Thursday, December 31, 2009

ALAHAI BILIS..KESIAAN BETUL LA ENGKAU !

Kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam akhbar hari ini, bahawa tiada pegawai atasan tentera terlibat dalam kes kehilangan dua enjin jet tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amatlah tidak masuk akal sama sekali.

Bagi saya (dan ramai pembaca lain), kenyataan itu tidak munasabah kerana pegawai pangkat rendah tidak akan mampu melarikan enjin seperti itu tanpa bantuan pihak atasan. Ahmad Zahid mungkin cuba menjaga maruah dan kewibawaan pihak tentera, tetapi caranya tidak kena pada tempatnya. Walaupun kes ini cuba dirahsiakan kepada umum, akhirnya ia akan terbongkar jua. Persoalannya apakah benar hanya pegawai lain-lain pangkat yang terlibat dengan kes itu atau ada dalang di sebaliknya?

Sikap Ahmad Zahid yang cuba meletakkan kesalahan kepada pegawai rendah, seolah-olah cuba menyembunyikan kesalahan pegawai atasan. Rakyat sangat berharap agar tidak ada tindakan untuk ‘melindungi jerung dan membiarkan bilis menjadi mangsa’.

Kenyataan Ahmad Zahid dan KPN itu tidak munasabah langsung kerana jika tiada pegawai tertinggi yang terlibat, kes itu tidak akan berlaku kerana pegawai bawahan hanya mengikut arahan pegawai atasan..

Inilah satu lagi bukti penyelewengan harta rakyat..wang cukai kita (rakyat) yang berjumlah ratusan juta ringgit hilang seperti itu sahaja. Bayangkan kalau enjin jet yang sebegitu besar pun boleh hilang, takkanlah nak hilangkan seorang manusia bernama Altantuya atau Balasubramaniam satu masalah besar?

Sunday, December 27, 2009

SYUKUR UNTUKMU YA RABB..

Alhamdulillah..kesyukuran tak terhingga kepadaMu Ya ALlah kerana memudahkan perjalanan pulang aku dan keluarga ke Warisan Puteri pada Sabtu, 26.12.2009. Kami bertolak dari K. Trg tepat jam 9.00 pagi. Anak-anak nampaknya seperti tak nak balik lagi..'seronok tinggal kat kampung', kata mereka..

Ikutkan hati, memang aku pun tak nak balik lagi..tapi, memandangkan aku dan isteri ada meeting akhir tahun di sekolah masing-masing, kami terpaksa juga ucapkan salam perpisahan kepada kedua orang tua di kampung.

Perjalanan pulang kali ini cukup memenatkan. Beberapa kali, aku singgah di masjid-masjid untuk meregangkan urat dan membaringkan diri (selepas selesai Tahyat Masjid..). Hasilnya, perjalanan kami berakhir di BWP tepat jam 6.30 petang. Aduhai..penatnya.

Aku tak dapat nak belikan keropok lekor Losong utk semua sahabat..kerana terlalu banyak kiriman dari keluarga mertua dan rakan2 di sekolah lama (SMK. Puteri). Terkilan tu, memanglah..kerana tak dapat belikan untuk sahabat-sahabat seperti Ust. Hj. Azzhar, Ust Hj. Hishamuddin, Hj. Zambrose, Pak Chad Tok Bilal, Mat So'od, Datuk Sahak Malek, saudara Orang Minyak (alhamdulillah..saya dah tahu siapa tuan sebenarnya-TP SAYA JANJI AKAN KEKALKAN KERAHSIAAN PERIBADI TUAN!) dan lain-lain..

Semasa ke surau menjelang Maghrib semalam, saya ada bawa sebungkus untuk dikongsi makan ramai2..itulah saja yang dapat saya bawa sebagai tanda ingatan buat rakan-rakan jemaah surau..seronok bila tengok rakan-rakan makan dengan berselera sekali..tapi sayang, sbb sahabat2 yang saya sebutkan nama-nama mereka di atas, tidak dapat bersama (kecuali Hj. Zambrose sahaja)..

Dalam kepenatan bermusafir, saya masih diberi kekuatan untuk menyampaikan kuliah Maghrib..saya bimbang sekiranya rakan2 jemaah dah mula meninggalkan surau kerana sering tidak ada kuliah disampaikan..Terima kasih kepada rakan2 pengkuliah lain yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan..Semoga ALlah SWT mengganjari tuan dengan ganjaran sebaiknya..Aamin!

Sebaik tiba di perkarangan rumah, aku memeriksa kotak surat..Alhamdulillah..anak sulong aku telah berjaya diterima masuk ke form 1 di SMKA Datuk Klana Petra Makmur, Ampangan..Lega rasanya..terselamatlah dari ke SMK Puteri tu..(sekolah ni, aku gelar sebagai sekolah tarian..sebab hampir setiap hari ada aktiviti dan latihan tarian)

Semoga ALlah SWT memberikan pilihan yang tepat demi untuk masa depan anak sulong aku ini..

Friday, December 25, 2009

BULAN MADU DI TERENGGANU DARUL IMAN



Salam satu Malaysia..

Aku dan keluarga sekarang berada di Terengganu Darul Iman, bumi kelahiran dan tanah tumpahnya banyak darah aku terutama ketika aku kecil-kecil dahulu. Sebelum ini, aku kerap balik ke kampung dengan bas ekspress (sorang diri)..tapi kali ini, aku ambil keputusan untuk balik bersama keluarga. Faktor keduanya, kerana anak aku yang bongsu tu belum jejakkan lagi kedua kakinya di bumi bertuah ini..

Kami satu keluarga bertolak ke Terengganu selepas solat Zohor di Surau Al-Hidayah pada hari Isnin (21.12.2009) dan alhamdulillah, tiba di rumah mak ayah di Kampung Masjid Hj. Kadir, Pasir Panjang, Kuala Terenggganu, tepat jam 9 malam. Satu safar yang agak membosankan kerana aku seorang sahaja yang memandunya..

