Kelas Al-Qur'an Kumpulan 1 malam semalam diadakan di rumah Puan Zaharah atau panggilan mesranya Kak Sarah. Selesai solat maghrib yang diimamkan oleh Ketua Unit (KU) Kumpulan 1, Encik Isa, kami adakan sedikit majlis tahlil arwah dan sambung makan (berbuka puasa) sehinggalah masuk waktu Isya'.
Selepas isya', barulah kami menyambung pelajaran Qur'an. Kali ini tadarus kami ialah pada ayat 166-196, surah Al-Baqarah. Antara intisari ayat yang dibincangkan secara ringkas di dalam kelas Qur'an semalam ialah :
Ayat 166 : (Yaitu) ketika orang-orang yang diikuti berlepas tangan dari orang-orang yang mengikuti, dan mereka melihat azab, dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus. [ Lihat tafsir ayat seterusnya sebagai sambungan ayat ini ]
Di dalam ayat ini, ALLah SWT menggambarkan kepada kita satu peristiwa yang bakal berlaku di hari akhirat (pembalasan) kelak, satu peristiwa yang patut amat kita jadikan iktibar sebelum ianya benar-benar berlaku ke atas kita. Sebabnya, kalau dah berlaku, kita takde jalan untuk pulang semula ke dunia ini.. masa tu, menyesal dan menangis keluar air mata darah sekali pun, Tuhan takkan layan lagi dah..
Ayat ini menceritakan satu cerita tentang orang-orang yang semasa hidupnya di dunia, mereka tersalah pilih kawan atau tersalah pilih ketua/pemimpin. Semasa hidup di dunia, mereka sentiasa bersama dengan kawan atau ketuanya. Ke mana sahaja, sentiasa bersama..ke pusat karaoke, pusat dangdut, sure heboh, dan lain-lain..cuma ke masjid atau surau aje yang tak pernah..
Pendek cerita, mereka pun mati. Lepas tu, ALlah SWT hidupkan semula mereka semua bagi menghadapi hari pembalasan. Ketika berkumpul di padang Mahsyar, mereka mencari-cari bekas kawan rapat atau ketua/pemimpin mereka dahulu. Moga-moga ketua mereka ni boleh tolong bagi syafaat..seperti semasa di dunia dulu. Namun demikian, malang sungguh nasib mereka apabila ketua masing-masing rupa-rupanya tak dapat menolong walau sedikit pun. Bahkan ketua mereka berkata : Hari ini, aku tak dapat tolong kamu semua. Hari ini ialah hari aku-aku, engkau-engkau ! Kata si pengikut : 'Tuan, bukankah dahulu tuan adalah pemimpin kami, kamilah yang memangkah undi tuan setiap 5 tahun sekali walau pun balasannya hanyalah sehelai kain pelikat murahan. Kami sentiasa mengiyakan kata-kata tuan walaupun dalam hati kami seratus-peratus tak bersetuju sama sekali dengan tuan. Bukankah kami ini pengikut setia tuan, hatta apabila tuan masuk ke neraka pun, kami pun turut serta bersama tuan? Apakah tuan tak dapat tolong kami pada hari ini walau pun sedikit cuma? Kuasa tuan sebagai orang penting dah tak boleh guna lagi ke? Jawab si ketua : "Pergilah kamu semua menjauhkan diri dari aku..pada hari ini, aku tidak mahu bertanggungjawab di atas apa yang kamu lakukan. Kesesatan kamu semua kerana mengikuti aku dan menjadikan aku sebagai pemimpin kamu, itu adalah kerana kebodohan kamu sendiri. Biarkanlah aku bersendirian memikirkan nasib celaka yang bakal aku terima sekejap lagi."
Lalu, si pengikut ini pun beramai-ramai meninggalkan ketua mereka sambil mereka berkata sesama sendiri : "Alangkah ruginya kita kerana mengambil si polan itu menjadi ketua kita. Kalaulah semasa di dunia dahulu, kita berkawan dengan orang-orang soleh dan berketuakan alim-ulamak, sudah tentu nasib kita tidaklah secelaka seperti hari ini.
Benar sekali wahai sahabatku.. demikianlah nasibnya kalau semasa hidup, kita tersilap berkawan dengan mereka yang bukannya kaki ibadah, kaki surau masjid dan seumpamanya. Sekurang-kurangnya, bila kita berkawan dengan golongan ini, kecuaian dan kelalaian kita akan diperingatkan. Berbanding bila kita berkawan dengan kawan jenis kaki enjoy, hidup tak tahu matlamat sebenar..langsung tak pernah ingat akan untung nasib di alam akhirat akan datang, maka kita sebenarnya sengaja menempah diri kita ke dalam kesengsaraan. Kesimpulannya, pandai-pandailah pilih kawan. Dapat kawan yang gila, maka gilalah kita.. hinggakan kemudahan awam yang sedia ada, sanggup dirobohkan kerana alasan yang langsung tak masuk dek akal !