap-tiap malam saya akan adakan majlis Khatam Quran !

Menipu ke tidak namanya tu? Alahai manusia..kut nak tunjuk cerdik pun, janganlah sampai ALlah pun kita nak tipu..! Khatamlah Quran menurut praktikalnya yang sebenar..bukan caca marba macam tu..

OK lah.. Selamat bertadarus kepada semua rakan kumpulan tadarus. Izinkan saya tanya satu lagi soalan : Apa objektif tadarus sebenarnya? Nak megah dengan khatam atau nak betulkan bacaan sambil mengerti maksud ayat-ayat yang dibaca? Kalau dah mengerti maksud ayat, tunggu apa lagi? Amalkanlah kandungan ayat tersebut...

Thursday, August 12, 2010

BUKA PUASA.. ALA-ALA KADAR JE LAH

Salam Ramadhan.. Syukur pada ALlah..kerana telah berjaya menamatkan puasa hari pertama semalam. Pagi tadi, terbaca cerita/berita kemalangan jalan raya di Tol Senawang - pemandunya mati kerana terlanggar belakang sebuah lori-tak sempat nak berbuka puasa. Ye lah.. panggilan ALlah telah tiba..apalah daya dan upaya kita lagi..

Kita yang masih hidup sekarang ni pun..belum tentu dapat bertemu dengan Ramadhan hari ke-3, apatah lagi hari ke-30 sebelum nak menyambut raya. Tapi, walau bagaimana pun, kalaulah dah takdir kita dimatikan sekarang, atau esok lusa, sekurang-kurangnya kita patut berbangga sebab kita mati dalam bulan Ramadhan..tu pun kalau diri kita ni orang yang baik. Kalau jahat atau tak pernah solat walau sekali pun, matilah dalam bulan apa pun, tetap dibelasah oleh malaikat kat dalam kubur tu..

Biasanya bila dah nak masuk sesi petang, kita dah tak terasa kelaparan lagi..waktu ni, kepala duk ligat berfikir nak makan apa sebagai juadah puasa. Nasihat saya, tak payahlah beli hingga 7, 8 jenis lauk pauk dan kuih muih. Ala-ala kadar aje lah.. kot nanti bila terlalu banyak perut tu diisi, malas pulak nak solat jemaah kat surau.. Perut kenyang mata pun mulalah kuyu.. habis tu, macamana nak isi Ramadhan kita dengan amal ibadah?

Apa-apa pun, selamat berbuka puasa !

Friday, July 2, 2010

ISTIDRAJ UNTUK ULAMA'

Pernah dengar perkataan 'Istidraj'? Istidraj bermaksud kelebihan@keistimewaan yang ALlah SWT berikan kepada seseorang hambaNya tetapi bukan dengan tujuan untuk memuliakan hamba tersebut, bahkan sebaliknya adalah sebagai satu bentuk penghinaan yang halus lagi tersembunyi.

Contoh istidraj ialah seperti seseorang yang diberikan harta kemewahan, lengkap serba-serbi, ada kereta besar, pakaian cantik dan seumpamanya, tetapi semua itu tidak dapat digunakan untuk dijadikan penyalur kepada ibadah kita kepada ALlah.

Ada orang kata, inilah salah satu tanda kita dah mula kufur nikmat! Bagaimana ALlah SWT boleh tambahkan lagi nikmatNya kepada orang yang sering mengkufurinya? Bukankah ALlah telah berpesan bahawa : Sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, ingatlah bahawasanya azabKu amatlah pedih!

Perhatikan sahaja orang-orang kaya (yang tak sedar diri) di sekeliling kita..mereka diberikan harta yang berlimpah-ruah, kekayaan mereka bertambah dari sehari ke sehari, sedangkan mereka ini tak pernah pun sembah ALlah, tak pernah pun datang berkunjung ke rumah ALlah, bagaimana ini boleh berlaku?

Baiklah..seperti yang saya nyatakan di awal perenggan pertama di atas, istidraj ialah pemberian ALLah untuk menghina hambaNya, bukan untuk memuliakan. Perbandingan ringkas saya ialah ayam daging yang dibela di reban. Saban hari diberi makan, suntikan ubat dan vaksin, penjagaan yang begitu rapi sehinggalah ayam-ayam daging ini memboyot dan sihat-sihat belaka. Cukup masanya, mereka pun dibawa naik lori..Naik lori tu, nak ke mana ? Lawatan sambil belajar ke ? Tidak..jawabnya ialah mereka naik lori sebab nak dibawa ke tempat penyembelihan.

Lebih kuranglah maksud perbandingan saya di atas tu dengan golongan kaya rayawan yang sampai hari ni, masih tak nampak-nampak mukanya di surau masjid. Harta kekayaan pemberian ALlah itu adalah sebagai makanan yang disogokkan supaya bila tubuh badan dah membesar, berbaloi amat sangatlah ianya dibakar di dalam api neraka kelak..

Itu contoh istidraj dari sudut harta kekayaan. Dari sudut ilmu pengetahuan pun tidak dapat lari dari ujian istidraj ini.

Ramai orang alim (ulama') yang terjatuh dalam perangkap istidraj. Mereka banyak ilmu, banyak pengetahuan tentang hukum-hakam tetapi malangnya mereka sendiri yang banyak melakukan kesalahan dan maksiat kepada ALLah SWT. Dengan kelebihan ilmu yang ada, ditambah pula dengan sedikit kebolehan berbicara, kita gunakan ilmu kita untuk memburukkan orang lain, menghukum dengan pelbagai gelaran dan menyebar-luaskan keaiban orang ramai dengan alasan ianya adalah untuk menegakkan kebenaran.

Mungkin pada sisi kita, perbuatan seumpama itu adalah satu kebajikan yang akan diberikan pahala, tetapi bagaimana sekiranya di sisi ALlah, perbuatan kita itu adalah sebesar-besar kejahatan yang bakal diberikan dosa serta laknat kutukan daripadaNya?

Saya teringat pesanan Junjungan Besar kita : "Sesiapa yang mencari ilmu dengan tujuan untuk memperlekehkan orang lain, merendah-rendahkan orang lain, mengaibkan orang lain serta dengan tujuan konon-konon orang akan kita kita ni hebat, maka dia akan mendapat laknat serta kutukan daripada ALLah SWT."

Saya sentiasa memperingatkan diri ini, agar jangan apabila kita dah terkenal, dipanggil berceramah situ-sini, kita pun mulalah lupa diri. Tambah pula apabila setiap kali dipanggil berkuliah atau berceramah, ada tersedia habuannya..