Perkembangan pembangunan di Kuala Terengganu amat pesat sekali. Aku pun kadang-kadang naik pening dengan perubahan arus jalan raya di sini..banyak jalan raya yang dah bertukar menjadi jalan sehala..

Hari pertama di KT, rondaan kami sekeluarga dengan Perodua Alza ialah ke Masjid Kristal atau Taman Tamaddun Islam, kemudian ke Pasar Payang dan berakhir di Pantai Peranginan Batu Buruk.

Semalam, hari ke-dua, aku dan keluarga ke Pantai Tok Jembal, menikmati sarapan Nasi Dagang lauk ikan aya (tongkol) dan seterusnya ke Pasaraya Mydin yang terbesar iaitu di Hiliran, Bukit Besar, K. Trg. Banyak juga yang kami habiskan kerana membeli baju-baju sekolah anak-anak.

Hari ini, hari ke-tiga, aku meronda seorang diri menziarahi rakan-rakan lama yang sama-sama berjuang di medan dakwah. Ada di antara mereka yang mengajar di Darul Qur'an, Rusila (di Masjid Tuan Guru Hj. Hadi), tapi majoriti mereka sekarang ialah pengkuliah agama dan pendakwah bebas selain berkhidmat sebagai guru agama di sekolah-sekolah kementerian.

Insya'ALlah, menjelang fajar hari Sabtu (26.12.2009), kami akan berangkat kembali ke Seremban kerana minggu hadapan adalah minggu yang penuh dengan mesyuarat di sekolah.

Tahun 2010 bakal tiba nanti, aku ditukarkan oleh pihak pengurusan sekolah ke sesi pagi. Syukurlah..kerana sebelum cuti sekolah baru-baru ini, aku dah mula berfikir bagaimana nak uruskan anak lelaki aku (2010- naik Tahun 4) ke sekolah sekiranya aku masih kekal di sesi petang. Pelantikan sebagai Guru Disiplin juga merupakan satu lagi kepercayaan pihak sekolah terhadap aku yang tak semestinya aku khianati.. Sesi pagi juga bakal menjadikan aku lebih sibuk dengan pelantikan sebagai Jurulatih Daerah Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan sambungan perkhidmatan sebagai Jurulatih Dakwah..Semoga semua amanah ini dapat aku laksanakan dengan sebaik mungkin. Tuhanku, tolonglah aku dalam melaksanakan semua kewajipan ini, janganlah Engkau bebankan aku dengan sesuatu yang tak mampu aku lakukan..

Kepada semua sahabat dan rakan guru yang menziarahi blog ini, Selamat Kembali ke Sekolah !

Sunday, December 20, 2009

KENANGAN DI BUMI KINANAH

Sewaktu melangkah pergi meninggalkan bumi Malaysia pada bulan Ogos 1992, aku cuma diiringi keluarga sehingga ke Bus Stand Tanjung, Kuala Terengganu. Bas ke KL bertolak jam 9.00 pagi. Aku melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada mak dan ayah serta adik-beradik yang lain. Sememangnya aku tidak mahu menyusahkan mereka.

Sewaktu kakak sulong aku ke US, abang aku ke UK, mereka berdua dihantar oleh keluarga sehingga ke Airport Subang. Bukan aku dengki pun..tambah pula, aku sendiri yang minta mak ayah aku hantarkan ke stesen bas ekspress Kuala Terengganu.

Aku nak belajar berdikari, tak mahu susahkan orang lain. Apabila tiba di Airport Subang, jam 11.00 malam, aku lihat ramai saudara-mara kawan aku yang berpelukan, menangis teresak-esak dan siap bagi wasiat lagi..Aku pulak? Aku cuma bersandar kat satu tiang dan meneruskan bacaan majalah Gila-Gila. Sebelum masuk ke Balai Berlepas, aku sempat call mak ayah kat kampung, mohon doa restu kali terakhir.

3 tahun di bumi Kinanah, masa terasa begitu pantas berlalu. Aku tinggal di Hayyu Saabi' (Section 7) yang penuh dengan budak Melayu. Bas sardin no 916 adalah pengangkutan rasmi aku selain menaiki tram (keretapi 3 gerabak) untuk berulang-alik ke Universiti Al-Azhar. Walaupun kelas bermula jam 9 pagi, biasanya aku dah berada di Masjid Saidina Hussin sebelum jam 8 lagi. Aku mentelaah dan tasmik bacaan dengan seorang sheikh penjaga masjid. Aku ingat pak sheikh buta ni orang biasa aje..rupa-rupanya bekas pensyarah berpangkat doktor..Masya'ALlah !

Dialah yang menjadi guru tak rasmi aku sepanjang aku berada di Kaherah ni.. Dan aku amat berbangga sekali kerana pak sheikh sudi menerima aku sebagai anak angkatnya. Penampilannya cukup selekeh, dengan jubah lusuh dan sebatang tongkat usang..tetapi tepat jam 8.45 pagi, beliau pasti akan dijemput oleh pemandunya dengan kereta mewah (jenis apa ntah..aku bukan jenis suka ambil tahu jenis kereta mewah pun !)..

Melalui pak sheikh ini, aku mendapat bimbingan peribadi..siang dan malam, aku banyak habiskan masa di rumah beliau. Bilik bacaan beliau yang penuh dengan kitab (lama dan baru) dah jadi macam bilik apartmen aku sendiri. Kadang-kadang aku mentelaah kitab-kitab beliau sehingga jam 3 pagi..kadang-kadang kami berdiskusi bersama..

Kepulangan aku ke tanahair sedikit menyedihkan hati guru tua ku ini..Namun, beliau sempat berpesan kepada aku : "Jadilah kamu seperti tanah yang berlekuk, menakung air lalu mengalirkannya ke tanah lain.."

Insya'ALlah..dan Al-Faatihah untukmu, wahai guruku !!

SEKEJAP SAHAJA SEBAGAI HAMBA ALLAH?

Pagi tadi, saya berkesempatan ke Surau Kg. Jiboi Baru, nak dengar kuliah subuh Ust Nasharudin Ali. ( Sejak jadi imam Surau BWP, baru sekali saya berpeluang mengikuti kuliah beliau) Malangnya, ustaz tak dapat datang kerana keletihan setelah seharian dan semalaman memenuhi undangan dari surau dan masjid sama ada di dalam mahu pun di luar Negeri Sembilan.

Akhirnya, Ust Jaafar ambil alih..ye lah, takkan nak hampakan puluhan jemaah yang hadir. Ust Jaafar membincangkan mengenai tajuk tugas kita sebagai manusia. Kebetulan, inilah juga tajuk kuliah subuh saya di Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng pada pagi Sabtu (19 Dis 2009) baru-baru ni..

Dalam kuliah Ust Jaafar pagi tadi, beliau menanyakan para jemaah, berapa lamakah dalam tempoh satu hari, kita ni jadi hamba ALlah? Belum sempat dijawab, beliau sendiri dah jawab pun..(ye lah..pasal makmum semuanya terkebil-kebil tak ada yang nak jawab!)

Kata ustaz, kita ni jadi hamba ALlah sekitar 25 minit sahaja sehari semalam. Iaitu ketika kita dirikan solat 5 waktu..masa tu lah, kita ni jadi hamba ALlah..Masa sedang solat, baru kita rasa bahawa kita sebenarnya adalah hamba Tuhan (ALlah). Tetapi, cuba perhatikan, sebaik sahaja selesai solat, lalu kita pun buat kerja lain..apakah masa tu, kita masih merasakan kita ni sebagai hamba Tuhan?

Saya tersenyum sorang diri..sambil memerhatikan visual rakaman kamera video yang saya sentiasa bawa bersama-sama ke mana-mana kuliah agama yang saya hadiri. Betul..kita ni hanya hamba Tuhan untuk sekelip mata sahaja. Selepas itu, kita langsung bertukar watak menjadi hamba dunia, hamba wang, hamba perempuan dan dahsyatnya lagi, kita adalah hamba kepada nafsu serakah kita sendiri..

Sepatutnya, kita menghambakan diri kita kepada Dia bukan untuk 24 jam sahaja sehari semalam, bahkan kita patut jadikan diri kita sebagai hambaNya sejak dari alam ruh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh, alam akhirat dan seterusnya ke alam syurga (atau NERAKA kot?)

Itu golongan yang solat jugak walaupun sentiasa sibuk dengan kerja. Bagaimana dengan yang tak solat langsung? Dengan alasan bangangnya : NO TIME!

Inilah sebenar-benarnya hamba dunia..saban hari hanya memikirkan nak cari duit, kumpul duit, bazirkan duit..dunia dikejar siang dan malam..keluar sebelum naik matahari, pulang setelah tenggelam..Bila ajak ke masjid surau, alasannya ialah letih..atau no time!

Apa dia ingat dia seorang sahaja yang letih? Tak ada masa? Alasan letih dan tak ada masa adalah alasan paling biadap di hadapan ALlah SWT. Kamu sanggup bersusah-payah, memeras tenaga tulang empat kerat untuk mencari habuan dunia, tetapi dengan kewajipan berjemaah di masjid surau, kamu sanggup beri alasan letih!!

Ust Jaafar ada juga menyentuh pasal sikap kita hari ini yang hampir menyerupai kambing. (Ust tak sebut lembu..). Kenapa? Sebab kambing ni, hanya fikir nak makan, minum, berak, kencing, berjimak! Itu sahaja!! Serupa lah dengan kita yang berfikiran macam tu..tapi kata ustaz, tetap ada juga bezanya..kambing ni, bila dah tak berguna, boleh disembelih buat makan dagingnya..manusia yang tak guna ni? Nak buat apa? Jawapan saya dalam hati : "Jadikan sebagai kayu api untuk pembakaran di dalam NERAKA kelak!"

Sebelum meninggalkan surau, saya tertanya-tanya : "Ust Jaafar ni, tak de ke orang yang tuduh dia sebagai imam samseng?" Kalau aku yang cakap macam tu, gerenti dah lama kena gam oleh budiman-budiman BWP..

Alahai kambing..malangnya engkau..Tapi silap engkau jugak wahai kambing..ALlah beri tugas suruh jadi hamba Dia, tapi yang kau bantai jadi hamba wang, hamba harta kekayaan, hamba nafsu serakah tu, sapa yang suruh?

Taubatlah kita daripada menghambakan diri kepada benda-benda macam ni..insya' ALLah, sementara masa masih ada!

SELAMAT BERTUNANG..


Alhamdulillah..akhirnya adik ipar saudara Azzi, Syamsul Bahari bin Mohamed Kassim, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan pilihan hatinya..nama apa ye?..saya lupa pula nama penuhnya, tapi saya panggil dia Mia. Tapi kalau tak silap, Fatimah binti Hj. Mohamad Zin. Maaf kalau tersalah..

Perjalanan rombongan 4 kereta dari Seremban ke Ipoh lancar dan tiada masalah. Rombongan kami diterima dengan sambutan yang sederhana tetapi amat mesra. Proses pertunangan seperti perbincangan tarikh perkahwinan, hantaran, kenduri kahwin dan lain-lain lagi berlangsung dalam keadaan yang amat simple. Bagi saya, itulah sebaiknya..Yassiruu..!!kata nabi SAW.

Kesempatan ini, saya ingin ucapkan tahniah kepada adik ipar Azzi yang akan berkahwin pada 05 Jun 2010 akan datang sekali gus menamatkan zaman dudanya..

Bersabda Nabi SAW : 'Apabila berkahwinnya seseorang anak Adam, maka sempurnalah separuh dari agamanya..'. Separuh lagi ? Sila tanya Azzi sendiri, sebab dia dilantik jadi imam besar semasa upacara pertunangan tersebut..

LEGANYA HATI INI APABILA..

Peserta Kem Tahfiz bergambar kenangan bersama Ustazah Hanis, salah seorang tenaga pengajar yang dijemput khas dari Pahang

Pada majlis Sambutan Awal Muharram (Khamis, 17 Dis 2009), saya berkesempatan memohon jasa baik Tuan Pengerusi Surau Al-Hidayah, BWP, Y Bhg Ust Hj. Shafie Shaari untuk menyelitkan acara penutupan dan penyampaian sijil/cenderahati kepada 15 orang anak-anak kecil yang menyertai Kem Tahfiz Al-Qur'an yang berlangsung dari 22 Nov-18 Dis 2009.

Kem Tahfiz Al-Qur'an ini pada asalnya saya nak masukkan di dalam salah satu taqwim program surau-sebagai program terakhir bagi tahun 1430H. Tetapi saya bimbang sekiranya pisang berbuah lagi 18 kali..Penat-penat buat kertas kerja, bentangkan dalam mesyuarat, tapi keputusannya : "Apa kata kalau kita tangguh dahulu program ini..sebab pengerusi tak ada..beliau tak dapat datang mesyuarat kita ni" atau "kita tangguh dahulu sebab kita perlu dapatkan sponsor atau penaja" atau "kita bukan tak setuju nak buat, masalahnya siapa kita nak jemput untuk merasmikannya?"

Petikan kata-kata di atas saya flash-back kan semula ketika membentangkan cadangan untuk mengadakan Perkhemahan Ibadat Anak-anak Cemerlang BWP. Dari tarikh asalnya pada bulan April, ditangguhkan 3 kali berturut-turut sehinggalah ke bulan Jun..sebab penangguhan ialah seperti petikan kata-kata di atas tadi..satu sebab yang remeh tetapi sengaja dijadikan satu masalah besar!

Berkaitan Kem Tahfiz sempena cuti sekolah baru-baru ini, saya akui : NO MORE MEETING. OTHERWISE..SAME THING WILL GO ON AGAIN !

Alhamdulillah..tanpa bantuan AJK Surau dan meeting yang tak dapat memberikan keputusan yang diharapkan, program tersebut dapat juga dijayakan. Saya bukanlah nak tunjuk bongkak, sombong atau takabbur..saya sekadar nak membuktikan bahawa walaupun tidak ada AJK Program, tak ada buku program, tak ada perasmi program, sesuatu yang kita lakukan dengan penuh kesungguhan pasti akan berjaya..

Hari ini, saya dapat menarik nafas lega yang panjang..ucapan syukur ke hadrat ALLlah SWT sentiasa tidak lekang daripada bibir. Selama 25 hari bersama anak-anak, siang membantu hafazan dan tasmik, malam pula tidur bersama mereka dan bangkit seawal 3.30 pagi-saya rasa cukup seronok dan berpuas hati..

Hasil kem selama hampir sebulan ini, tak terkata di bibir..hanya hati yang mampu berbicara. Syukur padaMu Ya Rabb..anak-anak ini mampu menghafaz kalam suciMu..satu juzuk daripada 30 yang terkandung di dalam Al-Qur'an. Paling menyayat perasaan, apabila ada di antara mereka yang dilantik mengimamkan solat jemaah Subuh..dengan bacaan yang cukup baik dari segi tajwid dan sebutan mengalahkan jurulatihnya sendiri, saya menitis air mata syukur ketika berdiri di belakang imam muda ini..dalam usia baru mencecah 11 tahun, makmumnya adalah orang-orang tua yang lebih berpengalaman..sekali lagi, syukur kupanjatkan buatMu..

Saya juga dapat menarik nafas lega kerana diri ini tidak lagi terikat dengan tanggungjawab dan amanah manusia..Saya kini bebas ke mana sahaja tanpa perlu saya fikirkan lagi siapa yang akan menguruskan pengimarahan surau. Saya pun nak jadi macam Ust A'lim, Ust Najmi, Ust Zawawi, Ust Hj. Shafie, Ust. Hj Azzhar, Ust Orang Minyak dan lain-lain. Tak ada pun orang yang nak marah-marahkan saya apabila surau berkunci ketika dah masuk waktu solat, tak ada orang nak azan, surau tak terurus-kotor, berhabuk, makan malam jemaah tak disediakan, tabung surau tak ada orang nak kutip dan sebagainya.

Harapan saya, akan ada individu lain yang sanggup memikul 'amanah manusia' ini meneruskan keceriaan surau kita pada tahun baru 1431H ini..

Semalam, ketika berada di Ipoh, saya menerima satu panggilan telefon dari orang Dahlia minta saya uruskan satu majlis tahlil arwah..jawapan saya ringkas sahaja : 'Puan, saya bukan lagi imam surau..'..pun begitu, saya terima juga pelawaan beliau memandangkan hubungan yang baik antara kami telah sekian lama terjalin.

Thursday, December 17, 2009

PERSATUAN PENDUDUK BWP : APA STATUSNYA ?

Dua minggu yang lalu, kedengaran desas-desus mengatakan akan diadakan satu mesyuarat atau perjumpaan bagi membincangkan usaha mengaktifkan semula Persatuan Penduduk Bandar Warisan Puteri (PPBWP) yang kini sedang berhadapan dengan proses pembubaran oleh ROS.

Pada 09 Dis 2009 (Rabu), saya ke ROS yang terletak di tingkat 6, Bangunan Yayasan N. Sembilan, bertemu dengan salah seorang pegawai ROS. Saya mohon penjelasan beliau mengenai status PPBWP.

Maklumat yang saya terima :

1) PPBWP mula didaftarkan penubuhannya pada 2004. Mesyuarat Agung pertama pada 2005, OK. Ada minit mesyuarat, penyata akaun dan sebagainya. Malangnya pada 2006, 2007, 2008 sehinggalah pada 2009 yang tinggal bakinya beberapa hari lagi ini, semua dokumen yang sepatutnya diserahkan salinannya kepada ROS tidak sampai ke pejabat tersebut.

2) ROS telah berkali-kali menghantar surat peringatan-mohon dihantarkan salinan beberapa dokumen yang diperlukan, tetapi tiada tindakan daripada persatuan. Akhirnya pada awal Mac 2009, ROS telah mengeluarkan 'Surat Kuning' (pernah ditampal di papan kenyataan surau) kpd persatuan. Surat Kuning adalah amaran terakhir -sebelum dikeluarkan Surat Merah pula. Surat ROS NS kepada ibu pejabatnya di Putrajaya bertarikh 10 Sept 2009 -mengesyorkan agar PPBWP dibubarkan juga telah pun dihantar.

3) Ini bererti, dalam masa terdekat ini, Surat Merah pula akan menyusul -mungkin pada awal 2010. Surat Merah adalah surat pengesahan pembubaran sesebuah persatuan, tetapi persatuan boleh lagi membuat rayuan sekiranya tidak mahu ia dibubarkan buat selama-lamanya. Caranya, beli Borang Rayuan (RM50 senaskah) dan persatuan boleh merayu dalam masa sebulan selepas tarikh Surat Merah dikeluarkan. Jika tempoh sebulan berlalu tanpa ada apa-apa tindakan dari persatuan, maka PPBWP bakal menjadi sejarah dimana kuburnya tentu akan diludah oleh anak-anak BWP yang bakal menggantikan generasi kita hari ini...

Apa tidaknya? Kita hari ini tidak berusaha nak hidupkan persatuan..akhirnya persatuan pun lenyap sebegitu sahaja. Taman-taman sekitar kita yang ada persatuan penduduknya, saban tahun menikmati kemudahan dan bantuan yang disalurkan sama ada oleh agensi kerajaan atau pun swasta. Kita pula? Maka tidak mungkinkah pada suatu masa kelak, anak-anak kecil hari ini akan meyumpah-seranah dan mengutuk kita di atas kecuaian kita membiarkan BWP kehilangan persatuannya?

Tulisan ini sekadar ingin memberikan peringatan dan kesedaran kepada semua. Ada yang bermulut celupar menuduh saya gilakan kuasa, nak jadi pengerusi persatuan pulak. Katalah apa tuan-tuan nak kata, selagi mulut tidak dipenuhi tanah, selagi itulah dia boleh berkata-kata.

Jadi, kepada sesiapa atau mana-mana kumpulan yang cuba nak pulihkan semula PPBWP, saya sentiasa mengalu-alukannya..bahkan saya sanggup memberi apa jua bentuk bantuan sekiranya diperlukan.

Tindakan segera mesti diambil..jangan dah terhantuk baru tergadah..!!

Wednesday, December 16, 2009

KELAS AL-QUR'AN DARI RUMAH KE RUMAH

Pengenalan

Al-Qur’an adalah kalam ALlah yang juga merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang masih kekal kewujudannya sehingga ke hari ini.

Mempelajari Al-Quran serta beramal dengan isi kandungannya adalah WAJIB ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, lelaki atau pun perempuan. Kemuliaan seseorang manusia itu bergantung kepada kefahaman dan amalan mereka terhadap kandungan yang terdapat di dalam Al-Qur’an, dan begitulah sebaliknya.

Tidak dinafikan lagi bahawa kelemahan serta kemunduran ummat Islam hari ini adalah berpunca daripada sikap mereka yang semakin jauh diri daripada Al-Qur’an, sedangkan Nabi SAW pernah berpesan : “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu masih berpegang kepada kedua-duanya – Kitab ALlah (Al-Qur’an) dan Sunnahku (hadith)”.

Kisah Iktibar

Pada tahun 2006, saya telah ditugaskan mengajar di SK. Meranto, Gua Musang, Kelantan, di sebuah kampung pedalaman yang terletak kira-kira 60km dari pekan Gua Musang. Suatu ketika, saya dijemput untuk menguruskan kematian salah seorang penduduk kampung. Si mati telah meninggalkan ramai anak lelaki yang berusia antara 18-35 tahun, tetapi malangnya, tiada seorang pun di antara mereka yang dapat duduk bersama jenazah si bapa untuk bersama-sama membaca dan menghadiahkan pahala bacaan surah Yasin. Alasan yang diberikan kepada saya ialah semua mereka tidak tahu membaca Al-Qur’an (istilah saya : buta Qur’an).

Bayangkanlah, betapa kecewanya jenazah si bapa kerana mempunyai anak-anak yang tidak mampu mengiringi kematiannya dengan alunan ayat-ayat suci Al-Qur’an. Fikirkanlah juga, bagaimana dengan solat yang mereka dirikan saban hari sekiranya tidak dapat membaca Al-Qur’an dengan baik.

Berpunca dari kesedaran daripada cerita iktibar tersebut, saya ingin mengingatkan tuan-tuan tentang betapa pentingnya kita mempunyai kemahiran membaca Al-Qur’an ini.

Al-Qur’an bukanlah seperti kebanyakan bahan bacaan lain. Bacaan atau sebutan yang salah boleh membawa kepada kelainan makna bahkan kadang-kala dengan tersilap satu baris (harakat bacaan) sahaja, boleh membawa kepada gugurnya iman atau murtad.

Halangan-halangan menuntut ilmu

Memandangkan semua kita adalah pekerja sepenuh masa, keluar sebelum Subuh dan pulang selepas senja, kita sering beralasan tidak ada masa untuk mempelajari atau mencari sebahagian daripada ilmu Fardhu Ain ini. Ke masjid atau surau, untuk mengikuti kuliah-kuliah agama pun amat jarang sekali kaki ini melangkah. Pada hari-hari tidak bekerja pula, lainlah pula alasan kita, iaitu kerana pada hujung minggu seperti inilah kita nak berehat dan meluangkan masa bersama anak dan isteri.

Ada juga yang beralasan tidak mahu belajar kerana malu. “Nanti kalau saya datang ke kelas, pasti rakan-rakan yang lain akan pakat gelakkan saya..maklumlah, Iqra’ 1 pun belum khatam lagi”

Inilah yang dikatakan malu tak bertempat. Sepatutnya kita berasa malu kerana jahil dalam ilmu-ilmu agama, bukannya malu nak menuntutnya. Atau pun, kalau nak malu juga, malulah pada ALlah kerana saban hari sering mengingkari perintah-perintahNya. Barulah malu itu kena pada tempatnya.

Bagaimana pula kalau ilmu yang datang ke rumah?

Sekarang, apa pula alasan kita, sekiranya ilmu itu pula yang menawarkan diri untuk datang mencari kita? Maksud saya, tuan-tuan tidak perlu bersusah-payah mencarinya di masjid, surau atau mana-mana tempat pengajian agama..cuma tunggu sahaja di rumah dan pastikan diri telah bersedia untuk menyambutnya.

Sebagai pilihan kedua untuk tuan-tuan yang sentiasa sibuk, saya menawarkan kelas pengajian Al-Qur’an dari rumah ke rumah

Sistem belajar di rumah bagi mereka yang sibuk

Sebenarnya, ibarat kata pepatah : “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Kita pasti akan berusaha sekiranya minat sudah ada. Cuma, seperti yang dikatakan tadi, hanya masa yang menjadi penghalangnya.

Maka sebagai pilihan kedua untuk tuan-tuan yang sentiasa sibuk, saya menawarkan kelas pengajian Al-Qur’an dari rumah ke rumah mengikut hari dan masa yang ditetapkan oleh tuan-tuan sendiri sama ada pada sebelah siang atau pun malam.

Dengan ini, tuan-tuan serta seluruh ahli keluarga tidak lagi perlu keluar dari rumah sebaliknya masing-masing hanya bersedia dengan Al-Qur’an pada waktu yang tuan-tuan sendiri tetapkan. Saya percaya, tuan-tuan tentu tidak malu lagi serta tidak bimbang jika ditertawakan oleh orang lain (orang yang suka mentertawakan orang lain, kadang-kadang mereka pun lebih teruk daripada kita). Biarlah rahsia kebebalan kita mempelajari Al-Qur’an ini kekal menjadi rahsia antara kita sekeluarga sahaja.

Berminat?

Tuan-tuan boleh menghubungi saya bila-bila masa sahaja. Insya’ALlah, jika saya tak dapat menjawab, sila tinggalkan pesanan melalui SMS.

Kita boleh bincangkan mengenai hari dan masa yang tuan-tuan bersedia untuk menerima kedatangan saya dan kadar bayaran yang tuan-tuan mampu sediakan sebagai imbuhan di atas tenaga dan masa saya. Cuma elakkan daripada memilih selang masa antara Mahgrib dan Isyak – memang tak dapat saya elakkan kerana itu adalah Waktu Perdana saya !

Hubungi saya di talian : 017-6150169
Ust. Haji Kamal bin Ismail

Tuesday, December 15, 2009

APAKAH MASA KITA TIDAK AKAN DIPERSOALKAN ALLAH ?

Allah SWT ada menegaskan dalam satu surah pendek tetapi penuh dengan perkara tersirat di dalamnya yang telah diketahui umum sebagai 'surah masa' ataupun 'aL-Asr'. Ia perlu diteliti dan dirungkai secara bijak dan saksama, apa yang berlaku ia tidak dikaji dan difahami secara serius oleh umat Islam hari ini dengan lantaran begitu sibuk dengan kerjaya harian.

Maksud ayat-ayat tersebut : 'Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.'

Menurut pepatah Arab : 'Masa itu bagaikan pedang, jika anda tidak memotongnya, maka ia akan memotongmu.'

Jika dilihat dengan fikiran yang waras berhubung ayat di atas, kita akan dapati bahawa ramai di kalangan manusia terjerumus pada perkara yang merugikan mereka di dunia dan akhirat, rugi di dunia kerana tidak diisi masanya dengan menghayati al-Quran, hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu fardu ain, berbuat kebajikan dan lain-lain.

Apabila perkara di atas tidak ada dalam kamus kehidupan orang Islam, maka sudah tentu mereka tidak mendapat pahala daripada Allah sekali gus tidak mendapat tempat di sisi Allah pada hari akhirat, malah kebarang-kalian tidak mendapat syafaat (recommendation) Nabi Muhammad s.a.w.

Ia juga menggambarkan, betapa umat hari ini tidak berapa pandai dalam mengurus persoalan masa, hingga ia berlalu begitu sahaja tanpa digunakan pada perkara-perkara yang boleh menguntungkan akhirat mereka.

Mengapa tidak? Umat hari ini (lebih tertumpu kepada golongan muslimun), lebih rela menghabiskan masa bukan pada perkara yang berfaedah, tetapi pada perkara-perkara yang sia-sia, bukan bermakna tidak ada langsung individu di kalangan mereka yang pandai mengatur dan mengurus masa dengan baik, malah ada yang lebih daripada itu.

Gambaran umat hari ini yang tidak memperuntukkan masa buat Allah

Sayang seribu kali sayang, apabila terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang tidak ada masa dengan Allah, atau terlalu sedikit masa untuk-Nya, dan mungkin juga terdapat yang tidak terfikir langsung untuk bersama Allah dalam apa jua keadaan.

Itulah gambaran beberapa jenis umat Islam yang seolah-olah tiada hubungan dengan hari akhirat, hidup mereka serupa dengan mereka yang tidak beragama Islam, iaitu golongan yang tiada hubungan langsung dengan pahala, dosa, syurga, neraka, azab dan lain-lain.

Iaitu golongan yang terlalu sedikit masa mereka diperuntukkan buat Allah, kalau pun menunaikan solat, ia dikerjakan dengan begitu cepat, justeru mereka tidak suka solat berjemaah, kerana beranggapan imam membaca surah panjang. Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ramai yang suka bersolat secara sendirian, meski pun mereka ini telah pun berada di dalam masjid atau surau-surau. Perhatikanlah di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan lain-lain, semua amalan lebih kepada logik akal, bukan kerana kefahaman ilmu.

Hakikat yang berlaku pada hari ini, tempat-tempat hiburan seperti menyaksikan Akademi Fantasia, So do you think you can dance, Malaysian Idol, pesta anugerah filem yang pelbagai jenis saban tahun diadakan, pertandingan nyanyian RTM, menyaksikan pertandingan bolasepak akhir piala Malaysia, piala FA dan lain-lain, penuh dengan penonton yang memberi sokongan padu.

Tidakkah tindakan mereka itu memperlihatkan betapa masa yang berlalu itu disia-siakan tanpa sebarang faedah yang boleh membantu mereka menghadapi Allah di padang Mahsyar, lebih-lebih dengan bekalan yang kekal abadi yang memudahkan mereka memasuki syurga-Nya.

Cuba bayangkan, jika mereka yang pergi ke stadium untuk menyaksikan pertandingan akhir bolasepak yang boleh memuatkan 90,000 ribu penonton, kalau 10,000 sahaja yang sembahyang, bagaimana pula dengan baki jumlah 80,000 yang lain, ditambah pula kedudukan saiz surau yang tidak berapa besar, mereka yang ke stadium bukan bertolak dari rumah jam lapan malan jika pertandingan bermula 8.30 malam, sudah tentu mereka akan berangkat keluar lebih awal satu atau dua jam untuk memastikan keadaan lebih selesa.

Begitu juga yang menonton sesebuah rancangan hiburan, mereka juga akan keluar rumah lebih awal bagi memastikan dapat tempat duduk di hadapan sekali untuk melihat selebriti dari dekat, tetapi bagaimana dengan pelaksanaan solat mereka, yang pasti ramai yang meninggalkannya tanpa sebarang alasan yang boleh diterima Syara'.

Golongan inilah yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam banyak hadisnya, antaranya sabda baginda : 'Perkara pertama yang akan ditanya Allah terhadap hamba-hambaNya pada hari akhirat ialah pelaksanaan solat, jika solat itu beres dilakukan, maka bereslah seluruh urusan hidupnya, tetapi sebaliknya jika solat itu tidak beres, maka tidak bereslah urusan hidupnya'.

Sabdanya lagi : 'Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir yang terang dan nyata.' Hadis sohih riwayat Imam Malik.

Rasullah SAW bersabda : "Solat itu adalah tiang agama (Islam). Maka sesiapa yang mendirikan solat, dia telah menegakkan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agama".

Rasullah SAW bersabda : "Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".

Ini menunjukkan bahawa ibadat solat tidak lagi jadi perkara penting dalam kehidupan orang Islam hari ini.

Bagi yang takutkan Allah dan sentiasa bersama-Nya khususnya ketika menunaikan ibadat solat, akan merasakan bahawa Allah sentiasa dekat di hatinya, rindu untuk bertemu-Nya, tidak cukup lima kali sehari semalam, malah ditambah dengan solat-solat malam hanya semata-mata untuk bermunajat kepada-Nya dengan segala ketundukan, khusyuk dan tawaduk.

Justeru, meninggalkan solat besar implikasi dan akibatnya, bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi seseorang itu telah dilabel dengan kafir, meruntuhkan tiang-tiang agama Islam, iaitu menjadi makhluk perosak terhadap agamanya sendiri.

Golongan inilah yang apabila menghadiri majlis-majlis ilmu seperti tazkirah pada bulan Ramadan, punggungnya merasa panas, tidak dapat bertahan lama duduk di masjid atau surau, sedangkan majlis seumpama itu mahu mengingatkannya kepada Allah, untuk menilai semula amalan dan tindakan sepanjang hidup di dunia, yang bukan baru hidup lima atau enam tahun, tetapi sudah mencecah berpuluh-puluh tahun.

Inilah akibat mereka yang sepanjang hidup tidak memperuntukkan masa buat Allah, masa berlalu kebanyakannya pada perkara yang membawa kepada penentangan terhadap-Nya, tanpa membuat perhitungan dengan-Nya pada perkara yang halal dan haram, yang boleh membawa kepada syurga atau neraka, yang penting hidup perlu enjoy, golongan muda merasakan tidak akan jadi tua, dan yang tua pula merasakan tidak akan mati esok hari, begitulah lalainya manusia terhadap asal-usul kejadian mereka daripada tanah.

WaLlaahu A'lam !

Monday, December 14, 2009

TUKARKAN MUSIBAH MENJADI NI'MAT

Hidup ini penuh dengan ujian ( Bahasa Arab : Fitnah, bala' atau ibtila'). Semakin tinggi martabat keimanan seseorang manusia itu, maka semakin kuatlah ujian dan bala' yang menimpanya. Sebab itu, Nabi SAW sendiri mengaku bahawa bagindalah manusia yang paling banyak menerima ujian daripada ALlah, kemudian diikuti oleh golongan agamawan (ulama', ustaz-ustaz, tok-tok imam dan seumpama mereka).

Maksud sebuah hadith, apabila ALlah sayangkan seseorang hambaNya, Dia akan menguji hamba itu dengan bala', tidak kiralah bala' (kadang-kadang dipanggil musibah) itu berupa kesusahan hidup, sakit yang berpanjangan, kehilangan orang tersayang, kecurian harta-benda dan sebagainya..jika hamba itu bersabar dengan ujian tersebut, bahkan dapat menerimanya dengan redha, maka luluslah hamba tersebut akan ujian Tuhannya. Tetapi jika si hamba itu mengeluh, resah, merungut, marah-marah dan sebagainya, maka gagallah si hamba itu di dalam ujian tersebut dan hilanglah kemuliaan yang bakal akan dianugerahkan oleh ALlah SWT.

Nabi Ayyub AS pernah ditanya oleh isterinya : "Mengapa abang tidak berdoa sahaja kepada ALlah agar dihilangkan penyakit abang serta dikembalikan semula kehidupan kita sepertimana sebelumnya. Bukankah doa abang sentiasa didengari olehNya?". Apa jawab Nabi ALLah yang paling tinggi tahap kesabarannya ini kepada pertanyaan isterinya? "Wahai Ramlah, sudah berpuluh tahun kita diberikan kehidupan yang aman, bahagia dan penuh dengan kemewahan, takkanlah dengan kesusahan yang sedikit sahaja tempohnya, kita tak boleh bersabar? Aku malu untuk berdoa kepada Tuhanku.."

Begitulah..bagi kebanyakan kita, musibah adalah satu bala' yang tidak ada kebaikan padanya. Tetapi bagi orang yang mempelajari ilmu agama, sebenarnya di dalam bala' pun ada terkandung pahala..bukankah pernah Nabi bersabda yang bermaksud : "Sungguh ajaib urusan orang-orang Mukmin..apabila diberikan nikmat, mereka bersyukur lalu mereka diberi pahala. Dan apabila ditimpa musibah pula, mereka bersabar dengan musibah tersebut, maka dengan kesabaran itu, mereka juga diberikan pahala.."

Inilah kebijaksanaan orang mukmin..mereka tidak pernah pun memandang sesuatu musibah itu sebagai sesuatu yang patut dibenci. Mereka yakin, apa sahaja yang berlaku ke atas mereka, suka atau pun benci, semuanya ada hikmatnya yang tersembunyi. Sebab itu, apabila kita ditimpa sesuatu musibah, kita diajar supaya berdoa yang maksudnya : "Wahai Tuhanku, berikanlah balasan pahala pada musibah yang menimpa diriku ini, dan gantikanlah ia dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.."

Kesimpulannya, marilah kita up-gradekan tahap keimanan kita dengan mencipta perubahan di dalam diri ini..dengan menganggapkan semua musibah yang menimpa diri kita ini sebagai satu ni'mat yang sangat mahal harganya di sisi ALlah SWT.

Cakap senang, tapi sanggupkah nak merealisasikannya? WALlahu a'lam..Belum cuba, belumlah kita tahu, kan?

SELAMAT TAHUN BARU 1431H

Tidak lama lagi, kita akan menyambut tahun baru, satu sambutan yang tidak kurang juga hebatnya. Seperti biasa, hampir semua masjid dan surau akan mengadakan ceramah-ceramah khas berkaitan dengan sambutan Awwal Muharram ini. Kadang-kadang kita jadi serba-salah dibuatnya..kat Masjid Sikamat, ada ceramah Ust Farid Ravi, di surau pula ada ceramah Dr. Ann Wan Seng..tapi mujurlah di Pusat Dakwah diadakan ceramahnya pada waktu pagi..

1 Muharram adalah detik permulaan kalendar Islam yang diasaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab RA. Selain dipanggil dengan nama sambutan Awal Muharram, ada juga yang menggelarnya dengan sambutan Ma'al Hijrah (Lit : Bersama Perpindahan). Sepatutnya kita, orang Islam, menggunakan kalender kita yang tersendiri..tapi apa kan daya..pengaruh Barat dan Kristian masih kuat menyelubungi diri kita..dah merdeka separuh abad pun, masih tak dapat isytiharkan Jumaat sebagai cuti mingguan..

Sempena ketibaan 1 Muharram ini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon berbanyak ampun maaf daripada tuan-tuan terutama penduduk di BWP kerana khidmat saya sebagai Imam 1 di Surau Al-Hidayah akan berakhir pada tarikh tersebut. Saya memohon meletak jawatan kerana ingin menjalani rutin kehidupan harian saya, iaitu bebas mengejar dan mencari majlis-majlis ilmu dan berjemaah di rata-rata masjid atau surau yang terdapat di sekeliling kita ini. Melalui cara beginilah, saya dapat berkenal-kenalan dengan para ustaz, imam-imam besar, rakan-rakan jemaah dari surau/masjid lain dan sebagainya lagi.

Saya tetap akan menjaga hubungan saya dengan surau..tidaklah bermaksud dengan meletak jawatan, saya akan meminggirkan surau kita dari kehidupan saya. Surau kita adalah jiran terdekat saya..insya'Allah, saya akan pelihara hak-hak jiran saya ini.

Ada orang kata saya ni penakut, tak tahan dengan kata-kata atau tulisan dari para pengunjung blog. Sebenarnya tidak..tiada kaitan dengan sebarang tekanan daripada sesiapa pun. Bagi saya, sebelum ini pun, saya kerap berhadapan dengan situasi yang lebih genting dan kritikal berbanding sekarang.

Saya juga ingin rakamkan ribuan terima kasih kepada saudara Orang Minyak (OM) kerana anda telah banyak memberi pengalaman baru kepada saya. Saya harap ilmu dan kebolehan yang ALlah anugerahkan kepada saudara tidak disia-siakan. Lagi baik, sekiranya saudara gunakan anugerah tersebut untuk berkongsi dengan saya dan rakan-rakan jemaah yang lain.

Akhir kata, mulai 1 Muharram ini, sebarang perkara berkaitan pengurusan surau TIADA lagi berkaitan dengan saya. Segalanya akan saya serahkan semula kepada Pengerusi dan AJK Surau yang lain.

Sekian, terima kasih dan Selamat Menyambut Tahun Baru !